Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 12 Mei 2008

APABILA ISU TAN HOCK LIM BERGAJI RM168 RIBU SEBULAN BERGEMA DI PARLIMEN

Oleh Orang Lama UKM

Saya dimaklumkan bahawa nama Prof Dr Tan Hock Lim pada 7 Mei lalu timbul dalam sidang parlimen apabila Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menimbulkannya. Serta-merta, sebagai bekas pensyarah UKM, saya teringat laporan berita Harakah yang membongkar bagaimana prof berkenaan diberikan gaji lumayah RM168,000 sebulan, dengan pelbagai keistimewaan yang tidak pernah dinikmati oleh mana-mana pensyarah UKM.

Kisah misteri Tan Hock Lim ini memang sudah lama dibangkitkan oleh tenaga pensyarah UKM yang prihatin, malah bila saya buat carian dalam internet, Harakah mula mendedahkannya sejak awal Oktober tahun lalu.

Saya harap, selepas Salahuddin membangkitkannya di Dewan Parlimen, pihak Menteri Pengajian Tinggi harus menjawabnya secara terbuka, tanpa berselindung lagi. Kita tidak mahu wang rakyat dibazirkan begitu sahaja, manakala tujuan pengambilan Tan Hock Lim langsung tidak tercapai.

Naib Canselor UKM, Dr Sharifah Hapsah harus bertanggungjawab sepenuhnya kerana difahamkan beliaulah yang beria-ia mahukan khidmat Tan Hock Lim itu, walaupun terpaksa menelan wang pembayar cukai yang begitu banyak, iaitu RM8 juta sepanjang perkhidmatannya. Semoga kegelisahana warga UKM dapat diubati dengan tindakan yang cepat dan pantas.

Di sini saya sertakan lampiran berita Harakah berkenaan:

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Meskipun dibantah banyak pihak, khususnya oleh para pensyarah kanan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, akhirnya Prof Dr Tan Hock Lim, diterima secara rasmi sebagai Distinguished Profesor bagi tempoh empat tahun, dengan gaji RM168,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Naib Canselor UKM, Prof Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, menawarkan jawatan berkenaan kepada Dr Tan, 58, anak kelahiran Malaysia tetapi kini seorang warganegara Australia, secara tidak mengikut peraturan yang ditetapkan, dengan imbuhan lumayan, iaitu lebih RM8 juta sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 48 bulan.

Berita perlantikan Dr Tan itu menimbulkan kekecohan sehingga timbul ura-ura bahawa sebilangan pakar bedah di UKM akan membuat protes secara terbuka. Harakah turut menerima banyak rungutan melalui emel daripada pelbagai kalangan dipercayai oleh warga fakulti perubatan sendiri.

Menurut Sharifah Hapsah, Tan yang mengukir nama sebagai antara pengasas pembedahan laparoskopi atau 'keyhole surgery' bagi kanak-kanak akan memberi khidmat kepakaran untuk menubuhkan Pusat Kemahiran Pembedahan Termaju (Advanced Surgical Skills Center) di Hospital UKM. Tan berhijrah ke Australia sejak 1963.

Bagaimanapun, seorang pakar bedah dalam satu pertemuan dengan Harakah, di sini, baru-baru ini, mempersoalkan: "Naib Canselor jelas mengetepikan semua prosedur sebelum melantik Dr Tan. Siapa yang review kelayakannya? Panel mana yang menilai keupayaannya? Ia membabitkan wang pembayar cukai yang banyak, justeru, apakah bidang laparoskopi atau 'keyhole surgery' itu merupakan keutamaan di Hospital UKM sekarang?"

Beliau yang juga bekas pensyarah perubatan UKM hairan bagaimana kelulusan membabitkan wang jutaan ringgit dalam isu perlantikan Dr Tan mudah diberikan, sedangkan menurut pengalamannya, bagi kes yang lebih perlu disegerakan, ia mesti melalui pelbagai peringkat birokrasi dan memakan masa cukup lama.

"Saya bimbang ada campur tangan suami Naib Canselor sendiri, juga pakar padeatrik, yang merupakan kenalan lama Dr Tan," ujarnya. "Masakan Sharifah tidak tahu bidang mana yang perlu disegerakan. Mengapa hanya tertumpu kepada kes pedeatrik? Berapa banyak waiting list dalam bidang itu sehingga puluhan juta, selain gaji Dr Tan, perlu dicurahkan ke situ?"

Beliau berkata, jika UKM mahu menambahbaik kekuatan dalam bidang perubatan, sepatutnya keutamaan diberikan kepada bidang yang lebih kritikal seperti pemindahan hati ataupun neuro surgery. Malah, katanya, dalam bidang pedeatrik sendiri, kes-kes yang membabitkan hidup-mati kanak-kanak, seperti pembedahan jantung, lebih perlu disegerakan.

Apabila ditanya maksud mudah 'keyhole surgery' yang menjadi kepakaran Dr Tan, pakar bedah itu menjawab, ia tidak melibatkan pembedahan kes kritikal hidup-mati seseorang kanak-kanak tetapi lebih merupakan "pembedahan kosmetik" dengan kesan kesakitan dan parut paling minima.

"Kalaupun kita mahu menjemput pakar-pakar perubatan bertaraf dunia datang ke UKM bagi menaikkan nama baiknya, ramai lagi anak-anak Malaysia yang kini berada di luar negara, misalnya Dr Ahmad Sallehuddin dan Dr Hamdan Leman yang kini bekerja di Riyadh. Rasanya dengan kemudahan sebaik ditawarkan kepada Dr Tan, ramai rakyat Malaysia bersedia pulang menabur bakti di tanah air mereka. Ingat, Dr Tan bukan lagi rakyat Malaysia," tambahnya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana liver centre di Hospital Selayang tidak dapat beroperasi seperti dirancang disebabkan tiada pakar dalam bidang berkenaan. "Saya sekadar mahu memberi contoh bahawa banyak lagi bidang perubatan yang kritikal, yang perlu diberi keutamaan segera di negara ini. Jika kita kelihatan begitu mewah, seperti dalam kes Dr Tan, lebih baik ia dijuruskan kepada bidang berkenaan," tegasnya.

Dalam perkembangan sama, Harakah menerima emel yang memaklumkan kerja-kerja ubahsuai dewan pembedahan dan bilik makmal untuk Dr Tan, yang dikatakan menelan belanja kira-kira RM90 juta, rancak dijalankan. Difahamkan Dekan Fakulti Perubatan UKM Prof Dato' Dr Lokman Saim dan Pengarah HUKM, Prof Dato' Dr Mohamad Abd Razak turut tidak berpuas hati dengan perlantikan Dr Tan yang dibuat tanpa melalui tapisan sewajarnya

SUMBER : DETIKDAILY

Tiada ulasan: