Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 26 Mac 2008

DAH PUAS MERAIH PUBLISITI, BARU NAK MINTA MAAF

KL: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam berkata beliau akan memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bagi membincangkan dan menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar Terengganu.

'Sudah tentu saya akan menghadap Tuanku,' katanya sambil menambah pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin.

Datuk Seri Abdullah diminta mengulas cadangan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya Perdana Menteri menghadap Tuanku Mizan bersama Datuk Seri Idris Jusoh, yang patut memohon maaf sekiranya wujud perselisihan faham antara bekas Menteri Besar itu dengan Istana.

Sabtu lalu, Istana Terengganu mengeluarkan satu kenyataan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, dilantik sebagai Menteri Besar yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Idris.

Bagaimanapun, 22 Adun Barisan Nasional (BN) Terengganu telah mengikrarkan sokongan mereka terhadap Datuk Seri Idris, yang sudah menerima surat pelantikan sebagai Menteri Besar daripada Datuk Seri Abdullah.

Semalam, Datuk Seri Abdullah berkata beliau yakin isu itu boleh diselesaikan.

'Saya mahu mengatakan begini. Ada jalan untuk menangani masalah yang kita hadapi sekarang. Kami tahu mengenai keadaan sebenarnya dan ada orang yang sedang mengekploitasi keadaan ini untuk kepentingan mereka yang membuat banyak kesimpulan sendiri.

'Tapi kita perlu bertenang dan pada masa yang sama jangan sampai tidak menyedari apa yang sedang berlaku berkaitan isu ini,' katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Idris berkata hubungan beliau dengan Tuanku Mizan baik dan tidak tahu apa kesalahannya terhadap Sultan Terengganu itu.

Beliau sedia menghadap Sultan jika diberi peluang untuk memohon maaf terhadap sebarang kesalahan yang telah dilakukannya kepada pihak Istana.

'Sebagai hamba Allah, saya tak terlepas daripada melakukan kesilapan,' katanya.

Sehubungan itu, Datuk Ahmad, yang memulakan tugas sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru semalam, berkata: 'Walaupun keadaan dipenuhi dengan kontroversi, ia tidak mematahkan semangat saya untuk berkhidmat demi masa depan rakyat Terengganu.'

Beliau turut menasihati rakyat supaya bersabar dan tidak melakukan tindakan yang boleh menimbulkan masalah

Tiada ulasan: