Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 26 November 2007

KENYATAAN KHAIRY DI TANAH MERAH TUNJUKKAN HIMPUNAN 10NOV BERKESAN

OLEH : DIN PETUALANG

Amboi mak, islamiknya menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin bila dia pergi ke Kelantan, macam juga mak mentua barunya, Jeanne Abdullah yang bertudung bila sampai ke Kota Bharu! Apa tidaknya, lihat saja laporan akhbar yang memetik kata Naib Ketua Pemuda Umno itu yang mendakwa PAS sekarang terdesak sehingga sanggup bersama NGO Kumpulan 11 demi menunjukkan kekuatan kepada Umno, dalam perhimpunan 10 Nov.

Dari awal lagi saya dengar propaganda BN mahu gagalkan himpunan 100,000 itu dengan menghantar SMS bahawa penganjur sebenar demonstrasi besar-besaran itu ialah kumpulan anti-Islam seperti IFC dan Artikel 11. Pendakyah yang didalangi Khairy ini mahu gagalkan perarakan raksasa itu dengan menyangka ahli dan penyokong PAS akan memboikot himpunan 10 November itu bila menyedari "mereka diperalatkan" oleh "musuh-musuh Islam".

Bagaimanapun usaha Khairy dan budak-budaknya itu, dibantu oleh polis Cawangan Khas (SB) itu gagal dan langsung tidak mendapat sambutan. Pelik juga, bila orang macam Khairy prihatin dengan bab-bab agama ini? Sedih melihat Khairy "silap masuk jalan", tapi apabila Khairy temberang lagi di Kelantan
semalam, makin ramailah orang senyum kambing tengok menantu Imam Hadhari ini cuba peralatkan agama untuk kepentingan politiknya. Khairy nak tunjuk hero dengan orang-orang Umno Kelantan yang sudah berputih mata untuk mengalahkan kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Orang-orang macam Khairy cukup takut apabila melihat pembangkang boleh bersatu dan berpadu atas isu-isu kepentingan bersama ini. Mereka suka PAS sebagai tonggak barisan pembangkang diasingkan terus daripada kumpulan NGO lain, yang turut prihatin dan bersikap proaktif dengan isu-isu pilihan raya bersih dan adil ini. Mereka menjadi semakin kecut perut jika PAS dapat mengetuai kebangkitan rakyat untuk berdepan dengan penyelewengan dan salahguna kuasa Abdullah Ahmad Badawi.

Khairy mahu menangguk di air keruh, dia berhasrat untuk memecahkan kesatuan pembangkang, termasuk kombinasi padu antara PAS dan Anwar Ibrahim. Jadi, benda-benda kecil dan remeh-temeh pun mahu dibesarkan, bertujuan supaya orang PAS menolak sebarang kerjasama dengan pihak lain. Khairy dan puak-puaknya memang suka sangat kalau PAS berjuang bersendirian dan menolak kerjasama dengan orang lain, termasuk NGO yang kini makin jelas menolak BN.

Menyedari dia bercakap di Kelantan, maka Khairy pun berlakon sebagai anak muda yang concern dengan sensitiviti agama, termasuk mengungkit latarbelakang kumpulan Artikel 11. Nak tergelak baca kenyataan Khairy itu, seolah-olah selama ini dia begitu prihatin dengan soal akidah umat Islam yang semakin goncang, seolah-olah dia begitu susah hati dengan gejala murtad yang berlaku.

PAS mempunyai sikap jelas terhadap sebarang usaha menggugat akidah umat tetapi dalam masa sama sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menyuarakan protes dan bantahan terhadap 1001 penyelewengan kerajaan BN, khususnya dalam soal-soal asas, seperti "membersihkan" proses pilihan raya supaya menjadi bebas dan adil untuk semua pihak yang bertanding.

Khairy tentu terkejut melihat bagaimana sambutan luar biasa ditunjukkan rakyat, biarpun dia dan pak mentuanya berteriak memberi amaran dan ugutan agar menjauhkan diri daripada himpunan itu. Apabila rakyat sudah hilang takut dengan ugutan tak bertamadun itu, dan bersedia bergabung tenaga dalam satu barisan, maka kekuatan palsu BN boleh tergugat bila-bila masa sahaja. Mereka tentu panik melihat tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang boleh bersama-sama memimpin gerakan protes yang hebat itu.

Lihat saja laporan Berita Harian ini, yang memetik kenyataan Khairy di Tanah Merah Kelantan:

Pas akan terus terdesak menjelang pilihan raya dan sebab itu parti itu sanggup menghimpunkan penyokongnya dari pelbagai negeri dalam perhimpunan jalanan baru-baru ini.

"Sedangkan perhimpunan itu bukan digerakkan Pas pun tetapi Pas hanya mengikut telunjuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan NGO- NGO yang menganjurkan perhimpunan itu hingga akhirnya penyokong Pas yang lebih ramai.

"Sebab hendak tunjuk kekuatan juga, Pas boleh bersama dalam perhimpunan yang turut dihadiri NGO bergelar Kumpulan Artikel 11 yang jelas memperjuangkan kebebasan beragama mutlak,"ujarnya.

sumber : detikdaily

Tiada ulasan: