Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 13 Mei 2008

VETERAN UMNO: SHARIFF BOLEH KENA TINDAKAN

Abdul Rahim Sabri

Kelab Veteran Umno Malaysia boleh mengambil tindakan kepada seorang ahli jawatankuasanya yang membantah sokongan pengerusi kelab itu Tan Sri Tajuddin Ali kepada perdana menteri.

Satu sumber memberitahu Malaysiakini hari ini, kenyataan M Shariff Yousuf akan dibincangkan dalam mesyuarat kelab tersebut dalam satu pertemuan akan datang.

"Keputusan dan bentuk tindakan bergantung pada keputusan ahli (jawatankuasa kelab) dalam mesyuarat itu," kata sumber itu yang dekat dengan kepemimpinan Kelab Veteran Umno.

Sumber itu, yang enggan dikenali, bagaimanapun tidak menyebut bentuk kesalahan tersebut atau tarikh mesyuarat jawatankuasa yang bakal diadakan.

Kenyataan Tajuddin yang menyebut kelab itu sebulat suara menyokong Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan tidak disenangi oleh majoriti ahli jawatankuasa kelab veteran Umno kerana ia tidak dibincang dengan mereka terlebih dahulu.

"Malah, dua pertiga daripada ahli-ahlinya tidak menyokong Abdullah terus memimpin Umno dan kerajaan, dan mahukan peralihan kuasa dilakukan segera," kata M Shariff hujung bulan lalu.

Ekoran kekalahan teruk BN dan Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, sebilangan ahli-ahli parti termasuk ahli majlis tertingginya, mendesak peletakan jawatan Abdullah sebagai presiden Umno dan seterusnya perdana menteri.

Dalam pilihanraya umum tersebut, BN memperolehi 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

BN juga kalah empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada Pakatan Rakyat, manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan.

Shariff berkata, kenyataan pengerusi kelab veteran Umno itu kurang tepat, tidak berasas dan boleh mengelirukan.

Beliau mendakwa, ramai ahli jawatankuasa kelab tersebut tidak dimaklumkan ataupun dijemput menghadiri pertemuan dengan Abdullah.

Difahamkan, hanya tujuh atau lapan orang ahli jawatankuasa kelab itu dari Perak yang hadir.

Manakala ahli jawatankuasa yang mewakili negeri-negeri lain, termasuk Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Terengganu, Melaka, Pahang dan Wilayah Persekutuan tidak menghadiri pertemuan tersebut.

Tiada ulasan: