Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 30 Jun 2006

PEJABAT MOHD ALI RUSTAM KENA SITA

AYER KEROH: Pejabat Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam disita Mahkamah Tinggi di sini semalam, berikutan kegagalan agensi itu membayar tunggakan hutang lebih RM2 juta.

Selain Pejabat Mohd Ali di Tingkat 11 Bangunan PKNM di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu, tujuh lagi tingkat lain milik PKNM termasuk yang menempatkan pejabat pengurus besar, disita.

Arahan sita itu dikeluarkan menerusi surat penghakiman Mahkamah Tinggi yang ditandatangani Timbalan Pendaftar, Elesabet Paya Wan bertarikh 28 Jun 2006.

Surat Mahkamah Tinggi itu mengarahkan PKNM sebagai defendan membayar RM2.23 juta kepada plaintif, Subang Teknik (M) Sdn Bhd dalam tempoh tujuh hari mulai semalam atau semua barangan dalam pejabat yang disita akan dirampas.

Dua bailif Mahkamah Tinggi, Mohd Faishal Sulaiman dan Hamidah Hashim bersama Haja Mydin Abdul Kadir, selaku Pengarah Urusan Melody Jaya Holding Sdn Bhd, iaitu syarikat keselamatan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan barangan yang disita mahkamah dan dua peguam plaintif dari Tetuan Lamin & Co Kuala Lumpur, Shahril Lamin dan K Pathmanathan, pergi ke bangunan PKNM semalam.

Mohd Faishal, Hamidah dan Haja Mydin menampal notis sita di semua pejabat PKNM dari tingkat 4 hingga tingkat 11 bersama senarai barangan pejabat yang disita. Tiga lagi tingkat bangunan 11 tingkat itu disewakan.

Pengurus Kanan Pembangunan, Usahawan dan Perniagaan PKNM, Ab Rahim Ibrahim turut menandatangani surat mengesahkan barangan yang disita dari semua pejabat PKNM tetapi usaha pemberita untuk menemuinya tidak berhasil.
- Laporan Berita Harian





- kalau ikut yang saya faham, PKNM ni milik kerajaan Negeri Melaka. Kalau PKNM berhutang tak bayau kepada syarikat tu bermakna kerajaan Negeri Melakalah yang tak bayau. Betul tak? Hai, apa lagi yang kerajaan Negeri Melaka hutang ? Risau juga saya. Dah tak ada duit lagi ke nak bayau? 2 juta tu bukan sikit. Kalau ada hutang lain berapa pulak?

Belanja dah depesit ke? Tapi hari tu belanja sebahagian rakyat Melaka masa lawatan PM ada pulak duit. Hiss.. banyak belanja tu. Dengau cerita penuh kusi meja kat roundabout MITC tu. Orang kampung tak dapat kabau ke?

Hai. berhemahlah dalam berbelanja. Hutang kena bayau.Kan kerajaan suruh ubah gaya hidup kita. Atau yang kena ubah tu rakyat bukan pemerintah?

Rabu, 28 Jun 2006

DARI MEJA LUJNAH ICT JASIN 1

PERGOLAKAN PAK LAH DENGAN MAHATHIR
dari tshirtprinter(mod 1)

Dalam beberapa minggu ini saya dapati berlaku beberapa peristiwa yang menyentuh hati saya. Perasaan lucu, geram dan insaf menerjah lubuk hati saya terutama sekali apabila membaca komen-komen Mahathir terhadap pentadbiran Paklah. Separuh dari cerita dan komen-komen tersebut sudah kita ketahui akan kelembapan Pak lah dan separuh lagi adalah cerita-cerita yang masih menjadi rahsia antara mereka berdua. Jika perkara rahsia itu adalah hal peribadi mereka berdua, lantak pi lah tetapi jika rahsia itu melibatkan kepentingan rakyat Malaysia, saya rasa kita perlu ambil tahu...

Tetapi yang paling ketara ialah hal ehwal Mahathir itu sendiri yang dilihat seperti dibelenggu masalah terus menerus. Walaupun kita menyebelahi Mahathir dari sudut kepentingan negara Malaysia yang kita cintai, seruan 'kebenaran' darinya dipandang sepi oleh UMNO sendiri.

ulasan saya:

Saya tak fikir Mahathir akan mendapat pembelaan dari UMNO. Method pentadbiran UMNO hari ini sedikit sebanyak adalah hasil buah tangan Mahathir sendiri. Bagaimana duu Mahathir menutup suara-suara kebenaran dari musuh-musuh politik beliau semasa berkuasa, begitulah Abdullah menggunakan media menutup suara 'kebenaran' dari Mahathir.

Mahathir adalah manusia hebat didalam bidang ekonomi dan hubungan dua hala umpamanya, sepatutnya Abdullah kena dengar nasihat beliau, begitulah juga sewaktu Mahathir memerintah, Tn Guru Nik Abdul Aziz manusia hebat dalam bidang model Insan dan hubungan manusia dengan tuhan sepatutnya beliau kena ambil pendapat Tn. Guru.

Kalau nak ulas, kita boleh buat 1001 ulasan. Tapi kesimpulannya disini... itulah anutan ideologi sekularisme. Tidak pijat di bumi nyata. Matlamat menghalalkan cara. Idealogi ni tak boleh bawak masuk dalam kubur. Ia tidak memberi manfaat kepada kita malah membawa mudarat kepada kita.

Saya fikir Mahathir akan sengsara dalam menghadapi situasi sebegini. Dia akan merasa kesan pentadbirannya yang lalu. Orang- orang yang memberi kepercayaan kepada beliau dahulu menikam beliau dari belakang hari ini. Hidup- hidup lagi dia akan merasa kesengsaraan. Saya masih ingat lagi kata-kata almarhum ustaz Fadhil Nor (kalau tak silap) yang mendoakan supaya Mahathir ni panjang umur supaya dia dapat melihat kesan kezaliman beliau sendiri.

Dosa beliau terhadap gerakan Islam malah terhadap Islam itu sendiri amat banyak. Ia mengguris hati banyak pihak yang cintakan Islam.

Tetapi sebagai penganut Islam saya mengharapkan keinsafan dari Mahathir. Ini peluang untuk beliau berfikir sejenak kuasa tuhan dan bertaubat di atas ketelanjurannya. Saya mendoakanya......Waallahu 'alam

p/s - Apakah pengajaran buat kita ?...........fikir-fikirkan...

Ahad, 25 Jun 2006

PENGUMUMAN - FOCUS IN LEARNING UPSR

Jasin - Seperti tahun tahun sebelumnya, Lajnah Pembangunan Remaja Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin sekali lagi akan menganjurkan kem motivasi khusus untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR. Focus In Learning UPSR mensasarkan dua matlamat utama bagi pembentukkan jati diri yang mesti ada pada pelajar muslim iaitu pencapaian cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan cemerlang sebagai pelajar muslim yang taat kepada perintah Allah S.W.T.

Tempat : SMU (A) Ar Rahmah, Solok Gaung Ayer Molek, Melaka

Masa : 1 Julai 2006 ( 8 pagi Pendaftaran)
hingga
2 Julai 2006 (12.30 tengahari bersurai )

Tarikh : 1 dan 2 Julai 2006

Bayaran : RM 20.00

Bagi sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi sdr. Azman ( 017-6303854), Ust. Zulhasmi (017-3413767). Tempat adalah terhad.

Sabtu, 24 Jun 2006

CUMA 11 HOTEL, RESORT MILIKI SIJIL HALAL

Oleh Amir Mamat
MELAKA: Hanya 11 hotel dan resort bertaraf tiga hingga lima bintang di negeri ini mempunyai sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).
Manakala berpuluh lagi hotel dan resort, termasuk beberapa hotel bajet yang menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah untuk menginap, difahamkan belum membuat permohonan untuk mendapatkan sijil terbabit.
Selain itu, permohonan pembaharuan sijil halal daripada sebuah kelab golf dan sebuah hotel masih lagi dalam proses kelulusan.
Menurut kenyataan Jakim, hotel yang sudah disahkan mempunyai sijil halal ialah The Emperor Hotel Melaka, Reviera Bay Resort, Hotel Century Mahkota, Hotel Straits Meridian, Hotel Renaissance Melaka, Hotel Orkid Melaka;Puteri Resort Ayer Keroh, Hotel Naza, Hotel Equatorial Melaka, Hotel Sri Costa dan Hotel Golden Legacy Melaka.
Manakala Hotel City Bayview dan A Famosa Golf Resort Bhd masih dalam proses pembaharuan sijil.
Sehubungan itu, Timbalan Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abu Pit menasihatkan orang ramai, khususnya umat Islam supaya berhati-hati untuk memilih premis yang mempunyai sijil halal demi kebaikan mereka.
Tindakan terbabit, katanya, boleh menyelamatkan mereka daripada memakan benda yang haram serta ditegah olah Islam.
"rang ramai juga perlu tahu prosedur penyediaan makanan halal, terutamanya di hotel kerana ada di antara hotel yang mencampurkan bahan dilarang dalam masakan mereka."
Selain itu, mereka juga perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama, sama ada Jakim atau Jaim untuk memastikan sama ada sesuatu premis itu mempunyai sijil pengesahan halal yang sah atau sebaliknya," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, semalam.
Antara prosedur penyediaan makanan di hotel yang dinyatakan dalam laman web www.al-azim.com sepertimana dimaksudkan Abu adalah setiap hotel perlu menubuhkan Jawatankuasa Halal di peringkat syarikat atau pengurusan hotel selain mendapatkan pandangan daripada Jaim atau Panel Syariah untuk melaksanakan penyediaan halal.

Jumaat, 23 Jun 2006

INSURANS UNTUK PENGANTIN

MELAKA: Bakal pengantin lelaki Islam mungkin perlu mengambil insurans sebelum bernikah bagi menjamin masa depan isteri dan anak apabila berlaku perceraian atau kematian.

Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman (gambar) menyarankan sistem takaful insurans perkahwinan diperkenalkan dalam prosiding perkahwinan pasangan Islam di negara ini.Beliau yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), berkata pelaksanaan sistem itu dapat membela nasib dan meringankan beban isteri serta anak selepas perceraian atau kematian suami.

"Sistem ini sudah diperkenalkan di Mesir dan berjaya membela kehidupan golongan terbabit,"

katanya pada Majlis Mahabbah JKSM Bersama Masyarakat di sini, semalam.

Sementara itu, Hakim Rayuan Syarie, Datuk Muhamad Asri Abdullah, berkata takaful insurans perkahwinan boleh diwajibkan kepada bakal pengantin tanpa perlu meminda undang-undang berkaitan.

"Di Mesir, mereka memasukkan perkara itu dalam Undang-Undang Keluarga dan lelaki perlu menyediakan insurans yang saya difahamkan bernilai RM100 untuk sekali bayar yang dikelolakan bank.

"Bagaimanapun di negara kita, tak perlu pinda undang-undang sebaliknya boleh dibuat secara pentadbiran oleh Jabatan Agama Islam negeri. Ini sama seperti syarat mengikuti kursus khas bimbingan rumah tangga yang diwajibkan kepada bakal pengantin," katanya ketika dihubungi.

Muhamad Asri berkata, walaupun bayaran insurans itu kecil, nilai sebenarnya besar kerana membabitkan insurans berkelompok.

"Saya berpendapat sudah tiba masanya kita melaksanakan perkara ini menerusi syarikat takaful kerana apabila berlaku perceraian, ibu lazimnya tidak dapat membesarkan anak-anak dengan sempurna.

"Urusan menuntut nafkah di Mahkamah Syariah pula mengambil sedikit masa. Jika ada insurans, mungkin bayaran boleh disegerakan dan wang itu dapat meringankan beban wanita dan anak mereka," katanya.

Khamis, 22 Jun 2006

40 MENDERITA AKIBAT LALAT

Oleh Norfaisal Jahuri
MELAKA: Lebih 40 keluarga di Kilometer 8, Kampung Tambak Paya, Jalan Tehel, di sini, menderita gangguan lalat lebih tiga bulan lalu berpunca daripada pusat ternakan ayam komersial yang terletak berhampiran kampung itu.
Penduduk khuatir gangguan lalat itu akan menjejaskan kesihatan mereka.Selain lalat, penduduk turut mendakwa diganggu bau busuk najis ternakan ayam daripada pusat sama.
Tinjauan Harian Metro ke kawasan itu semalam mendapati pusat ternakan komersial itu terletak kira-kira 100 meter daripada rumah penduduk.
Seorang penduduk, Goh Ah Moy, 58, berkata dia terpaksa menggunakan lebih 30 keping perangkap lalat untuk memerangkap lalat itu.
Katanya, walaupun menggunakan perangkap itu setiap hari namun jumlah lalat tidak juga berkurangan.
"Paling saya tidak tahan, ketika makan dan memasak kerana gangguan lalat ini lebih teruk kerana ia banyak hinggap pada setiap makanan yang disediakan," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.
Goh berkata, gangguan ini berlaku sejak tiga bulan lalu selepas pusat ternakan itu dibuka.Masalah penduduk itu juga sudah diadukan kepada Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee, semalam yang kemudian turut meninjau tempat terbabit.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sugayah Sutibawi, 63, berkata gangguan lalat bukan saja pada waktu siang malah pada lewat malam.
"Saya sudah menemui pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambak Paya berhubung masalah ini petang kelmarin.
"Beliau menyatakan akan memanjangkan perkara ini kepada Exco Pertanian dan Pembangunan Desa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Md Yunos Husin," katanya.
Seorang lagi penduduk, Tan Ho, 62, berkata dia mengalami cirit birit petang kelmarin dipercayai berpunca daripada makanan yang dimakannya terdedah kepada lalat.

Rabu, 21 Jun 2006

KONTRAKTOR TAK IKUT ARAHAN

MELAKA: Lebih 200 rumah penduduk Bukit Rambai dekat sini, sekali lagi dinaiki air sedalam 0.5 meter berikutan hujan lebat malam kelmarin.Kejadian banjir itu bukan kali pertama berlaku sebaliknya sudah beberapa kali terjadi berikutan kerja penambakan tanah yang dijalankan kontraktor di kawasan terbabit sejak beberapa bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Paya Rumput, Datuk Tahir Hasan, berkata kontraktor yang menjalankan kerja penambakan tanah di kawasan terbabit tidak mengikut prosedur ditetapkan.
Katanya, sebanyak empat taman perumahan dan kampung berhampiran sering dinaiki air antaranya Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Tanjung Minyak dan Kampung Tanjung Minyak.
"Kejadian ini berlaku kerana benteng besar sedia ada dikecilkan kontraktor ketika melakukan kerja penambahan tanah dan sekali gus menyukarkan air dialirkan dengan sempurna apabila hujan," katanya ketika ditemui semalam.
Tahir berkata, beliau tidak menghalang pembangunan tetapi kontraktor yang menjalankan projek itu wajar memastikan sebarang pembangunan tidak menyusahkan penduduk.
"Minggu depan saya akan mengadakan perjumpaan khas dengan juruteknik kanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Kerjaraya (JKR) berhubung perkara ini," katanya.
Sementara itu, Tahir menyarankan MBMB supaya tidak mengeluarkan Sijil Layak Menduduki (CF) bagi mana-mana projek pemaju perumahan yang didapati menyebabkan banjir kilat.
"Saya harap selepas mesyuarat ini diadakan, masalah ini akan dapat diselesaikan," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Ab Rahaman Che Man, 60, berkata, hujan bermula jam 8 malam kelmarin sehingga 6 pagi semalam hampir memusnahkan barangan dalam rumahnya termasuk permaidani.

Selasa, 20 Jun 2006

TABIKA TUTUP KERANA BANJIR

JASIN: Hujan lebat lebih lima jam memaksa pengurusan Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kampung Pulai menangguhkan sesi pembelajaran selepas taman berkenaan dinaiki air sedalam 0.5 meter, semalam.
Banjir kilat yang paling teruk berlaku dalam tempoh dua tahun itu menyebabkan 70 murid membabitkan dua kelas yang terletak dalam kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai itu, ditutup.
Selain bimbang dengan keselamatan murid, tindakan menangguhkan sesi pembelajaran itu juga untuk membersihkan bahagian dalam bangunan yang dipenuhi lumpur.
Menurut guru Tabika itu, Norini Abd Ghani, kejadian semalam adalah kali keempat selepas kali terakhir berlaku penghujung tahun lalu.Katanya, keadaan longkang tidak sempurna di samping parit berhampiran yang cetek dikatakan menjadi punca banjir kilat yang sering berlaku di kawasan terbabit.
"Saya bersama seorang lagi guru, Mashita Abdullah terpaksa meminta murid pulang ke rumah kerana kelas dipenuhi air. "longkang tidak sempurna yang dibina bersebelahan Tabika menjadi punca masalah ini dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelak kejadian seumpama ini berulang,"katanya.
Sementara itu, kira-kira 15 kediaman di Pulai Tengah dan Pulai Barat turut ditenggelami air selepas hujan lebat melanda kawasan berkenaan bermula jam 12 malam kelmarin.Keadaan itu menyebabkan banyak barangan elektrik dan perabot milik penduduk rosak akibat ditenggelami air selama beberapa jam.
Seorang penduduk, Ibrahim Abdullah, 56, berkata kejadian itu disedari kira-kira jam 3 pagi apabila air mula memasuki rumahnya ketika dia bersama ahli keluarga sedang tidur.
"Saya tidur beralaskan tilam di atas lantai. Kira-kira jam 3 pagi, saya terasa bahagian belakang basah dan apabila sedar saya dapati sekeliling saya dipenuhi air."Berikutan itu, saya bergegas mengalihkan barangan perabot dan elektrik bagi mengelakkan ia rosak,"katanya.

Isnin, 19 Jun 2006

AHLI PARLIMEN JASIN - DAH TERHANTUK BARU NAK BERINGAT...

ASYIK DOK INGAT KAYU BALAK JER....DAH TERHANTUK BARU NAK BERINGAT....
JASIN: Kehidupan seorang warga emas di Kampung Garing, di sini, tidak ubah seperti 'hidup di zaman penjajah' apabila kediamannya tidak pernah mempunyai bekalan elektrik dan air sejak 40 tahun lalu.
Chan Yong, 83, yang tinggal bersendirian di rumah usang di kampung itu, tidak pernah merasai nikmat kemerdekaan walau pun pelbagai pembangunan sudah dilaksanakan kerajaan.
Ketika ditemui Harian Metro di kediamannya kelmarin, Chan yang bekerja sendiri tidak mampu melahirkan kedaifan yang ditempuhinya sejak sekian lama.Sambil mengalirkan air mata, dia berkata kehidupannya itu diibaratkan sama seperti yang dialaminya sebelum merdeka apabila kemudahan asas seperti elektrik dan air tidak pernah dirasainya.
"Rumah saya pun dah usang dan hanya menunggu masa untuk roboh," katanya.Bagaimanapun, kedaifan yang dialami Chan akan berakhir apabila kerajaan bersedia membantunya mendapatkan bekalan elektrik dan air sedikit masa lagi.
Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof yang nyata terkejut dengan keadaan Chan berjanji akan mendapatkan bantuan 'one-off' di samping memohon bantuan rumah menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Saya terkejut kerana masih terdapat rakyat di Jasin yang masih hidup dalam serba kekurangan tanpa kemudahan asas yang sempurna."Hasil lawatan saya ke rumah Chan semalam, saya berharap bekalan elektrik dan kemudahan bekalan air akan dapat disalurkan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepadanya menjalani kehidupan sempurna," katanya.
Turut serta dalam lawatan itu ialah dan Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Jasin, Mokhtar Ruzaini Idris serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesang Pajak, Borhan Hasan.
Sementara itu, Mohd Said berkata, beliau dimaklumkan masih ada beberapa lagi penduduk yang senasib dengan Chan akan turut dibantu.Katanya, bantuan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini akan dipohon secepat mungkin."Saya harap semua yang terbabit bersabar kerana bantuan akan disalurkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Jumaat, 16 Jun 2006

BIARKANLAH PAK LAH DENGAN 'RUKUN' ISLAM HADHARI SERTA RMK-9 NYA.

Rasanya tiada siapa yang boleh pisahkan antara 'Rukun' Islam Hadhari dengan 'Teori' Pak Lah. Kehulu kehilir dengan rukunnya namun ingin juga saya tahu berapa peratuskah dari ahli-ahli berdaftar UMNO yang hafal 'Rukun' Islam Hadharinya ? more

Khamis, 15 Jun 2006

PAK LAH TIDAK AKAN MENJAWAB...

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata semua penjelasan mengenai dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan dijawab oleh kementerian berkaitan....more

Rabu, 14 Jun 2006

SIRI KERUNTUHAN AKHLAK 1

Edisi Tengah: Pil N 10 terus dijual
Oleh Norfaisal Jahuri

MELAKA: Beberapa klinik dan farmasi di negeri ini terus menjual pil no-span atau N 10 kepada remaja walaupun mengetahui pil merawat sakit tekak itu mampu memberi kesan khayal sama seperti mengambil ganja.Walaupun ada peraturan mereka yang ingin mendapatkan pil itu perlu menyatakan maklumat peribadi tetapi ia tidak menghalang penjualannya secara terbuka kerana pil yang sudah sedia dipaket dalam kuantiti 10 biji itu dijual pada harga RM5.
Tinjauan Harian Metro ke beberapa klinik dan farmasi sekitar bandar ini mendapati tiada larangan atau sekatan kepada remaja membeli pil berkenaan secara terbuka.Malah wakil Harian Metro yang berkunjung ke sebuah farmasi di Batu Berendam, semalam turut membeli pil berkenaan sebagai membuktikan pil itu masih bebas dijual kepada sesiapa saja tanpa sebarang kawalan.
Akhbar ini pernah mendedahkan penggunaan pil itu yang semakin mendapat sambutan di kalangan remaja dan Mat Rempit baru-baru ini tetapi tiada tindakan diambil Cawangan Penguat Kuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan cawangan negeri ini untuk membanterasnya.Pil itu dikatakan mampu memberi kesan khayal jika ditelan empat atau lima biji sekali gus.
Berikutan kebimbangan mengenai penularan pengambilan pil itu, Persatuan Alumni Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Pendamai) negeri menawarkan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan (JK) negeri bagi memberi maklumat mengenai penyalahgunaan beberapa ubat dan pil yang boleh dijadikan sebagai bahan ganti kepada dadah.Ini bagi membolehkan JK mengambil tindakan terhadap klinik atau farmasi terbabit yang menjual ubat berkenaan kepada orang ramai tanpa kawalan.
Pengerusi Pendamai negeri, Amer Mokhtar Jantan, berkata pihaknya mempunyai maklumat mengenainya daripada bekas penagih dadah yang kini menerima kaunseling di bawah Pendamai."Kebanyakan bekas penagih terbabit mempunyai maklumat dan pengalaman mengenai pelbagai penyalahgunaan beberapa ubat dijadikan sebagai bahan ganti untuk melegakan ketagihan mereka sebelum ini. "Menerusi maklumat itu, JK boleh bertindak ke atas mereka (farmasi atau klinik) yang menjual ubat berkenaan tanpa kawalan " katanya.
Amer berkata, penyalahgunaan ubat tertentu untuk tujuan berkhayal ini lazimnya timbul menerusi {eksperimen penagih atau menerusi maklumat dari rakan mereka.
Katanya, apabila ubat tertentu itu memberi kesan khayal kepada mereka, ia mula menjadi buah mulut golongan terbabit."Kami berharap penjualan pil tanpa had oleh pihak farmasi atau klinik dapat dikawal untuk mengelakkan ia muncul sebagai dadah gantian baru kepada penagih atau golongan remaja. "Disebabkan penggunaan ubat itu tidak menyalahi Akta Dadah dan tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing ia semakin popular pada masa ini," katanya.
Sementara itu, jurucakap Cawangan Penguat Kuasa, Bahagian Perkhidmatan Farmasi negeri ketika dihubungi memaklumkan semua pegawainya berkursus selama tiga hari mulai kelmarin.

sumber :Harian Metro

Sabtu, 10 Jun 2006

KETUA PEMUDA PAS MELAKA NAFIKAN LAPORAN AKHBAR

Ketua pemuda PAS Melaka Kamarudin Hj.Sidek menafikan laporan akhbar yang mengatakan beliau menyeru supaya Mawi dan Siti Nurhaliza diundang membuat persembahan bagi menarik minat golongan remaja ke program- program anjuran PAS.
Laporan tersebut dilihat cuba menimbulkan keraguan melalui penyertaan nama 'Siti Nurhaliza' yang boleh menimbulkan fitnah terhadap gerakan dakwah Parti Islam Semalaysia.
Apa yang benar adalah Ust. Kamarudin bermaksud supaya dalam mengadakan engagement bersama Mawi dan Siti Nurhaliza , kita telah terlepas pandang terhadap golongan nasyid.
Ini juga ditimbulkan kerana kesan publisiti yang melampau terhadap selebriti telah menimbulkan kesan negatif sehingga ada yang sampai keperingkat pemujaan.
Laporan yang tidak tepat dari akhbar tersebut amatlah dikesali dan diharap tidak berulang lagi.


TAHNIAH KEPADA ICT PAS PUSAT

Unit IT Pemuda PAS Jasin mengucapkan tahniah kepada ICT PAS Pusat kerana berjaya membuat lintas lansung semasa PAS Pusat bermuktamar. Siaran tersebut dilihat amat berjaya kerana dapat diikuti oleh ahli PAS di seluruh negara malah juga di seluruh dunia.

Khamis, 1 Jun 2006

PERANG NANING AKAN DIFILEMKAN?

KALAULAH ada syarikat korporat atau multinasional sanggup berkorban besar atas dasar tanggungjawab sosial dengan membiayai filem untuk kepentingan negara, pastinya hajat Meor Hashim Manap mengarahkan filem Perang Naning boleh tercapai.

Tapi apakan daya, filem yang diterbitkan atau dikerjakan oleh anak tempatan, selalunya tidak pernah dilihat dapat membawa prestij yang boleh menaikkan imej syarikat besar.
Mungkin suatu hari nanti, akan ada syarikat besar atau yayasan dari luar negara yang akan sanggup membiayai sebuah filem tempatan yang mengangkat tokoh dan pahlawan yang memperjuangkan maruah serta kedaulatan negara.
Sekarang pun, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara seperti Yayasan Jepun, Perancis serta Belanda yang membantu karyawan tempatan untuk terus berkarya.
Sehubungan itu, Meor Hashim memerlukan dana dianggarkan sangat besar untuk membiayai pembikinan filem Perang Naning.
Sekiranya menjadi kenyataan, lokasi utama penggambaran filem ini akan dibuat di Pagar Ruyung di Padang, Sumatera kerana suasana dan latar belakang tempat menepati gambaran yang diberikan pada skripnya.
Kos yang tinggi juga disebabkan untuk menyediakan props yang bersesuaian, busana dan barisan pelakon tambahan yang banyak. ''Belanja yang besar juga diperlukan untuk penggunaan teknik kesan khas berkomputer atau CGI bagi memastikan apa yang dipaparkan nampak nyata,'' kata Meor Hashim, yang juga seorang dramatis dan pengarah telefilem, teater dan filem.
Berdasarkan catatan dari laman web Arkib Negara, Perang Naning berlaku pada tahun 1832 membabitkan Kerajaan Inggeris di Melaka dengan orang Melayu Naning.
Peperangan ini dikatakan berpunca daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar 1/10 daripada hasil pendapatan mereka kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka.
Orang-orang Melayu Naning diketuai oleh Penghulunya, Dato' Naning Abdul Said atau Dol Said.
Setelah beberapa kali gagal memujuk Dato' Naning supaya membayar ufti 1/10, pada bulan Julai 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghancurkan pasukan Dato' Naning dan orang-orangnya.Askar-askar ini mendapat tentangan hebat dan berjaya dikalahkan oleh orang-orang Dato' Naning dengan bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban, menantu Raja Ali.Inggeris sedar kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan.
Oleh itu, dari tahun 1831 hingga 1832, Inggeris berjaya menandatangani satu perjanjian dengan orang Rembau.
Mengikut perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang di antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat. Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya daripada Naning.
Pada bulan April, 1832, pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban bergabung dengan askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang menyerang Naning bagi kali yang kedua.
Beberapa pertempuran berlaku selama kira-kira dua bulan. Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato' Dol Said dapat ditawan dan Dato' Dol Said serta pengikut- pengikutnya berundur.
Walaupun dapat dikalahkan, Inggeris tidak berminat untuk mentadbir Naning kerana hasil mahsul-mahsulnya tidak dapat menampung perbelanjaan pentadbirannya. Raja Ali pula enggan memasukkan Naning ke dalam wilayah Rembau.
Oleh itu Naning dimasukkan ke dalam pentadbiran wilayah Melaka. Menurut Meor Hashim, Perang Naning bukan sekadar perang semata-mata tetapi menceritakan erti perjuangan dalam mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa. Dan, pada masa ia juga memberikan pengajaran bahawa sikap mementingkan diri sendiri dan tidak setia, akhirnya boleh menghancurkan bangsa sendiri.
''Tapi filem Perang Naning lebih fokus kepada sejarah perjuangan Dol Said di Naning, salah satu kawasan antara sempadan Melaka dan Negeri Sembilan pada waktu itu. ''Kita cuba mendekati siapa sebenarnya beliau.
Ini kerana beliau adalah tokoh pertama yang tidak gentar untuk menentang Inggeris sebelum kemunculan Datuk Maharajalela di Perak,'' kata Meor Hashim kepada Hip.
Katanya lagi, skrip filem itu ditulis oleh sarjana perfileman tanah air, Dr Anuar Nor Arai yang membuat kajian teliti mengenai sejarah Perang Naning dan latar belakang Dol Said itu sendiri.Menurutnya, skrip filem itu juga sudah ditunjukkan kepada waris Naning dan mereka mengakui fakta mengenai asal usul dan bagaimana peristiwa Perang Naning berlaku adalah tepat.