Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 31 Disember 2006

SADDAM DIGANTUNG

Empat letupan gegar dua kawasan Syiah selepas hukuman

BAGHDAD: Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, digantung sampai mati pada fajar waktu Baghdad semalam, sambil memegang al-Quran dan enggan dipakaikan kain penutup kepala ketika menjalani hukuman.

Sami al-Askari, penasihat politik Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, memberitahu agensi berita Associated Press, Saddam tidak memakai pakaian banduan sebaliknya tampil dengan jaket hitam, seluar, bertopi dan kasut.

Al-Askari berkata, Saddam meronta ketika pengawal membawanya keluar dari bilik tahanan tetapi beliau tenang ketika menjalani hukuman.

Sejurus sebelum hukuman dijalankan, topi Saddam diambil dan beliau ditanya sama ada mahu berkata sesuatu.

"Tidak, saya tidak mahu," kata Saddam seperti dipetik oleh al-Askari yang hadir pada sesi hukuman itu. Saddam kemudian berdoa bersama seorang ulama Sunnah yang dijemput menjadi saksi.

"Selepas itu, Saddam dibawa ke tempat hukuman dan enggan kepalanya ditutup. Sebelum tali dijerut di leher, Saddam menjerit: 'Allahuakbar. Negara ini akan menang dan Palestin milik Arab'.

"Kami dengar bunyi tengkuknya patah. Keadaan berlaku dengan cepat. Saddam terus mati,"
kata seorang saksi hukuman itu.

Saddam, 69, menjalani hukuman itu di bekas ibu pejabat perisikan tentera di kawasan penduduk Syiah di Kazimiyah, lokasi makam paling suci Syiah bagi Imam Kazim.

Beberapa jam selepas hukuman, empat letupan bom kereta melanda dua kawasan Syiah menyebabkan 61 maut.

Al-Askari juga berkata, Kerajaan Iraq belum memutuskan langkah selanjutnya berhubung mayat Saddam tetapi ada pegawai mengakui ia mungkin akan diserahkan kepada keluarga bekas pemimpin itu.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Iraq, Mouwafak al-Rubaie, pula memberitahu stesen televisyen rasmi Iraqiya: "Kami mahu menjalankan hukuman mati ke atasnya pada hari istimewa."

Gambar dan sesi hukuman terhadap Saddam itu juga turut dirakamkan menerusi video, katanya.

"Beliau tidak meminta apa-apa. Beliau memegang al-Quran dan memberitahu bahawa dia mahu kitab itu diberi kepada seseorang yang bernama Bander," kata al-Rubaie yang mengakui tidak tahu siapa lelaki berkenaan.

Stesen Iraqiya pada awalnya melaporkan adik tiri Saddam, Barzan Ibrahim dan bekas Ketua Hakim Mahkamah Revolusi, Awad Hamed al-Bandar, turut dihukum gantung tetapi pegawai kemudian memberitahu hanya Saddam yang menjalani hukuman.

Hukuman terhadap Saddam dilakukan 56 hari selepas mahkamah mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati atas pembunuhan 148 penduduk Syiah di Dujail pada 1982.

Mahkamah tertinggi Iraq menolak rayuan Saddam pada Isnin lalu dan mengarahkannya dihukum mati dalam tempoh 30 hari.

Jumaat lalu, seorang hakim Amerika enggan melarang hukuman mati dilaksanakan ke atas Saddam selepas peguam bela cuba mencabar kewajaran hukuman itu pada saat terakhir.

Hukuman mati ke atas Saddam juga dilakukan pada permulaan sambutan Aidiladha, menandakan tamatnya ibadat Haji di Makkah yang biasanya disambut dengan melakukan korban.

Di kawasan penduduk Syiah di Kota Sadr, Baghdad, ada penduduk menari di jalan raya, manakala yang lain melepaskan tembakan ke udara menyambut kematian Saddam.

PERUTUSAN AIDILADHA DAN TAHUN BARU 2007 - YDP PAS KAWASAN JASIN

Allahhu akhbar, Allahhu akhbar, Allahhu akhbar

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga, sahabat dan pengikut baginda.

Saudara ku yang dimuliakan,


Sesungguhnya perjuangan meletakkan Islam dipersada yang selayaknya merupakan satu tuntutan dan pengorbanan yang cukup tinggi. Sebagai hamba yang sentiasa patuh dan taat pada penciptanya kita hendaklah bersedia memenuhi segala tuntutanNya samada harta mahupun nyawa sekalipun apabila diperlukan. Ambillah kisah ketaatan Nabi Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail sebagai iktibar dan pegangan dalam perjuangan yang berliku ini. Sesungguhnya semakin hampir hamba dengan tuhannya maka bertambah kuatlah ujian yang melintang dihadapan. Dari itu kuatkanlah penggantungan kepada Allah dan banyakanlah bersabar.

Kepada saudara yang telah berada dibumi Mekah kerana menyempurnakan rukun Islam yang kelima,saya doakan agar dapat beribadah dengan sempurna dan diterima Allah sebagai haji yang mabrur.

Sempena kedatangan tahun baru masihi 2007 ini, saya mengingatkan kepada seluruh pendokong PAS supaya bersedia dan memperkemaskan jentera pilihanraya. Tanamkanlah difikiran sauadara bahawa 2007 adalah tahun pilihanraya. Berkerja keraslah mulai sekarang. Mudah mudahan Allah membalas segala usaha kita dengan 'kelahiran putera sulong'.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada DPPKJ yang telah berjaya mewujudkan laman web 'jasindaily' ini. Manfaatkan sebaik mungkin dan jadikanlah 'jasindaily' satu lagi 'flatform' untuk menyebarkan misi.


Akhir sekali saya dan seluruh AJK PAS Kawasan Jasin megucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin. Dan juga selamat menyambut tahun baru masihi 2007. Sekian terima kasih. Assalammualaikum wt. wbrt.

Mejar (B) Hj Jasme Bin Tompang
Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin.

PERUTUSAN AIDILADHA DAN TAHUN BARU 2007 - KETUA PEMUDA PAS KAWASAN JASIN

Bismillah hir rahmaa nirrahim..

Alhamdulillah , segala puji bagi Allah,tuhan sekelian alam selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, sahabat dan pengikut baginda.

Ana bersyukur kehadrat Allah swt kerana diberi kesempatan dan peluang disini untuk memberi sedikit perutusan.

Para sahabat yang ku kasihi, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha atau disebut juga hari raya korban marilah sama – sama kita menginsafi diri dan memperbanyakkan amal serta mempertingkatkan takwa kepada Allah swt.

Seorang yang mengaku berjuang untuk menegakkan agama Allah mestilah melihat kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail dengan kacamata yang lebih besar dan menyeluruh. Bukanlah pengorbanan itu sekadar kita menumbangkan binatang ternakan. Marilah kita bertanya pada diri kita, berapa banyakkah masa, fikiran, tenaga atau wang ringgit yang telah kita belanjakan untuk perjuangan ini. Atau bersediakah kita mengorbankan nyawa apabila seruan memanggil kedengaran.

Ingatlah....Sesungguhnya Allah telah menjanjikan syurga yang penuh kenikmatan pada hamba yang berjuang dijalanNya samada dengan harta dan nyawa.Apakah sahabat ku tidak 'berahi' dengan janji Allah itu. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

Sempena dengan kehadiran tahun baru 2007 ini, ana mengharapkan cahaya islam akan terus berkelipan dan terus bersinar, mulakanlah azam dan usaha ke arah kemenangan kerana pilihanraya semakin menghampiri kita. Bekerjalah bersungguh - sungguh, ikhlaskan diri dan bertawakkal kepada Allah.

Akhirnya ana mengucapkan selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin dan selamat menyambut tahun baru 2007. Sekian wassallam.

Ustaz Kamarudin Bin Hj Sedek.
Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka merangkap
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin.


PERUTUSAN AIDILADHA DAN TAHUN BARU 2007 - KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS KAWASAN JASIN

Bismillah hir rahmaa nirrahim..

Segala puji - pujian hanya untuk Allah, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga, sahabat pengikut dan pejuang yang mempertahankan ajaran dan sunah baginda.


Terima kasih saya ucapkan kepada 'jasindaily' yang memberi kesempatan pada saya untuk menyampaikan perutusan ini. Disini saya dan juga seluruh ahli jawatan kuasa Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin ingi mengucapkan selamat Hari Raya Aidil adha dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2007 kepada semua muslimin dan muslimat. Kepada pembaca yang setia pada laman web ini,saya harap teruskanlah sokongan anda.

Sesungguhnya setiap kali tahun bertukar bermakna usia kita makin meningkat dan usia dunia juga bertambah lanjut. Manfaatkanlah sisa umur yang masih ada dengan menambah ibadah dengan Allah swt. Matangkanlah diri dengan pengalaman yang pernah kita tempuhi sebelum ini.

Bagi seluruh ahli muslimat, saya mengharapkan agar bersedia dengan pilihan raya yang dijangkakan pada 2007 ini. Fikirkanlah gerak kerja yang terbaik untuk kita merasai kemenangan yang selalu kita impikan. Korbankanlah keseronokan dunia yang sementara ini untuk kita merasai keseronokan dan kenikmatan yang kekal abadi di dalam syurga Allah.

Sekali lagi, Selamat menyambut Hari Raya Aidil adha, maaf zahir dan batin. Dan selamat menyambut tahun baru masihi 2007.Semoga tahun baru ini membawa kebaikan pada perjuangan islam yang suci ini.

Terima kasih, wassalam.


Hajah Sopiah Bte Ahmad.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin.

Sabtu, 30 Disember 2006

DPPN MELAKA MENGHANTAR 220 PESERTA KE 'HIMPUNAN 15 000 PEMUDA'

Dewan Pemuda PAS negeri Melaka telah menghantar seramai 220 peserta keperhimpunan '15 000 pemuda' di Padang Perdana Kota Bahru, Kelantan pada 23 Disember yang lalu. Rombongan ini diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Bin Haji Sidek bersama 5 buah bas yang disewa khas.

Sementara itu ,sebelum berangkat semua peserta telah diberikan suntikan semangat oleh Pesuruhjaya PAS Negeri ,Ustaz Abd Ghani Bin Abd Rahman. Beliau mengingatkan peserta agar menjaga akhlak, merapatkan ukhwah dan bersabar menghadapi sebarang suasana semasa disana.


Tambah beliau lagi, pemuda islam mestilah berpandangan jauh, memiliki kefahaman yang luas tentang islam dan berasa bangga berada dalam perjuangan islam. Seterusnya beliau mendoakan keselamatan pergi dan balik dan mengharapkan satu perhimpunan pemuda peringkat negeri dapat diadakan selepas ini.


Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Bin Hj Sidek ketika diminta mengulas saranan pesuruhjaya itu , berkata 'DPPNM memang telah merancang satu perhimpunan peringkat negeri dan akan diadakan sebelum pilihanraya umum ke 12'. Mengenai perhimpunan 15000 pemuda di Kelantan, beliau merasa berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada Dewan Pemuda Pas Kawasan Masjid Tanah yang telah memenangi hadiah khas bagi 'Dewan Pemuda Pas Kawasan yang berjaya mencapai sasaran seperti yang telah ditetapkan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat'.

sumber gambar diperolehi daripada Tranungkite.net

Khamis, 28 Disember 2006

KETUA PEMUDA PAS MELAKA JAWAB MUFTI PERLIS

eOLEH : BUDI

Tahniah diucapkan kepada Sahibul Sama'ah Dr.Zainul Asri bin Zainal Abidin diatas perlantikan beliau selaku Mufti Negeri Perlis Darul Sunnah dan perlantikan ini juga mencatat sejarah baru dalam perlantikan mufti di Malaysia dimana beliau merupakan mufti yang paling muda.

Komen daripada Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamarudin bin Haji Sidek. Kenyataan tersebut memberikan ruang kepada penggemar maksiat untuk terus menerus melakukan maksiat.

Menurut Ustaz Kamarudin, pegawai penguat kuasa agama bertindak mengikut laporan yang diperolehi dan bukannya bertindak secara membuta tuli. Jika berlaku kesilapan ketika melakukan serbuan ia merupakan kesilapan maklumat yang diberikan

Kenyataan tersebut seolah-olah memperlekehkan bidang tugas pegawai penguat kuasa agama.

Harapan dari Ketua Pemuda PAS Melaka, beliau meminta agar Mufti Perlis elakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dan beliau juga mengharapkan jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana pihak apabila mengeluarkan kenyataan. Akhir sekali, Ustaz Kamarudin juga meminta agar Mufti Perlis memikirkan lebih banyak lagi perkara-perkara yang lebih besar seperti isu murtad antaranya.

Rabu, 27 Disember 2006

SETAHUN SUDAH BERLALU.....

Alhamdulillah, semalam genaplah setahun usia blog jasindaily. Segala susah payah dan pahit getir banyak diharungi ketika kami mengendalikan blog ini. Terima kasih ditujukan khas buat pengunjung yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami. Insya-Allah selagi ada umur kami akan terus beristiqomah. Dengan memperjuangkan konsep "LAMAN INFORMASI TERKINI", insya-Allah kami akan sentiasa menyalurkan maklumat terkini terutama berita-berita yang berkisar di Negeri Melaka dan tak juga yang berlaku di Malaysia bumi tercinta.

Selama setahun, blog ini sudah 3 kali bertukar rupa dan 2 kali bertukar nama. Bermula dengan Kawjasindaily dan sekarang sudah ditukar kepada jasindaily. Pada asalnya laman ini bermula pada bulan Ogos 2005 dan dilaksanakan secara rasmi pada 25 Disember 2005.

Terima kasih juga kepada salah seorang wartawan PENJANA Melaka iaitu saudara "BUDI" yang sudi meyumbangkan berita kepada kami. Tak lupa juga kepada laman-laman seperti Tranungkite, PemudaBukitKatilatau mana-mana laman yang ada menyediakan link untuk terus ke laman jasindaily. Jasa kalian semua tidak akan kami lupakan. Kami akui yang laman ini kurang dikemaskini untuk setiap hari kerana salah seorang orang kuat blog ini telah menjawat jawatan Setiausaha Pemuda PAS kawasan Jasin, tetapi itu tidak mematahkan semangat kami untuk berpencak di dalam arena IT.

Disebabkan tugas baru itu, kerja-kerja untuk mengemaskini blog ini sedikit terkandas, tetapi Alhamdulillah beliau masih lagi mampu beristiqomah dalam kerja-kerja ICT walaupun sibuk dengan tugas yang baru. Beliau masih sanggup melapangkan masa untuk mengemaskini blog ini dan sesekali menghantar artikel berkenaan isu semasa.


Banyak jasa blog ini kepada beliau..disebabkan dengan blog ini beliau mempunyai ramai kenalan dikalangan ahli PAS. Bukan hendak menonjolkan diri tetapi inilah salah satu usaha bagi mempertingkatkan taraf ICT dikalangan ahli PAS agar orang PAS tidak dipandang lekeh oleh puak-puak UMNO dan sekutunya selain menyalurkan maklmat terkini selain itu juga dapat memperatkan ukhwah.

Kita ketahui yang media cetak dan media elektronik ratanya dikuasai oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional. Malaysia yang dikatakan mengamalkan sistem demokrasi sebaliknya telah menindas parti pembangkang dalam menyalurkan inormasi kepada penduduk di Malaysia.

Akibat "demokrasi"lah parti pembangkang ditindas dengan zalimnya oleh pihak kerajaan yang menguasai sepenuhnya media di Malaysia. Alhamdulillah dengan wujudnya kemudahan internet ini, memberikan kami peluang kepada kami untuk melebarkan sayap dalam arena IT dengan menyajikan berita-berita terkini yang melibatkan keganasan dan kezaliman UMNO dan BN kepada rakyat jelata.

Insya-Allah moga perjuangan ini diberkati oleh Allah dan kemenangan akan menjadi milik kepada insan yang sayang dan cintakan agamanya. Moga PAS akan terus membangun sejajar dengan slogan MEMBANGUN BERSAMA ISLAM..-salam perjuangan

Selasa, 26 Disember 2006

KEPIMPINAN ISLAM HADHARI LEBIH UTAMAKAN HIBURAN DARI MEMBENDUNG GEJALA SOSIAL.!!!

Sebagai seorang melayu dan bumiputera serta beragama islam, apa dah jadi dengan golongan artis-artis kita ya? Saya malu dengan gambar-gambar yang saya lihat.

Tak cukup dengan isu nikah, cerai, khalwat dan beranika kisah lagi, pakaian yang tidak melambangkan ciri-ciri Islam; memalukan... di manakah yang dilabelkan Islam agama rasmi Malaysia kerana kebanyakkan mereka ini adalah Melayu dan Islam. Bagaimanakah perasaan mereka ini?

Lihat baru2 ini, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi 'Global Indian Film Awards' (GIFA-2006). Majlis penganugerahan bagi penggiat filem Mumbai ini bukan kali pertama diadakan disini. Apakah rasional Malaysia dipilih sebagai tuan rumah? Bukankah Malaysia Negara islam dan majoriti rakyatnya berpegang pada ajaran islam yang tulen dan yang hadhari. Adakah ini yang perlu dibanggakan oleh kerajaan Islam Hadhari dengan menyalurkan hiburan di Malaysia. Apakah usaha kerajaan yang ada ini untuk memupuk dan membanteras gejala sosial yang semakin meruntuh. Mungkin bila dah terhantuk baru nak beringat...

Jumaat, 22 Disember 2006

BANJIR TERBURUK DI MELAKA SEJAK 10 TAHUN

oleh : Budi

Hujan yang turun tanpa henti bermula 17 Disember lalu telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negeri Melaka. Antara kawasan yang terlibat didaerah Jasin ialah Kg Kemengkang, Kg Kesang, Air Panas, Air Barok, Kg Chincin, Kg Cohong, Sempang Bekoh dan Pekan Jasin.Seramai 84 orang telah dipindahkan kepenempatan banjir yang dibuka di Sekolah Menengah Simpang Bekoh. Ada juga yang menumpang dirumah sudara dan jiran.


Sementara itu di Sg Rambai keadaan bertambah serius. Sehingga kini telah lebih 500 orang dipindahkan di tiga buah pusat pemindahan.Beberapa jalan di parit Putat dan Batu Gajah telah ditutup sementara untuk kenderaan ringan.


Bagi kawasan Alor Gajah khususnya di Kg Pulau ,45 orang daripada 9 keluarga telah dipindahkan ke surau Kampung Pulau. Banjir kali ini menyebabkan sebuah Sekolah Rendah Islam Seri Al-Munawwarah di kampung tersebut ditenggelami air sedalam 1.5 meter. Menurut mudir sekolah berkenaan, Ustaz Abdul Razak, hanya barang-barang penting yang dapat diselamatkan dan beliau merayu agar masyarakat dapat memberikan sumbangan bagi membaikpulih kerosakan.

Sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke dalam akaun Bank Islam ( 04015010024074 ) atau hubungi terus ditalian
019-6823237.

Menurut mangsa banjir yang ditemui, mereka tidak menyangka yang hujan lebat selama 2 hari boleh mengakibatkan banjir yang begitu teruk dan banyak barang tidak dapat diselamatkan kerana air naik dengan begitu cepat.

Prihatin dengan keadaan yang berlaku ini, PAS Kawasan Jasin telah menghulurkan bantuan segera yang berupa bahan makanan kepada mangsa yang terlibat. Sumbangan telah disampaikan oleh YDP Kawasan Jasin, Mejar Jasme bin Tompang bersama Ketua Pemuda PAS Pusat YB Salahudin bin Ayub.

"Saya mengharapkan agar semua mangsa banjir bersabar diatas kejadian ini dan redha terhadap apa yang berlaku. Insya-Allah PAS akan sentiasa bersama dan prihatin dalam menangani masalah ini tanpa mengira agama, bangsa ataupun fahaman politik," ujar Mejar Jasme.

Rabu, 20 Disember 2006

DEMO BESAR-BESARAN BANTAH TOL NAIK 7 JAN 2007

MTUC, PKR, PAS, DAP dan lain-lain persatuan akan menganjurkan demo besar-besaran di Lebuhraya Damansara Puchong pada AHAD 7 Januari 2007 untuk membantah kenaikan tol. Kepada mereka yang prihatin dan ingin turut serta dalam demo ini sila ikuti perkembangan terkini di internet dari masa ke semasa.

BERITA MELAKA : DIMANAKAH KEPRIHATINAN YANG DIBERIKAN KEPADA UMAT ISLAM DI MELAKA ??

OLEH : BUDI

Bukan pertama kali rungutan pelancong mengenai tempat solat di Dataran Pahlawan - Bandar Hilir. Laporan di akhbar metro hari ini (19 Disember 2006) menambahkan lagi senarai komplen mengenainya.Sebenarnaya itulah gambaran sifat 'prihatin dan ketakwaan' kerajaan pimpinan Datuk Ali Rustam.

Tidak dinafikan negeri yang pernah menjalankan pemerintahan islam ini banyak peninggalan sejarahnya.Kerajaan kesultanannya yang agong diakui kalifah Uthmaniah diTurki - Sultan Abd Hamid ke 2. Itulah punca ianya dicemburui Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Mereka datang untuk memadamkan cahaya islam disini. Buktinya tiada satu peninggalan atau tanda keagungan kerajaan / kesultanan islam di Melaka.Tidak menyediakan tempat solat yang selesa ,bermakna melangsungkan cita-cita penjajah tersebut.

Selain A-Famosa, dua bangunan yang 'wajib' dikunjungi pelancong di Bandar Hilir adalah gereja lama peninggalan penjajah.Bukit St Paul (Portugis) dan Stadhyus - Bangunan Merah (Belanda). Persoalannya, mana masjid? Musollah yang digunakan itu pun asalnya bangunan biasa yang diubahsuai. Maknanya tiada perancangan yang khusus disitu.

Haji Datuk Ali Rustam mungkin ada alasan dan jawapan membina masjid 'pelancongan' bernilai RM10.5 juta dan baru dirasmikan itu. Namun pelancong di Bandar Hilir yang hendak bersolat mungkin tidak memilih masjid yang sejauh dua kilometer. Kerja-kerja membesarkan musollah tidaklah menelan kos yang terlalu tinggi jika dibandingkan dengan membina masjid jutaan ringgit hanya untuk lima orang jemaah memakmurkannya

Isnin, 18 Disember 2006

TOH OH TOL...!! KAU NAIK LAGI !!!

Hari ini saya paparkan jadual kadar baru kenaikan Tol. Mungkin dari paparan dari jadual tersebut mambu memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pengunjung blog ini. Sama-sama la kita fikirkan.....

KUALA LUMPUR: Kadar tol di lima lebuh raya sekitar Lembah Klang dinaikkan antara 20 dan 60% berkuatkuasa 1 Januari depan.

Lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

(Satu lagi kenaikan yang dinantikan oleh penyokong-penyokong BN dimana inilah habuan yang diperolehi diatas undian yang mereka lakukan dalam pilihanraya terdahulu..Membantu Kerajaan dan disamping Rakyat di tindas..motto baru dari BN untuk rakyat Malaysia. Maybe ni sejajar dengan kempen Wawasan 2020 kot.... )

Kadar baru kenderaan Kelas 1 (kereta) bagi LDP ialah RM1.60 (naik 60 sen), Lebuhraya Shah Alam RM2.20 (naik 70 sen), Lebuhraya Cheras-Kajang (Batu 9) RM1 dan (Batu 11) 90 sen (kedua-duanya naik 30 sen), Lebuhraya KL-Karak (Gombak) RM5 (naik RM1) dan (Bentong) RM3 (naik 50 sen), dan Lebuhraya Koridor Guthrie RM1.40 (naik 40 sen).



Di LDP, kenaikan sebanyak 60% yang diluluskan kerajaan menjadikan kadar baru tol ialah RM3.20 (Kelas 2), RM4.80 (Kelas 3), 80 sen (Kelas 4) dan RM1.60 bagi kelas 5. Konsesi bagi lebuhraya itu pula dilanjutkan selama setahun kepada 34 tahun.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu ketika mengumumkan kenaikan kadar tol itu berkata bagi Lebuhraya Shah Alam pula kadar dinaikkan sebanyak 47% sementara tempoh konsesi pula ditambah dua tahun lagi kepada 30 tahun.


( Ni sorang lagi, ntahla bila nak berundur agaknya...apa, dia pikir dalam Malaysia ni dia sorang jer pandai...selagi orang tua ni ada, selagi tu rakyat Malaysia hidup susah...perjanjian apa yang sampai makan masa sampai 30 tahun...?? ntah2 duit banyak masuk poket dia...nanti senangla bila dah pencen bole la dia p makan angin kat oversea...ceh, angin satu badan aku dibuatnya....bodo punyer menteri, xabis2 dengan ayat "KADAR TOL DI MALAYSIA LAGI MURAH JIKA HENDAK DIBANDINGKAN NEGARA LUAR"...apa kejadahnyer ko nak ikut negara luar..tengok masalah rakyat Malaysia..prihatin la sikit..xsuma hidup senang...ko lainla duit hulur bawah meja banyak ko dapat...krisis MRR2 pun xsetel lagi ko dah nak ubah topik..cari popoulariti gamaknya... )

Kadar baru tol di lebuhraya itu ialah RM3.30 (Kelas 2), RM4.40 (Kelas 3), RM1.10 (Kelas 4) dan RM1.70 (Kelas 5).

Bagi Lebuhraya Cheras Kajang , kata Samy, kadar tol dinaikkan antara 43 dan 50%, menjadikan kadar baru di tol Batu 9 RM2 (Kelas 2 dan 3), 50 sen (Kelas 4) dan RM1 (Kelas 5) dan di Batu 11, kadar baru ialah RM1.80 (Kelas 2 dan 3), 50 sen (Kelas 4) dan 90 sen bagi kenderaan kelas 5.

Tempoh konsesi bagi lebuhraya itu juga dilanjutkan enam tahun kepada 38 tahun.

Di Lebuhraya Koridor Guthrie, yang dibina pada harga RM862 juta, pengguna perlu membayar RM2.80 (Kelas 2), RM4.20 (Kelas 3), 70 sen (Kelas 4) dan RM1.40 (Kelas 5). Kenaikan tol bagi lebuhraya itu ialah 40%.

Di Lebuhraya KL-Karak pula, pengguna di Gombak perlu membayar RM10 (Kelas 2), RM15 (Kelas 3), RM2.50 (Kelas 4) dan RM5 (Kelas 5) berikutan kenaikan kadar tol sebanyak 25%.

Sementara di Bentong kadarnya meningkat 20% menjadikannya RM6 (Kelas 2), RM9 (Kelas 3), RM1.50 (Kelas 4) dan RM3 (Kelas 5).

Kelas 1 adalah untuk kereta, Kelas 2 bagi lori kurang daripada satu tan, Kelas 3 lori besar dan treler; Kelas 4 teksi dan Kelas 5 bas.

Samy menjelaskan kerajaan tidak dapat lagi mengelakkan daripada membenarkan kenaikan itu. Beliau juga berkata kenaikan kadar tol itu bukannya yang terakhir.

"Kenaikan kadar tol tidak akan berakhir. Ini fenomena yang tidak boleh dijawab bila ia akan selesai. Kita selesai satu jalan, kita bina jalan baru sebab kita mahu memberi pembangunan pesat kepada negara ini," jelas.

(pembangunan pesat konon, pembangunan pesat yang memberikan lebih banyak bebanan pada rakyat jelata adala....harga minyak dunia dah turun tapi harga minyak kat Malaysia xjugak turun....apa punyer malang dah.....)

Beliau menjelaskan kenaikan itu timbul berikutan penstrukturan semula penjanjian konsesi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kadar kenaikan.

Tambahnya, kadar kenaikan pula dikira mengikut jumlah pengguna di setiap laluan berkenaan sepanjang tahun ini.

"Jika kita membenarkan kesemua pemegang konsesi menaikkan kadar tol mengikut perjanjian, beban kepada kerajaan adalah lebih berat, " katanya.


(beban atau tak ko kena pikir juga masalah rakyat jelata...ko kan dah lama dalam kerusi kabinet, xkan xde inisiatif lain...aku tengok kerajaan BN la ni makin mengarut....duit dapat banyak tapi ntah lari kemana....sonang kato, pangkah je PAS@keADILan pada pilihanraya akan datang...Palestin, Indonesia dah berani membuat pembaharuan pemilihan kerajaan baru, Malaysia bila lagi...samapi bila nak tanggung derita dibawah kepimpinan kerajaan yang dah 49 tahun memerintah...????tepuk dada tanya diri masing2 )

Ahad, 17 Disember 2006

MAIS MEMALUKAN UMAT ISLAM

Keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menarik balik tuntutannya untuk mengkebumikan jenazah Rayappan Anthony melambangkan kekeliruan pentadbiran hal ehwal Islam dalam negara kita yang semakin ketara.

Sebelum ini jenazah M Moorthy telah direbut oleh JAWI untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Tindakan JAWI hanya menimbulkan kekecohan dan ketegangan antara kaum. Moorthy disangka telah menganut 'Islam' sewaktu beliau sakit tenat di hospital tetapi fakta ini diragukan kerana sehingga hari ini JAIS tidak kemukakan dokumen yang sah untuk membuktikan dakwaannya. Moorthy tidak pernah menyertai sebarang upacara 'masuk Islam' yang rasmi dan tidak mempunyai sijil yang sah untuk mengesahkannya. Sebenarnya Moorthy telah meningalkan Islam dan kembali menganut agama Hindu dan pernah ditemuramah dalam televisyen sewaktu memikul kavadi di perayaan Thaipusam di Batu Caves.

Sama seperti kes Moorthy, Rayappan juga pernah bergambar menyertai 'Holy Communion' di gereja Kristian dan beliau telah menukar Kad Pengenalannya untuk membatalkan identity 'Islam'. Selain dari itu Rayappan juga telah membuat Pengakuan Mahkamah (Deed Poll) bahawa beliau adalah seorang Kristian.

Tetapi sewaktu hayat mereka tiada siapa pun orang Islam, MAIS, JAWI atau JAIS mengunjungi atau melawat Rayappan atau Moorthy. Tiada siapa pun pedulikan walaupun mereka memikul kavadi di Batu Caves atau telah menyertai Holy Communion di gereja tetapi apabila mereka meninggal dunia saja MAIS, JAWI dan sebagainya berebut untuk mandikan jenazah dan mengebumikan mayat orang Hindu dan orang Kristian di tanah perkuburan Islam. Perbuatan ini hanya mengundang sindiran dan ketawa terhadap orang Islam.

Dan kekeliruan ini telah berjangkit. Perdana Menteri Abdullah Badawi menyuruh Pendakwaraya atau Kamar Peguam Negara menangani dan memutuskan kes Rayappan walaupun dua buah mahkamah yang berasingan iaitu Mahkamah Syariah dan Mahamah Tinggi sedang mendengar kes ini. Sejak bilakah Pendakwaraya mempunyai kuasa memutuskan kes yang belum diputuskan mahkamah? Rupanya Perdana Menteri pun tidak faham undang-undang.

Pada waktu yang sama Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia Muhammad Burok telah menyelar tindakan MAIS sebagai amat memalukan kerana MAIS telah kemukakan rayuan ex parte dalam kes ini di mana ex parte maksudnya mereka mempunyai bukti yang kukuh. Tetapi sebenarnya MAIS terpaksa membatalkan kesnya kerana tidak mempunyai bukti yang cukup. Mengikut Muhammad ini bermaksud MAIS telah menyalahgunakan proses mahkamah (abuse of process).


Mahkamah Syariah pula telah mengambil pendekatan dangkal apabila mengeluarkan perintah sapina kepada ahli keluarga Rayappan menghadiri mahkamah. Keluarga Rayappan tidak mengendahkan perintah itu kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh melibatkan bukan Islam.

Apakah Mahkamah Syariah tidak faham perkara yang sebegini remeh?

Sejak bilakah 'hukum' Syarak membenarkan bukan Islam menjadi saksi di Mahkamah Syariah dalam kes yang melibatkan 'murtad' dan status 'Islam' seseorang itu? Sebagai contohnya syarat menjadi saksi dalam kes zina dan khalwat memerlukan lelaki Islam yang tidak pernah tinggalkan sembahyang Jumaat tiga kali berturut-turut. Sejak bilakah ahli keluarga Rayappan yang beragama Kristian itu menghadiri sembahyang Jumaat?

Dalam kes sebelum ini, bukan Islam pernah menjadi saksi di Mahkamah Syariah atas sukarela mereka sendiri tanpa perintah sapina. Perlembagaan Persekutuan menghadkan kuasa Mahkamah Syariah kepada orang Islam sahaja. Oleh itu tindakan Mahkamah Syariah ini mengelirukan dan berpotensi menimbulkan ketegangan dan keresahan tanpa sebab. Kes ini juga mengakibatkan orang bukan Islam ketawakan lagi sistem perundangan Islam khasnya dan sistem pentadbiran kita. Dalam kes Lina Joy, masalahnya ialah Jabatan Pendaftaran tidak mahu menggugurkan status 'Islam' dalam MyKad kepunyaan Lina. Inilah menjadi rungutan besar Lina. Tetapi dalam kes Rayappan pula status 'Islam' telah digugurkan daripada MyKad beliau. Kenapa 'double standard' ini?

Jawapannya ialah kerana Rayappan adalah keturunan India manakala Lina adalah keturunan Melayu. Jadi mengikut 'double standard' ini orang yang berketurunan bukan Melayu boleh keluar masuk Islam tetapi orang Melayu pula tidak boleh. Identiti perkauman Melayu adalah jauh lebih penting dan besar daripada Islam.

Kes Lina Joy, M Moorthy, Rayappan, kes Nyonya Tahir dan sebagainya menunjukkan kekeliruan yang amat besar dalam pentadbiran hal ehwal Islam dalam negara kita.

Jumaat, 15 Disember 2006

ANTARA SAMY VELLU, TOL & ...........

TOL naik lagi.......!!! satu demi satu penderitaan yang akan dikecapi oleh rakyat Malaysia khususnya penyokong tegar Barisan Nasional. Inilah Barisan Kerajaan yang dikatakan menjadi pemangkin kemajuan negara yang kononnya banyak membantu rakyat jelata.

Desas desus kenaikan tol di 5 lebuhraya yang digembar gemburkan sebelum ini sudahpun menjadi kenyataan dan ia menjadi mimpi ngeri apabila kenaikan tol ini diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S Samy Vellu yang bakal berkuatkuasa pada 1 Januari 2007.


Bebanan yang bakal dikecapi ini sedikit sebanyak memberikan impak kepada pengguna utama di 5 lebuhraya ini. Seperti yang dijangka, tahun 2008 pengguna lebuhraya bakal berdepan krisis kenaikan tol lagi dan kali ini sebanyak lapan lagi lebuh raya di seluruh negara bakal dinaikkan kadar tolnya pada Januari 2008 berdasarkan perjanjian yang ditandatangani oleh syarikat konsesi dengan kerajaan.

Lapan lebuh raya tersebut adalah Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuh Raya Bertingkat Ampang, Lebuh Raya Kulim-Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson. ( sila rujuk utusan Malaysia 15 Disember 2006 )

Aduh...sudah jatuh ditimpa tangga, baru rasa nak lepas dari mulut harimau, mulut sang bedal pulak menanti...rasa nak tergelak bila saya menyembang dengan penyokong-penyokong tegar Barisan Nasional. Banyak yang -ve dari +ve bila perkara sebegini dibicarakan. Tapi malangnya, insan seperti mereka tidak pernah rasa serik malah setiap kali pilihanraya mereka tetap mengundi Barisan Nasional kerana katanya hanya Barisan Nasional (UMNO) yang mampu membina nasib orang melayu. Kesiannyaaaaa.....

Bila timbul isu ini, terfikir saya, bagaimana pula dengan tambang Bas Express @ pengangkutan awam yang lain pada masa akan datang. Tidak mustahil malah rakyat dijangka berhadapan dengan satu lagi krisis bebanan selepas kenaikan tol apabila tambang dijangka akan naik akibat kenaikan tol itu.

Sikap rakyat juga yang tidak berupaya dan mampu membantah secara berterusan serta tidak bersungguh dalam menyuarakan rintihan himpitan hidup, mengakibatkan kerajaan mengambil peluang dan kesempatan untuk 'menindas' rakyat dengan pelbagai alasan ekonomi dan keperluan.

Entahla, sampai bila kita selaku rakyat Malaysia akan terus ditekan dengan kerajaan yang sedia ada ini. Cuma harapan saya agar kita selaku rakyat buatlah keputusan yang bijak. Jangan sampai sudah terhantuk baru kita hendak tersedar. Inilah malangnya nasib orang kita. Orang Melayu yang beragama Islam yang menjadi mangsa keadaan dan kezaliman kerajaan sendiri yang sebangsa dan seagama, Kerajaan yang hanya bertopengkan sebagai pejuang demokrasi tetapi merekalah yang meragut segala demokrasi yang sepatutnya dilaksanakan di Malaysia ini.

Khamis, 14 Disember 2006

IKLAN DUNHILL


Lihatlah, betapa biadapnya dunhill, tahukan anda setiap tahun berapa ramai yg berazam untuk memutuskan jalinan itu dan berapa ramai yang terputus jalinan dengan dunia akibat dari morokok. semoga tahun 2007 tidak sama seperti tahun-tahun sebelum nih....

Rabu, 13 Disember 2006

HANYA KERAK NASI UNTUK MAK...

Cerita ni saya perolehi daripada salah satu group yang saya join..bacalah... Moga2 kita yang masih ada seorang wanita yang dipanggil mak atau ibu atau mama atau apa saja panggilan sedar dan insaf betapa besarnya pengorbanan wanita itu. Yang suami lak jgn asyik dengar cakap isteri..moga dapat manfaat dari kisah ini....

Hari ini semua adik beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya dikampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya ,ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti.

Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari. Aku minta untuk membantu ,"tak payah" katanya "biar mak yang buat nanti lain rasanya". Aku biarkan sahaja walau dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang baru nak merayakan aidilfitri bersamanya.

Aku tahu disudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya..tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya. Terhinjut-hinjut mak kesana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng. bukan main khusyuk dan bersungguh cuba menyediakan juadah yang semampunya.

Bila semuanya dah sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng mak untuk abang dan kakak yang tiba dengan anak-anak mereka. Semuanya pakat menjamu selera..memang berselera semua sukakan nasi goreng mak..mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya..Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku..." ahhh mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu"...seraya tu abang ku bertanya 'siapa tak makan lagi nasi ni'. Aku menjawab ' mak belum makan apa lagi tu'

Mak dengan bersungguh menjawab " Ehh mak tak mau...tak lalulah nasi goreng, nak makan roti ja sat lagi'...dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kata ku dalam hati." oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit diebetisnya" ....

Bila semua dah pulang..aku lihat mak terhinjut-hinjut kedapur..lantas aku tanya 'mak nak apa..nak ambilkan.'.' takpa nak rasa ni sikit'. Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku..bila kulihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan.

Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya. ..zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Aku benar-benar kalah dengan apa yang aku saksikan..YA RABB Engkau peliharalah Ibu,Ampunilah Dosanya,Berilah kekuatan pd anak-anaknya untuk membalas jasa ibu yang tak terhingga.

Selasa, 12 Disember 2006

TUTUP AURAT TIDAK MENGHALANG KEMAJUAN SUKAN NEGARA

Faktor pemakaian bukanlah sebagai satu halangan untuk seseorang wanita untuk bersukan. Lihatlah seperti yang ditunjukkan di dalam gambar yang dilampirkan. Atlet wanita Bahrain ini bukan sahaja berjaya memangi gangsa dalam acara 100 meter bahkan juga memenangi emas dalam acara 200 meter pecut wanita.

Tetapi bagi saya disini, yang menjadi persoalan, dimanakah usaha yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dalam membawa perubahan kepada pemakaian sukan khususnya kepada kaum lelaki mahupun wanita Islam yang terlibat secara aktif di dalam sukan di Malaysia.??..adakah cukup dengan mencanangkan nama Malaysia sebagai negara Islam Hadhari tetapi disebalik perlaksanaan semuanya hancur lebur. Nama Islam hanya dijadikan alat mainan oleh puak sekular terutama pejuang Islam Liberal di negara ini.

Dalam hal ini, Kementerian Belia dan Sukan dibawah kepimpinan Datuk Azalina perlulah membuat pembaharuan didalam sukan di Malaysia ini. Perlu juga diingat bahawa Islam tidak melarang wanita menceburi sukan tetapi sebagai umat Islam mereka wajib memakai pakaian yang sesuai menjaga tatasusila sekalipun ketika bersukan.
Bagi saya, nak seribu daya tak nak seribu dalih !!!

DOHA: Pelari pecut Bahrain, Ruqaya Al Ghasara berkata dia tidak terganggu dengan tudung yang digunakan ketika berlari sebaliknya pakaian itu membuatkan dia semakin laju.

"Mengenakan pakaian tradisional Muslim memberikan saya satu dorongan. Ia bukan satu halangan tetapi sebaliknya," kata Ruqaya, yang memenangi emas acara 200 meter dengan catatan 23.19 saat semalam.

Dia memenangi gangsa pada acara 100 meter sebelum ini dan Ruqaya mudah dikenali menerusi pakaiannya yang hanya memperlihatkan tapak tangan serta mukanya. Pakaian itu hanya sebagai tradisi saja kerana fabrik pakaiannya itu dihasilkan menerusi teknologi tinggi dan tudungnya turut membawa jenama penajanya.

Ruqaya berkata pakaian itu adalah pilihan peribadi walaupun ia adalah satu tuntutan. Atlit wanita Bahrain yang lain mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan acara yang mereka sertai kerana ada di antara mereka yang bukan beragama Islam.

Begitupun, Ruqaya, yang menjadikan pelari pecut Amerika Syarikat, Marion Jones sebagai idola, berharap pakaian yang dipakainya itu akan menjadi contoh kepada wanita Muslim lain ketika menyertai apa-apa pertandingan.

"Mengenakan hijab membuktikan bahawa ia tidak akan menghalang. Saya sudah membuktikannya dan turut pernah layak ke Osaka dengan pakaian sebegini," katanya sambil merujuk kepada tempat yang bakal berlangsungnya Kejohanan Dunia tahun depan.

Kemunculan atlit berusia 24 tahun itu bukanlah mudah terutama di negara yang tidak begitu menggalakkan wanita menyertai pertandingan. Bakatnya dikesan jurulatih Bahrain, Tadjine Noureddine, yang membawanya memenangi emas pertamanya di Sukan Arab di Jordan pada 2002

Jumaat, 8 Disember 2006

SALAM TAKZIAH DARI PEMUDA JASIN

Kami dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin ingin merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad (Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4) diatas pemergian kakak beliau Habshah @ Bibi Mohd Iskandar, 85 yang kembali ke Rahmatullah petang tadi di Kedah Medical Center di Alor Star akibat komplikasi jangkitan radang paru-paru setelah seminggu tidak sedarkan diri.

Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat keatas roh beliau-Al Fatihah.

Rabu, 6 Disember 2006

GIFA 2006...WAJARKAH DIADAKAN DISINI..???

OLEH : BUDI

Sekali lagi Negara kita dipilih menjadi tuan rumah bagi 'Global Indian Film Awards'(GIFA-2006). Majlis penganugerahan bagi penggiat filem Mumbai ini bukan kali pertama diadakan disini. Apakah rasional Malaysia dipilih sebagai tuan rumah? Bukankah Malaysia Negara islam dan majoriti rakyatnya berpegang pada ajaran islam yang tulen dan yang hadhari.

Kita akui, ada peminat filem hindi disini. Namun kita juga mengakui filem-filem hindi dan para pelakonnya banyak memberi kesan negatif pada minda dan akidah khususnya umat islam di Malaysia.

Kebiasaannya filem - filem ini membawa tema percintaan remaja. Pastinya adegan dan jalan ceritanya tidak sesuai dengan prinsip dan pegangan umat islam disini. Lebih merbahaya ialah dakyah hindu secara halus diselitkan didalam filem - filem tersebut. Yang jelas kebanyakan produser - produser filem hindi ini adalah pengamal hindu yang bertaraf fanatik.

Diluar filem pula para pelakon ini ada yang terlibat dengan arak ,dadah dan senjata api. Terbaru, seorang peguam di Mumbai telah menyaman pelakon Aishwarya Rai kerana adegan bercumbu dalam sebuah filem lakonannya didakwa tidak bermoral. Itu dinegara mereka lagi sebangsa dan seagama dengan mereka.

Disaat negara berhadapan dengan masalah keruntuhan moral dikalangan remaja dan murtad yang tidak terkawal, Apa wajarnya, majlis tersebut diadakan disini? Dimana kuasa pihak yang menjaga agama ?Mana suara lantang penceramah popular 'forum perdana'.


Banyak pihak membantah ketika pertama kali majlis tersebut diadakan disini beberapa tahun dahulu.Namun atas alasan mempromosi negara, ianya diteruskan juga. Malah ada menteri yang turut hadir 'menyerikan majlis' tersebut.Bukan sekadar hadir namun turut menyanyi bersama dipentas.

"Kerajaan yang berlandaskan islam hadhari tidak sensitif dengan perasaan dan masalah umat islam sekarang. Ini juga merupakan promosi islam liberal oleh pemerintah untuk rakyat yang memberi mandat kepada mereka" .Komen Ahmad Shahrom Bin Md Daud, setiausaha Dewan Pemuda Pas Melaka.

Selasa, 5 Disember 2006

KERAJAAN MELAKA MEMBAZIR LAGI.!!!!

Oleh : Budi

Melaka terus memacu kehadapan dalam konteks melakukan pembaziran dan menambahkan lagi hutang kerajaan negeri dengan terbinanya dan terasminya Masjid Selat Melaka yang bernilai RM 10.58 juta di kawasan yang kurang dihuni oleh penduduk yang beragama Islam. Masjid yang terbina ini berdekatan dengan belakang Hotel Mahkota yang bertempat di Bandar Hilir, Melaka.

Mengulas perkara tersebut, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin bin Sidek (gambar) berkata, Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Datuk Ali Rustam memang gemar membazirkan harta rakyat demi untuk memuaskan nafsu dan menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan sehinggakan masjid terapung tersebut lebih bermatlamat sebagai salah satu destinasi pelancongan sedangkan Melaka berhutang kepada kerajaan lebih 800 juta.

Tambah beliau lagi, selepas Datuk Ali Rustam mentadbir Negeri Melaka, tiada tanda-tanda dapat melihat hutang-hutang akan berkurangan, begitu juga dengan program-program-program untuk pembangunan insan dimana program tersebut tidak dijadikan sebagai matlamat utama kerajaan negeri. Malangnya pusat-pusat maksiat semakin berkembang dengan pesat khasnya di Melaka Raya pada sebelah malam.

Pandangan penulis pula, tak salah rasanya jika kerajaan negeri hendak mendirikan masjid dan ia berkesesuaian dengan konsep mereka dalam usaha menerapkan nilai-nilai keislaman kepada masyarakat. tapi yang menyedihkan kerajaan negeri sanggup menghabiskan wang yang berjuta-juta ringgit demi untuk membina sebuah masjid besar tetapi kepadatan penduduk dikawasan itu majoritinya dihuni oleh orang bukan Islam. Jika masjid yang dibina adalah bertujuan untuk menarik pelancong dalam usaha menambah bilangan pelancong di negeri Melaka ia merupakan satu kerugian yang besar kerana mereka telah membazirkan masa dan juga wang. Secara ringkasnya, masjid yang dibina adalah adalah bertujuan sebagai tempat untuk kita mendirikan solat & mengadap Allah.

Lagi elok jika wang tesebut disalurkan kepada mereka yang kurang berkemampuan @ menyediakan program2 seperti kem bina sahsiah khusus untuk para remaja. Malangnya kerajaan negeri lebih mementingkan kekayaan daripada membaikpulih masalah keruntuhan akhlak yang semakin meruncing, terlupakah mereka yang remaja zaman sekarang merupakan pelapis untuk generasi akan datang...!!!. Itulah Melaka tanah airku.

Isnin, 4 Disember 2006

DARI MEJA JASINDAILY...

Assalamualaikum w.b.t

Jutaan kemaafan ditujukan khas kepada pengunjung blog jasindaily. Maaf kerana laman ini gagal di'update' untuk beberapa hari. Maaf sekali saya pohon. Untuk tempoh beberapa hari ini saya berada di Kuala Lumpur dan sahabat saya pula berada di Singapura. Jadi disebabkan kesibukan tugas masing2 kami gagal dalam mencari artikel2 yang bermutu untuk dimuatkan didalam laman ini.

Insya-Allah laman ini akan kembali aktif seperti sediakala bermula pada hari esok. Jutaan maaf sekali lagi kami pohon kerana ini semua berpunca dari kelemahan dari kami. Diharap sahabat dan sahabiah sekalian sentiasa memberikan sokongan dan dorongan kepada kami agar kami dapat beristiqomah dalam ber'pencak' di arena cyber ini dalam menyalurkan maklumat2 terkini. Salam perjuangan dari kami Krew Jasindaily. Maaf jika ada kekurangan dari kami...

Blogmaster Jasindaily