Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 22 Disember 2009

OBSES DUNIA ATAU AKHIRAT ??

Antara sedar atau tidak, sedang kita melalui kehidupan ini, semuanya berpandukan kepada obses kita. Ya, obsesi. Atau dengan bahasa lain, kita ni ‘gila’ untuk apa? Apakah yang menjadi idaman atau khayalan kita siang dan malam?

Apa dia ‘agenda besar’ dalam hari-hari yang kita lalui? Apa dia keutamaan dalam setiap detik hidup kita? Kerana ini semua akan mencorakkan ke mana hala tuju hidup kita nanti.

Rasulullah s.a.w telah memberi pesanan yang sangat ‘dalam’ buat kita akan hal ini.

“Barangsiapa yang menjadikan Akhirat sebagai obsesinya (keutamaan), pasti Allah akan menjadikan hatinya rasa cukup, melancarkan segala urusannya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan barangsiapa yang menjadikan Dunia sebagai obsesinya, Allah akan menjadikan rasa tidak cukup itu di antara kedua matanya, menunggang-terbalik segala urusannya, dan tidak akan ada baginya daripada dunia melainkan sekadar apa yang ditakdirkan." (Riwayat At-Tirmizi)

Orang yang menjadikan akhirat sebagai perkiraan hidupnya, akan hidup di dunia dengan tenang, tanpa ada rasa gelisah. Dia tidak melihat dunia melainkan sebagai peluang untuk beramal soleh, medan perlumbaan dalam melakukan kebaikan.

Sebaliknya, mereka yang mengejar dunia dan segala isinya. Sehinggakan saat hendak tidur pun masih terfikir-fikir untung rugi dunia yang dia perolehi, tanpa sedikitpun merasakan dirinya kelak akan menuju ke destinasi akhir, iaitu Akhirat.

Manusia jenis ini, hatinya telah diikat rapi dan kemas dengan dunia dan segala kemewahannya. Tidak ada jalan keluar, melainkan dirinya perlu menanam rasa cinta kepada Akhirat. Agar dirinya tidak terus tenggelam dalam hanyutan kegelapan.

Pesanan ini lebih saya tujukan, kepada diri saya dan mereka yang rapat dengan saya, ahli keluarga, isteri tercinta dan khasnya buat rakan-rakan seperjuangan yang memilih untuk menjadi Daie di atas jalan dakwah ini.

Tanyalah semula diri kita, ke mana sebenarnya ingin kita bawa diri kita terlebih dahulu sebelum kita sibuk untuk menyeru manusia lain. Jika tidak, nanti kita akan terkial-kial untuk ‘membahasakan’ seruan Akhirat sedangkan hati kita masih lagi diikat dengan dunia.

Obseslah kita kepada Akhirat, insya-Allah hati kita akan tenang dan hidup kita akan sentiasa terpandu oleh Allah s.w.t.

Wallahu ‘alam.


Tiada ulasan: