Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 30 Mei 2006

PLAZA MAHKOTA DI MELAKA LOKASI HIDU GAM, BOHSIA

MELAKA ( Harian Metro): Deretan pusat perniagaan di Plaza Mahkota, di sini, yang kosong sejak beberapa tahun lalu kerana tiada penyewa kini menjadi lokasi bohsia dan pelajar menghidu gam dan melakukan maksiat.Tinjauan Harian Metro ke kawasan itu mendapati tingkat tiga deretan bangunan perniagaan itu turut dijadikan tempat tinggal sementara bagi pelajar yang melarikan diri dari rumah.

Kebanyakan bohsia dan kaki gam ini hanya ke deretan bangunan itu selepas tengah malam untuk tidur manakala pada waktu siangnya dihabiskan dengan bersiar-siar atau melepak di pusat beli belah.

Seorang daripada mereka yang ditemui di kawasan itu mengakui lokasi berkenaan adalah tempat yang selamat daripada gangguan pihak berkuasa atau pencegah maksiat.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, keadaan deretan bangunan itu yang banyak kosong memudahkan mereka melarikan diri atau berpindah jika dirasakan kawasan itu tidak selamat untuk didiami.

''Tempat ini baik kerana berdekatan dengan pusat beli belah dan pada masa sama bebas untuk melakukan apa saja,'' katanya yang sering berada di kawasan itu bersama rakan terutama pada hujung minggu.

Menurutnya, dia tinggal bersama keluarga di Telok Mas, di sini, tetapi pada hujung minggu datang ke deretan bangunan itu untuk melepak bersama rakan.

''Ramai juga saya mendapat rakan baru dan kebanyakan adalah di kalangan pelajar perempuan yang lari dari rumah.

''Mereka ini mudah apabila tiada wang minta rakan lelaki yang baru dikenali belanja,'' katanya.

Bangunan itu yang dibina pada sekitar akhir 1990-an dipercayai kosong kerana tiada penyewa yang berminat walaupun kadar sewa yang ditawarkan murah.

Ini disebabkan kawasan itu bukan tumpuan ramai walaupun berdekatan dengan pusat beli belah dan pusat tumpuan pelancong.

Antara faktor menyebabkan bangunan itu kosong kerana kebanyakan perniagaan yang dijalankan kurang mendapat sambutan pelanggan.

Tiada ulasan: