Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 8 Januari 2008

LOGIKKAH PENGELUAR UTAMA MINYAK SAWIT DUNIA CATU BEKALAN DOMESTIK ?

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

7 Januari 2008


Logikkah Pengeluar Utama Minyak Sawit Dunia Catu Bekalan Domestik?

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius isu kekurangan minyak masak kelapa sawit khususnya dalam paket 1 kilogram di beberapa buah negeri.

Malaysia, negara yang merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia seharusnya tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan di dalam negara. Jangkaan penghasilan minyak sawit Malaysia ialah sebanyak 16.5 juta tan bagi tahun 2007.

Saranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) supaya pembelian minyak masak dihadkan maksimum 5 kilogram pada sesuatu masa dilihat sebagai jalan mudah bagi kementerian untuk menutup kelemahan mereka dalam menangani isu tersebut.

Sewajarnya pihak kementerian telah mempunyai pelan tindakan kecemasan bagi menangani isu-isu kekurangan barang kawalan. Antaranya mempunyai stok simpanan bagi kegunaan kecemasan di dalam negara, mempunyai kemampuan untuk meningkatkan pengeluaran dengan kadar segera dan lain-lain lagi.

Alasan Menteri KPDN & HEP, Datuk Mohd Shafie Apdal bahawa kekurangan bekalan minyak masak adalah disebabkan oleh sorokan, penyeludupan dan perkembangan pesat sektor Industri kecil & Sederhana (IKS) jelas menunjukkan sikap berdolak dalih beliau.

Sebagai seorang menteri yang dibayar gaji oleh rakyat, beliau seharusnya peka dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Sepatutnya dengan 16.5 juta tan keluaran minyak sawit di negara ini, isu ini dapat diatasi tanpa perlu dihadkan pembeliannya kepada pengguna.

Isu ini sebenarnya adalah ulangan daripada isu yang terjadi pada pertengahan tahun lalu yang mana diselesaikan dengan pemberian subsidi kepada 32 pengilang dan 300 syarikat pembungkus.

AMK bimbang masalah yang sama berulang, iaitu berpunca daripada tekanan pengilang dan pembungkus untuk menaikkan harga, atau diberi pampasan tambahan daripada kerajaan berikutan harga minyak sawit dunia kini mencecah RM 2900 satu tan berbanding RM 1930 satu tan pada pertengahan tahun lepas.

Namun begitu, AMK hairan bagaimana minyak masak jagung dan bunga matahari masih boleh mudah didapati di seluruh negara pengeluar utama minyak kelapa sawit sedangkan kadar pengeluaran dunianya adalah lebih rendah dari kadar pengeluaran minyak sawit Malaysia.

Justeru AMK menggesa KPDN & HEP supaya bertegas untuk tidak menaikkan harga minyak masak kelapa sawit di Malaysia kerana ianya akan membebankan para pengguna di Malaysia. Kenaikan harga minyak masak adalah salah satu penyumbang kepada kenaikan harga makanan di negara ini, yang sudah mengalami berkali-kali kenaikan pada tahun lepas akibat kenaikan harga tepung, petrol, tol dan lain-lain lagi.

Hasmuzair Hassan
Exco Angkatan Muda Malaysia
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: