Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 22 Februari 2008

ZULKIFLI NOORDIN BERTARUNG DI KULIM-BANDAR BAHARU

PILIHANRAYA Umum ke 12 kali ini, menyaksikan salah seorang peguam muda dan terkenal tanahair, Zulkifli Noordin bertarung di kubu kuat UMNO Kedah, iaitu P8 – Kulim Bandar Baharu. Menentang Azeez Sheikh Fadzir, adik kepada mantan ahli parlimen sebelum ini yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Sebelum ini di pilihanraya Umum ke 11, beliau diletakkan di Kuala Langat, yang mana juga kubu UMNO. Tewas kepada mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd Salleh.


Zulkifli Noordin adalah salah seorang sahabat yang bertanding pada kali ini. Saya mengenali beliau sewaktu belajar sebagai senior saya di New Zealand.

Kebetulan saya bersekolah menengah di Wainuoimata yang berhampiran dengan Wellington, tempat beliau belajar di Universiti Victoria.

Seingat saya, beliau pernah terlibat dengan Kelab UMNO Wellington, selain aktif dengan persatuan Muslim tempatan.

Semenjak di Wellington sehingga sekarang, persahabatan kami boleh dikatakan rapat. Apalagi banyak berkongsi kehidupan remaja di bumi New Zealand.

Zulkifli Noordin dilahirkan di Baling, daerah yang pernah menjadi tempat pertemuan Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng, serta tempat Anwar Ibrahim mengadakan demonstrasi yang bersejarah.

Kehidupan di Baling dengan segala kekurangan menjadikan beliau memahami keperitan kehidupan marhaen. Pernah menoreh getah untuk menampung perbelanjaan walau tidak seberapa.

Arwah ayahnya adalah bekas seorang anggota polis. Manakala ibunya seorang suri rumah sepenuh masa. Zulkifli adalah anak ke empat daripada lapan adik beradik.

Era reformasi 1998 diikuti dengan perbicaraan Anwar Ibrahim, melonjakkan nama Zulkifli Noordin sebagai salah seorang penggiat reformasi dan peguam bela Anwar Ibrahim.

Beliau turut ditahan dibawah akta ISA selama 60 hari. Masa dalam tahanan, isteri beliau sedang sarat mengandungkan anak ketiga.

Sebaik dibebaskan dari ISA, Zulkifli Noordin pernah dijemput untuk memberi ucaptama di beberapa universiti terkemuka dunia seperti Columbia dan Cambridge.

Zulkifli Noordin mempunyai syarikat guaman sendiri di Kuala Lumpur dan antara pengalaman beliau ialah:-

-Panel peguam kes pemecatan YAA Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara
-Peguam mewakili Kerajaan Negeri Kelantan dalam kes Nordin Salleh –lwn- Dewan Undangan Negeri Kelantan (kes lompat parti ADUN S. 46 ke UMNO)
-Mewakili Kumpulan Darul Arqam mencabar fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan
-Mewakili Puan Pendek Ahmad & Norhayati Mohd. Yusof didalam kes berkaitan skandal seks Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dengan gadis bawah umur)
-Mewakili Al Fadhil Ustadz Kamal Asha'ari melawan Dato' Abdul Hamid Othman & Pusat Islam dalam kes fitnah terhadap Ustadz Kamal Asha'ari
-Mengendalikan kes pemecatan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri
-Mengendalikan kes-kes murtad termasuk kes Nor 'Aishah binti Bukhori
-Ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 29 September 1998 bersama-sama YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dan 16 yang lain.
-Mengendalikan kes Lina Joy –v- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Jabatan Pendaftaran Negara mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia
-Mengendalikan kes Pendakwaraya –v- Kumpulan Al Maunah yang didakwa atas pertuduhan mememrangi Yang Di Pertuan Agong dibawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan;

Aktiviti lain ialah menyampaikan ucapan, pidato dan ceramah pusat pengajian tinggi, masjid-masjid, surau-surau, syarikat, bank dan institusi-institusi.

Kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu bakal menyaksikan pertarungan sengit. Selain agenda nasional untuk Malaysia yang lebih baik, tentunya Zulkifli Noordin akan sama memperjuangkan isu-isu tempatan, terutama kedhaifan rakyat dalam era pelbagai koridor ekonomi.

Tidak seperti lawan yang mempunyai dokongan dari jentera kerajaan dan korporat, Zulkifli Noordin bertarung dengan serba kekurangan, tetapi dengan sokongan para penyokong BA dan rakyat pelbagai kaum yang sedar mengenai kebobrokan BN, tidak mustahil untuk keputusan yang memihak kepada beliau.

Catatan dari hatinya di blog http://zul4kulim.blogspot.com mungkin sesuai mengambarkan siapa Zulkifli Noordin:-

Ada satu nyonya penjual buah potong-potong dekat rumah persinggahan saya di Kulim. Tiap kali saya lalu dia hulur sebungkus buah pada saya..you know sebungkus dia hantar margin profit dia drop tau..

Di satu tempat di sebuah estet, satu orang aci jumpa saya masa buat lawatan. Dia pegang saya nala punya kuat..saya ingat dia nak ambik saya buat menantu.

Tapi dia kata dia nak tolong saya..dia kata dia tahu saya takkan menang tapi dia mahu saya bawa suara orang kampong ke Parlimen.

Dia buka dompet kecil dia..saya ingat dia nak hulur sireh. Tau tau dia bagi saya 30sen..itu sahaja yang dia mampu.

Kalian tahu, nak menangis saya dibuatnya.. here one old Indian lady sacrificing her lunch money for me. It may not be a lot for most of you..but I tell you.. if you see their living condition..it is big sacrifice on her part to give me that 30 sen. You can see into her eyes..the eyes of hope..hoping that their little voices are heard.

Dan itulah perjuangan saya untuk membawa suara rakyat bawahan..suara marhaen..tangisan pak tani..rintihan aci, keluhan nyonya..biar suara-suara kerdil itu menggegar jiwa rakus di Parlimen sana..biar suara keramat marhaen merentas tanahair.

Pada hari ini sehingga 8 Mac, Zulkifli Noordin dan para petugas BA akan bertungkus-lumus untuk membawa seorang lagi anak Kedah yang berwibawa ke Dewan Rakyat. Perjuangan yang lebih besar diperingkat nasional.

Pengundi P18 mempunyai dua pilihan menjelang hari pengundian, antara dua tokoh anak Kedah yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan.


Kajilah latarbelakang dua calun ini, selain manifesto untuk memastikan undian kalian berbaloi. Kita perlukan suara pembangkan yang lebih mantap dan padu untuk menggegarkan Dewan Rakyat serta memastikan 'check & balance' untuk kesejahteraan negara.

Bagi saya, bukan sekadar seorang kawan, tetapi sebagai seorang yang mahukan perubahan di tanahair tercinta, pengundi Kulim-Bandar Baharu tidak akan sekali rugi untuk memberikan peluang kepada Zulkifli Noordin mewakili mereka di Dewan Rakyat.

Ya, HARAPAN BARU bermula dari undi anda dan pilihlah Zulkifli Noordin pada 8 Mac nanti.

Tiada ulasan: