Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 8 Januari 2008

"FOKUS PAS MEMAKMURKAN MASJID" JAWAPAN PADA NAJIB

Oleh Salahuddin Ayub

DEWAN Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan kesungguhan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang cuba membuat pelbagai tawaran politik kepada rakyat Kelantan menjelang pilihan raya ini.

Selain menawarkan untuk menjadikan Kelantan sebagai taman tamadun Islam, Najib juga turut mewar-warkan peruntukan besar Kerajaan Pusat kepada Kelantan mengatasi Terengganu dalam Koridor Pantai Timur. Apa yang lebih penting bagi Najib ialah rakyat Kelantan mesti bangkit untuk membuat perubahan jika tidak mahu terus ketinggalan.

DPP Pusat melihat kenyataan-kenyataan politik Najib di Kelantan itu menggambarkan kedangkalan politik beliau.


Pertama, tawaran menjadikan Kelantan sebagai pusat tamadun Islam. Kelantan sudah sedia terkenal sebagai negeri yang paling taat kepada Islam berbanding dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Umno.

Untuk apa Najib mahu membangunkan Islam di Kelantan, sedangkan di negeri yang diperintah oleh Umno Islam begitu ketinggalan. Bukan sahaja hukum-hukum Islam tidak diamalkan, bahkan kejadian murtad semakin meningkat. Isu pembinaan masjid tidak timbul di Kelantan kerana setiap mukim telah mempunyai masjid. Fokus kerajaan PAS Kelantan ialah memakmurkan masjid, bukannya membanyakkan masjid seperti yang difahami oleh Umno.

Bagi penduduk Kelantan yang bersempadan dengan Terengganu, mereka telah melihat sendiri kelemahan Umno mentadbir negeri itu semenjak 45 tahun dahulu. Terengganu adalah negeri termiskin walaupun mempunyai sumber petroleum yang banyak.

Ini salah siapa? PAS atau Umno? Secara mudah rakyat Kelantan tidak akan tertipu dengan pujuk rayu politik murahan Umno untuk membawa lebih banyak projek ke Kelantan.

Bahkan orang Kelantan lebih bijak kerana dengan mengundi PAS mereka telah diberikan peruntukan yang lebih besar daripada Terengganu yang memilih Umno. Lebih baik rakyat Kelantan terus bersama PAS.

Taktik Umno menawarkan perubahan kepada rakyat Kelantan juga tidak kena pada tempatnya. Semenjak PAS memerintah pada 1990, pelbagai dasar yang memihak kepada rakyat telah diperkenalkan.

Bermula dengan perbankan Islam, rumah tiga bilik, pemotongan elaun Menteri Besar hinggalah kepada cuti dua hari seminggu, cuti bersalin 60 hari, pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan, pajak gadai ar-Rahnu, skim takaful untuk ibu tunggal dan warga emas dan berbagai-bagai lagi telah diperkenalkan oleh PAS di Kelantan.

Yang menariknya, dasar-dasar Islamik ini sedikit demi sedikit ditiru oleh Kerajaan Pusat. Maka tidak perlu rakyat Kelantan membuat perubahan, sebaliknya rakyat negeri lain yang patut beralih kepada PAS. Kerajaan Pusat boleh terus ‘meniru’ Kelantan jika PAS memerintah negeri ini.

Penulis merupakan Ketua Pemuda PAS Pusat - Pengarang

Tiada ulasan: