Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 13 Februari 2008

NIK AZIZ BERUNDUR, SIAPA PENGGANTI? SARAT MASLAHAT POLITIK


Oleh Tarmizi Mohd Jam

SECARA berani, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk meletak jawatan Menteri Besar selepas Pilihan Raya umum ke-12 nanti. Itupun, jika PAS diberi mandat semula. Siapa penggantinya, makin kontroversi. Pro dan kontra bergumpalan dalam selimut PAS Kelantan. Tiga nama utama disebut-sebut. Selain Timbalan Menteri Besar sekarang, Dato' Ahmad Yaakob, nama Dato' Husam Musa dikatakan dominan mengatasi satu lagi nama Ustaz Nik Amar Nik Abdullah.

Walaupun Dato' Abdul Halim Abdul Rahman mantan Timbalan Menteri Besar yang pertama di bawah Tuan Guru Nik Aziz, namanya tidak lagi disebut sebagai pengganti Tuan Guru Nik Aziz. Tidak tahulah, kalau ada ura-ura untuk menarik beliau semula ke Darul Naim! Kita lihat sahaja, adakah beliau bertanding Dun atau masih mengekalkan kerusi Parlimen Pangkalan Chepa dalam pilihan raya kali ini.

Apakah pengumuman Tuan Guru untuk melepaskan jawatan MB selepas pilihan raya nanti suatu yang strategik sifatnya, sukar ditelah. Ini kerana, rakyat mahu Tuan Guru terus menerajui Kelantan. Begitulah gimik dan aspirasinya.

Bagaimana agak jika Tuan Guru benar-benar meletakkan jawatan? Adakah rakyat akan bersetuju dengan penggantinya untuk tempoh yang panjang.

Barangkali, untuk satu penggal, mereka 'terpaksa' menerima kerana 'perangkap' yang disediakan oleh Tuan Guru begitu lunak. Jika Tuan Guru letak jawatan sebelum pilihan raya, macam mana pula?

Adakah peluang PAS Kelantan untuk memerintah tergugat dan tergigit jika pengunduran itu dibuat sekarang? Mungkinkah rakyat tidak percaya dengan pengganti Tuan Guru? Lalu, mereka salurkan melalui undi dalam pilihan raya tidak lama lagi.

Maka, Tuan Guru memilih strategik 'mengumumkan keinginannya' meletak jawatan sebelum pilihan raya dan 'letak jawatan sebenar' selepas pilihan raya - yang pada saya amat sarat dengan maslahat politiknya.

"Kalau PAS Kelantan kalah, macam mana?" tanya seorang aktivis PAS bila membahaskan isu pengunduran Tuan Guru dari menjadi MB Kelantan, yang hangat diperkatakan seminggu ini.

"Tiada perbalahan lagi, siapa yang patut jadi pengganti Nik Aziz,"sampuk seorang teman yang mula giat menulis politik di sesawang digital.

Lama saya tidak mengunjungi Tuan Guru di Kelantan. Sejak menjadi Menteri Besar, ada beberapa kali menziarahi beliau bersama rakan-rakan seperti Allahyarham Mohd Anang. Baik di rumahnya di Pulau Melaka mahupun di JKR 10, Kota Darul Naim.

Saya masih ingat, ketika makan nasi bungkus bersama Tuan Guru di surau Bangunan PAS Kelantan, Jalan Dato' Pati, Kota Bharu sewaktu hari mengundi pada pilihan raya umum 1990. Pada waktu itu, saya mengetuai Biro Harakah Kelantan dan pejabatnya di Tingkat 1, bangunan tersebut.

Kami makan nasi bungkus bersama. Sambil makan, kami berbual-bual. Kata saya, nampak gayanya PAS akan menang di Kelantan. Naluri saya cukup kuat berkata BN akan tumbang.

Saya kata begitu kerana sepanjang kempen berlangsung, dan beberapa lokaliti yang saya lawati sekitar Kota Bharu, Rantau Panjang, Bachok dan Kubang Krian menunjukkan sesuatu yang luar biasa.

Pengundi terang-terangan menunjukkan sokongan mereka terhadap PAS dan Semangat 46 yang bernaung di bawah nama Angkatan Perpaduan Ummah. Bila saya tanya mereka, adakah situasi seperti ini wujud dalam pilihan raya sebelum ini, mereka kata tidak. Kali ini kami nak ubah kerajaan!

Tuan Guru hanya senyum sambil makan nasi bungkus yang disediakan pihak urusetia. Waktu itu, Tuan Guru adalah Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Sebelum itu, Cikgu Rahim Abdullah pun (sekarang Speaker Dun Kelantan) pernah memberitahu saya, kalau PAS menang, Tuan Guru Nik Aziz adalah Menteri Besarnya. Wan Nik Yusuf Ngah pun (sekarang Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat) pernah mengiyakannya.

Saya menjolok dengan kata-kata itu, agar boleh saya melanjutkan usikan saya kepada Tuan Guru. "Selalunya, Pesuruhjaya jadi MB, Tok Guru!" kata saya spontan. Tuan Guru senyum simpul. Beliau terus makan sambil duduk bersila dengan kain serban bersantai di bahu.

Kalau tak silap saya, Tuan Guru ada berkata; "Kita tengoklah dulu. Undipun belum dikira lagi..."

Cikgu Wan Rahim turut sama makan nasi bungkus di situ, turut mencelah dan mengiyakan dakwaan saya tadi. Saya cukup 'respect' dengan Cikgu Wan Rahim yang banyak memimpin dan menggerakkan urusan pilihan raya waktu itu.

Kalau tidak silap, Cikgu Rahim adalah Setiausaha JPN dan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Datuk) adalah Pengarah Pilihan Raya ketika itu.

Ketika bertugas di Biro Harakah Kelantan, tempat tidur saya ialah di pejabat Harakah itu sendiri. Masa itu saya masih bujang. Jadi, Pengurus Harakah ketika itu adalah Naib Presiden PAS, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok meminta saya bertugas di Kelantan.

Kami di Harakah memanggil beliau dengan nama Pak Daeng sahaja. Beliau bertanding di Parlimen Rantau Panjang dalam pilihan raya 1990 itu.

Saya pernah mengikuti beliau berkempen di Rantau Panjang setelah bubar parlimen. Atas inisiatif untuk membuat liputan terus, Pak Daeng menghantar saya ke Kelantan dan terus menubuhkan Biro Harakah Kelantan.

Saya kira, wartawan dan petugas Harakah waktu itu, semuanya marhaen dan gaji rendah di bawah tuntutan gaji minima MTUC RM900.

Tetapi kami senang hati, bekerja dan bertugas kerana ia sebuah perjuangan. Ia adalah jihad. Sepanjang bertugas, tempat tidur saya di bawah meja di Pejabat Harakah itu.

Rakan yang sering menemani saya waktu itu ialah Hanapi Yaakob atau panggilan glamournya Awang Jelaji. Cikgu YIK yang berasal dari Kuala Krai. Beliaulah yang menjadi teman sembang saya dan bermundar-mandir sekitar Kota Bharu.

Jadi, pada sebelah malam atau waktu lapang, saya akan pergi ke Pejabat Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) Kelantan. Kadang-kadang bersembang dengan Cikgu Wan Rahim, Allahyarham Mazlan Mulong, Wan Nik Yusuf Ngah yang berjaga hingga ke pagi.

Tetapi saya banyak melihat kerja-kerja mengemaskini data-data pilihan raya yang dikendalikan sahabat saya Sdra. Khalil. Beliau berasal dari Perak, kalau tidak silap dari Selama. Beliau bertugas sepenuh masa dengan JPN Kelantan waktu itu.

Setelah diumumkan, usikan saya kepada Tuan Guru tengahari tadi menjadi kenyataan. PAS menang besar dan saya berbangga kerana melihat sendiri tumbangnya kerajaan Barisan Nasional Kelantan.

Keesokan harinya, saya menghadiri Sidang Media PAS Kelantan mengumumkan Tuan Guru sebagai Menteri Besar dan Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Sidang media itu diadakan di Pejabat PAS Kelantan. Rakan saya, yang kini menjadi salah seorang Pengarang Harakah, Rashidi Hassan hadir pada sidang media itu.

Kembali saya ke Kuala Lumpur, saya menulis sebuah buku yang bertajuk 'Antara Visi & Misi: Mampukah Ulama Mentadbir?'. Buku itu diterbitkan oleh GG Edar dan dijual dengan harga RM10.00. Dicetak 5,000 naskah dan habis terjual dalam masa dua bulan.

Terima kasih, Ibnu Hasyim atau Dr. Mohd Hasyim kerana berani menerbitkan buku itu. Itulah buku pertama saya dan Dr. Mohd Hasyim bagi saya antara pendorong untuk saya terus menulis buku selepas itu hinggalah sekarang.

Kini, Tuan Guru sudah memerintah Kelantan selama lebih kurang 18 tahun. Khabarnya, sudah kurang sihat. Acapkali dimasukkan ke hospital. Tetapi penyakitnya, tidaklah kritikal.

Saya benar-benar mohon ke hadrat Allah SWT, agar beliau dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan yang utuh untuk meneruskan agenda memperjuangkan nasib rakyat Kelantan dan agama Islam di negara ini.

Tuan Guru telah banyak mengubah lanskap politik tanahair. Telah banyak mengubah lanskap politik PAS hingga mampu membina persepsi positif orang luar, orang bukan Islam dan bangsa bukan Melayu terhadap PAS yang dulunya parti kampung atau parti tok lebai.

Maaf, saya belum nampak lagi, siapakah yang mampu menjadi Tuan Guru Nik Aziz ke-II di Kelantan.

Dan saya tidaklah begitu berminat untuk 'menelek' siapakah pula bakal pengganti beliau, kerana semua nama-nama yang perkatakan adalah rakan taulan saya (pernah bergaul dan berkenalan baik dengan mereka).

Apa yang penting, Tuan Guru sihat wal-afiat dan mampu lagi berpencak silat dan berdepan dengan tipu daya PIlihan Raya Umum Ke-12 esok lusa

SUMBER : KL POS

Tiada ulasan: