Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 8 Mei 2008

KEJATUHAN SAHAM BSKL : MESEJ KEPADA PM

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kejatuhan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semenjak awal tahun ini sehingga mencecah kemerosotan melebihi 200 mata. Pada Januari 2008, BSKL mencatat 1,445 mata, tetapi telah merosot kepada 1,227 mata pada April 2008. Para penganalisis saham mengatakan nilai bagi satu mata di BSKL mewakili kira-kira RM770 juta. Ini bermakna, dalam tempoh dua bulan, negara telah kerugian besar sekitar RM140 bilion.

DPP Pusat melihat faktor utama kejatuhan saham di BSKL ini adalah berpunca daripada ketidakyakinan para pelabur ekoran kedudukan kerajaan yang tidak stabil selepas pilihan raya umum ke-12. Faktor kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga adalah satu isu, tetapi isu yang lebih besar ialah ketidakyakinan ahli-ahli Umno terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Semenjak 9 Mac 2008, ahli-ahli Umno di pelbagai peringkat mengkritik secara terbuka kepemimpinan beliau, dan sebahagian besar daripadanya mendesak supaya Presiden Umno berundur daripada jawatan Perdana Menteri.

Pergolakan ini kemudian memberi kesan yang lebih teruk kepada keyakinan pelabur apabila dasar-dasar kerajaan BN yang tidak demokratik dikenakan ke atas negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama rakyat dan pelabur sudah berasa jelek dengan kegagalan kerajaan BN mewujudkan integriti dan kebebasan di kalangan rakyat. Peningkatan indeks rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sudah menyamai peningkatan inflasi yang sedang melanda hari ini. Bertolak daripada beberapa faktor ini, indeks BSKL telah menerima kesan yang parah dan mulai mengalami kejatuhan yang besar dalam tempoh yang singkat.

DPP Pusat melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan BN cuba menutup kejatuhan saham ini dengan menggunakan dana-dana awam yang dipaksa untuk menyuntik semula dana bagi memulihkan BSKL. Ketika negara mengalami kegawatan ekonomi pada 1998 dahulu, berbilion wang rakyat telah disalahgunakan untuk membailout syarikat-syarikat kroni bagi mengelakkan mereka bankrup. Dan tidak mustahil pada hari ini jika dana-dana awam seperti KWSP, LUTH, KWSG, PNB dan sebagainya akan dipaksa untuk 'menjaga imej' BN dengan menyuntik berbilion wang ke BSKL.

DPP Pusat tidak nampak satu cara yang paling efektif untuk memulihkan BSKL melainkan kerajaan BN mengundurkan diri dan menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Pakatan Rakyat. Pak Lah mesti meletakkan jawatan dengan segera untuk membolehkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan berintegriti ditubuhkan bagi membina semula keyakinan rakyat dan pelabur. Dengan keyakinan ini, DPP Pusat percaya indeks BSKL dapat dipertingkatkan semula dan kerugian tersebut dapat diatasi dengan segera.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan: