Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 28 Mac 2007

AGENDA MUKHSIN....

OLEH : TG KUDIN

Mukhsin satu nama baru dalam arena perfileman negara yang telah berjaya memenangi anugerah pada Pesta Filem Antarabangsa di Berlin, Jerman baru-baru ini.

Syabas diucapkan kepada pengarah Yasmin Ahmad kerana telah berjaya meletakan filem Malaysia khususnya filem Melayu ke peringkat antarabangsa, memandangkan sebelum ini filem Melayu hanyalah bersifat 'jaguh kampung'.

Beliau telah berjaya membawa keluar filem Melayu dari kongkongan pemikiran lama yang hanya berkisar dan membicarakan persoalan mengenai kisah cinta remaja, cemburu, dendam, orang ke tiga, kecurangan serta perbezaan antara dua darjat.

Ceritanya bermula dari sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina tempat Orked belajar dan berkisar mengenai perhubungan 'cinta monyet' seawal usia di sekolah rendah antara Mukhsin (Mohd Shafie Naswip) dan Orked (Sharifah Aryana).

Keluarga di kedua-dua belah pihak merestui dan berfikiran terbuka atau 'sporting' dengan membiarkan sahaja Mukhsin membawa Orked ke sana-sini hatta ke atas pokok dan ke dalam semak sedangkan perbuatan itu menghampiri perzinaan.

Digambarkan juga ayah Orked, Pak Atan (Irwan Iskandar Abidin) berjemaah sekeluarga tapi pada masa sama membiarkan sahaja isterinya tidak menutup aurat, berpakaian seksi dan menari-nari dengan begitu menghairahkan depan kawannya di dalam hujan, bukankah semuanya ini fahaman 'Liberalisme Agama' yang ingin diterapkan dalam pemikiran orang Islam.

Babak keluarga Jason (Ng Choo Seong) pula bertambah mengalutkan lagi keadaan dengan 'beromen' di depan Mukhsin dan Orked tanpa segan silu seolah mereka pasangan paling bahgia di dunia.


Dan yang menakutkan status pegangan agamanya tidak jelas sedangkan isterinya (Amani) beragama Islam Kerana ketika Mukhsin dan Orked memberi salam cuma isteri Jason saja yang membalasnya sedangkan Jason cuma membisu tanpa sebarang reaksi, seperti membayangkan dia bukan orang Islam.

Adakah ini bibit kesinambungan 'Pluralisme Agama' yang cuba disemai dan ditanam dalam masyarakat Malaysia sebab jika diteliti dari Sepet dan Gubra ada kewarasannya
.

Babak Mak Inom berpura-pura merotan Orked dilihat sebagai mengelikan hati tapi sebenarnya penonton diheret supaya mentertawakan budaya ibubapa orang Melayu yang akan membuat aduan dan perbincangan sekiranya berlaku pertengkaran di antara anak-anak mereka.

Lakonan Nurkhiriah memperlekehkan Husin iaitu abang Mukhsin ketika diperli kerana menyukai lelaki Cina (Alan Yun) begitu merendahkan dan menghina bangsa Melayu.


Fahaman Agama

Filem adalah merupakan salah-satu mekanisme yang berupaya mengarap pelbagai kisah suka-duka kehidupan untuk dikongsi bersama agar dapat dihayati sebagai pengajaran dan panduan bagi menentukan halatuju pemikiran seseorang dalam kehidupan.

Marah, meluat, kesal, bimbang, terperanjat serta gerun antara ungkapan yang digunakan untuk mengambarkan filem yang sedang ditayangkan dan diperkatakan oleh ramai orang ini.

Keberanian Yasmin yang cuba lari dari persekitaran budaya Melayu yang kolot serta ketinggalan zaman (pada pandangan Yasmin) berjaya diterjemahkan tetapi malangnya dengan melalui cara kurang ajar atau membelakangkan batas-batas Islam dan adat Melayu.

Tidak dapat dinafikan bahawa Mukhsin telah mencemar kesucian adat budaya Melayu yang dibanggakan selama ini,

Mukhsin penganut Islam Hadhari mempunyai agenda tersirat dan terancang untuk memupuk serta menerapkan fahaman dan budaya 'Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme agama yang digelarkan sebagai penyakit (Siplis) seterusnya membawa kepada kebinasaan 'murtad' dalam kehidupan umat Islam (Aids).

Tokoh budayawan, karyawan, seniman mahupun para ulama digesa 'turun padang' menangani segera ancaman 'Tsunami Akidah' ini, bahayanya telah jelas terlihat, bau busuk dan hanyirnya telah dapat dihidu serta meloyakan malahan begitu menjijikkan.

Wahai orang Islam bangkitlah, ini bukan persoalan yang menyentuh mana-mana pihak tapi menyentuh aqidah umat Islam, kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah nanti dan lebih menyedihkan sehingga kini tiada usaha dibuat bagi menghalang ancaman tersebut.

Khamis, 22 Mac 2007

MESYUARAT AGUNG DPPKJASIN KALI KE 24

Assalamualaikum w.b.t

Di jemput AJK/sahabat Pemuda PAS bagi setiap cawangan di Jasin untuk menghadiri mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin kali ke 24 yang akan diadakan :

Tempat : Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ), Sempang Kemendor Jasin Tarikh : 25 Mac 2007 (Ahad)
Masa : 9:00 pagi
Perasmi : Ustaz Ashraf (Timb.Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka)
Pakaian : Baju Pemuda, Baju Melayu lengkap atau berjubah


Perwakilan dari setiap cawangan Jasin dikehendaki hadir dan pemerhati digalakkan hadir bersama

Rabu, 21 Mac 2007

CATATAN SATU PERJALANAN....

OLEH : BUDI

Kerap kali juga saya ke Kelantan, samada urusan peribadi atau urusan parti. Atau istilah lainnya Kelantan bukanlah asing bagi saya. Sepuluh tahun dulu saya pernah menggali ilmu dibumi bertuah ini. Itulah kelebihan utama Kelantan, kerana banyaknya pusat pengajian agama.


Minggu lepas sekali lagi saya kesana atas undangan keluarga . Kota Bahru pada ketika itu kelihatan sesak dengan pelancong , samada yang macam saya atau mat saleh @minah saleh. Apa agaknya yang menarik dan dicari pelancong barat itu, tidak dapat saya pastikan.Yang jelas sebuah kerajaan yang bertunjangkan islam bukan menjadi penghalang kepada kemasukan pelancong.

Sebelah petangnya kira-kira jam 7, saya mencari kedai untuk mengisi perut. Pilihan saya adalah gerai makan sementara dibelakang pasar Siti Khadijah. Memang banyak pilihan menu. Sedang saya asyik menjamu selera , tiba-tiba terdengar siren dan arahan agar meninggalkan kawasan tersebut kerana waktu maghrib telah hampir. Semua peniaga dan pengunjung disitu akur dan memberhentikan urusan perniagaan mereka. Saya kagum dengan peraturan itu. Inilah tarbiyah dari kerajaan yang mahu rakyatnya membesarkan Allah lebih dari segala galanya. Di kampung saya pasar malam bersebelahan dengan masjid, namun bila masuk waktu maghrib suara peniaga seakan sama kuatnya dengan laungan azan oleh muazim.

Keesokan harinya saya ke Tumpat atas undangan walimah..Cerita majlis kahwin ini sama saja dimana jua pun. Sebagai orang politik saya lebih gemar meninjau suasana disitu. Tahun lepas saya juga kesitu. Memang kawasan tradisi PAS. (namun kalah dalam pilihanraya lalu). Sebuah madrasah usang yang dikontrol oleh orang PAS cuma ada 4 orang yang berjemaah maghrib dan suboh. Namun kali ini jauh berbeza, setiap waktu akan kedengaran azan dan jemaah yang kebanyakan orang muda memenuhi ruang madrasah kayu itu.

Pakcik Din (panggilan mesra) 57 thn, rupanya menjadi tenaga utama dalam perubahan ini. Orangnya berilmu dan tegas. Penampilannya di madrasah persis ulama besar, berjubah, serban dan memimpin jemaah, diluar madrasah beliau menjadi sahabat anak muda, bergurau sambil menggulung rokok daun. Saya cukup kagum dengan pendekatan beliau namun rasanya tak mampu melakukannya. Tahniah Pokcik Din.

Dari Kelantan saya ke Klang pula, pun undangan walimah saudara. Klang memang sebati dengan saya, pernah juga tinggal disana dan mula mengenali PAS pun disana. Kebetulan pada majlis itu saya berjumpa dengan sahabat lama yang juga bekas ketua cawangan PAS disitu. Dia sekarang dah jadi imam masjid. Kami bersembang sebagai mana orang lama tak jumpa. Katanya banyak kerenah dan sekatan dikenakan keatas ustaz-ustaz PAS untuk mengajar di masjid. Ada juga yang telah "diharamkan" dari mengajar dimasjid. Bukan itu saja jawatankuasa masjid pun dilantik bukan dari kalangan orang yang mengimarahkan masjid.Sedang kami rancak bersembang, disudut majlis ada disediakan "KARAOKE", maka silih berganti hadirin tua dan muda menyumbang suara yang sememangnya sumbang.

Saya cuba untuk tidak memberi perhatian pada nyanyian tersebut namun sahabat yang juga imam tadi menyentak "anta tengok yang menyanyi tu, dah le tua, setiausaha masjid pulak tu". Saya cuma terseyum namun dalam hati berkata , itulah pilihan terbaik Menteri Besar Selangor - Khir Toyo.Bagi kita mungkin aib namun bagi orang UMNO .......biasalah tu.

Selasa, 13 Mac 2007

DARI MEJA ICT JASIN

Assalamualaikum w.b.t

Salam perjuangan pembuka bicara dari saya untuk pengunjung blog ini. Terlebih dahulu, jutaan kemaafan saya pohon kerana begitu lama laman ini tidak dikemaskini. Kesibukan dengan tugas termasuk dengan pertandingan FUTSAL zon selatan anjuran Harakah membataskan kerja2 ini.

Sebagai makluman, pertandingan FUTSAL zon selatan anjuran Harakah dengan kerjasama DACS Pusat akan diadakan di Melaka bertempat di Sport Planet, Cheng Melaka bertarikh 1 April 2007 (Ahad). Untuk maklumat lanjut sila hubungi saya, Yuzi Azhar bin Yosof ditalian 012-3397408 @ Zakuan ditalian 012-6939313. Bagi wakil Johor sila hubungi saudara za'aba ditalian 019-7084423 dan saudara Zulkarnain dari N.9 ditalian 0136341990

Terima kasih kerana pengunjung sekalian masih sudi memberikan semangat dan teguran kepada kami. Insya - Allah kami akan cuba mengatasi segala kelemahan ini. Salam Perjuangan dari kami untuk anda semua

MAT REMPIT....SATU LAGI PENYAKIT MASYARAKAT

OLEH : BUDI

Satu lagi penyakit yang melanda anak remaja hari ini adalah menunggang motosikal secara merbahaya atau istilah popularnya merempit. Kegiatan yang dijuarai oleh remaja melayu ini semakin serius walaupun ada beberapa usaha mengatasinya. Sama ada dibandar atau kampong, aksi "stunt" ini boleh dilihat dengan percuma.

Aksi kumpulan mat rempit ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah turut membahayakan pengguna jalanraya yang lain. Malahan penguatkuasa jalanraya dari kalangan polis dan JPJ pun berada dalam keadaan tidak selamat ketika menjalankan tugas.

Pada hemat saya, budaya tidak sihat ini akan terus berkembang dan menjadi parah jika sekiranya tiada sesuatu tindakan yang keras dan drastik diambil. Pendekatan harmoni yang diambil seperti dilakukan pemuda UMNO jelas tidak berkesan dan mendatangkan penyakit yang lain pula.Dan Khari Jamaludin pun berhenti setakad disitu sahaja. Seakan tiada sebarang kaedah lain yang diusahakan lagi. Maka Mat rempit kembali meneruskan aktiviti seperti biasa.

Ada cadangan supaya istilah mat rempit ini tidak dipopularkan atau diganti dengan panggilan yang kurang elok seperti "mat bodoh" atau "John Pit". Namun bagi saya apapun istilah yang dipakai, sama sekali tidak menjejaskan kegiatan kumpulan ini. Sebagai mana dulu, dadah diistilahkan sebagai "najis dadah". Apakah berkurangan jumlah yang menghisapnya?

Sebenarnya remaja ini suka apabila aksi mereka mendapat perhatian dan diperkatakan. Jiwa mereka kosong dengan ugama dan tujuan hidup. Pihak berkuasa pula perlu ikhlas dan bersungguh sungguh mencari penyelesaian. Saya sekadar melontarkan beberapa cadangan agar matlamat melahirkan modal insan itu menjadi realiti.

1.Tanamkan kefahaman agama yang serius dan menyeluruh diperingkat sekolah lagi.
2.Kenakan tindakan keras, umpama penjara atau dimalukan dikhalayak ramai atas kesalahan merempit mereka. Atau kenakan tindakan berorentasikan agama seperti menghafal surah surah al Quran atau dikurung semalaman didalam bilik mayat.
3.Pemantaun yang serius dari ibubapa @ guru. Terapkan nilai2 murni dalam hidup mereka


Banyak kisah dan tauladan yang boleh diambil dari Al Quran dan sirah tentang akhlak golongan remaja. Hari ini ramai remaja di Palestin syahid kerana mempertahankan agama dan tanahair mereka bukan kerana kecelakaan jalanraya. Bukankah itu satu pengajaran. Bagaimana dengan remaja kita?.