Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 1 Jun 2006

PERANG NANING AKAN DIFILEMKAN?

KALAULAH ada syarikat korporat atau multinasional sanggup berkorban besar atas dasar tanggungjawab sosial dengan membiayai filem untuk kepentingan negara, pastinya hajat Meor Hashim Manap mengarahkan filem Perang Naning boleh tercapai.

Tapi apakan daya, filem yang diterbitkan atau dikerjakan oleh anak tempatan, selalunya tidak pernah dilihat dapat membawa prestij yang boleh menaikkan imej syarikat besar.
Mungkin suatu hari nanti, akan ada syarikat besar atau yayasan dari luar negara yang akan sanggup membiayai sebuah filem tempatan yang mengangkat tokoh dan pahlawan yang memperjuangkan maruah serta kedaulatan negara.
Sekarang pun, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara seperti Yayasan Jepun, Perancis serta Belanda yang membantu karyawan tempatan untuk terus berkarya.
Sehubungan itu, Meor Hashim memerlukan dana dianggarkan sangat besar untuk membiayai pembikinan filem Perang Naning.
Sekiranya menjadi kenyataan, lokasi utama penggambaran filem ini akan dibuat di Pagar Ruyung di Padang, Sumatera kerana suasana dan latar belakang tempat menepati gambaran yang diberikan pada skripnya.
Kos yang tinggi juga disebabkan untuk menyediakan props yang bersesuaian, busana dan barisan pelakon tambahan yang banyak. ''Belanja yang besar juga diperlukan untuk penggunaan teknik kesan khas berkomputer atau CGI bagi memastikan apa yang dipaparkan nampak nyata,'' kata Meor Hashim, yang juga seorang dramatis dan pengarah telefilem, teater dan filem.
Berdasarkan catatan dari laman web Arkib Negara, Perang Naning berlaku pada tahun 1832 membabitkan Kerajaan Inggeris di Melaka dengan orang Melayu Naning.
Peperangan ini dikatakan berpunca daripada keengganan orang-orang Melayu Naning membayar 1/10 daripada hasil pendapatan mereka kepada pihak berkuasa Kerajaan Inggeris di Melaka.
Orang-orang Melayu Naning diketuai oleh Penghulunya, Dato' Naning Abdul Said atau Dol Said.
Setelah beberapa kali gagal memujuk Dato' Naning supaya membayar ufti 1/10, pada bulan Julai 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam dihantar oleh kerajaan Inggeris ke Naning untuk menghancurkan pasukan Dato' Naning dan orang-orangnya.Askar-askar ini mendapat tentangan hebat dan berjaya dikalahkan oleh orang-orang Dato' Naning dengan bantuan daripada orang-orang Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban, menantu Raja Ali.Inggeris sedar kekuatan Naning dan Rembau tidak mudah dikalahkan.
Oleh itu, dari tahun 1831 hingga 1832, Inggeris berjaya menandatangani satu perjanjian dengan orang Rembau.
Mengikut perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju tidak akan menyerang di antara satu sama lain dan Rembau diiktiraf sebagai sebuah negeri berdaulat. Sebagai ganjaran, Raja Ali menarik balik pasukannya daripada Naning.
Pada bulan April, 1832, pasukan Rembau yang diketuai oleh Syed Shaaban bergabung dengan askar Inggeris berjumlah kira-kira 1,200 hingga 1,400 orang menyerang Naning bagi kali yang kedua.
Beberapa pertempuran berlaku selama kira-kira dua bulan. Taboh, ibu negeri dan pusat gerakan Dato' Dol Said dapat ditawan dan Dato' Dol Said serta pengikut- pengikutnya berundur.
Walaupun dapat dikalahkan, Inggeris tidak berminat untuk mentadbir Naning kerana hasil mahsul-mahsulnya tidak dapat menampung perbelanjaan pentadbirannya. Raja Ali pula enggan memasukkan Naning ke dalam wilayah Rembau.
Oleh itu Naning dimasukkan ke dalam pentadbiran wilayah Melaka. Menurut Meor Hashim, Perang Naning bukan sekadar perang semata-mata tetapi menceritakan erti perjuangan dalam mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa. Dan, pada masa ia juga memberikan pengajaran bahawa sikap mementingkan diri sendiri dan tidak setia, akhirnya boleh menghancurkan bangsa sendiri.
''Tapi filem Perang Naning lebih fokus kepada sejarah perjuangan Dol Said di Naning, salah satu kawasan antara sempadan Melaka dan Negeri Sembilan pada waktu itu. ''Kita cuba mendekati siapa sebenarnya beliau.
Ini kerana beliau adalah tokoh pertama yang tidak gentar untuk menentang Inggeris sebelum kemunculan Datuk Maharajalela di Perak,'' kata Meor Hashim kepada Hip.
Katanya lagi, skrip filem itu ditulis oleh sarjana perfileman tanah air, Dr Anuar Nor Arai yang membuat kajian teliti mengenai sejarah Perang Naning dan latar belakang Dol Said itu sendiri.Menurutnya, skrip filem itu juga sudah ditunjukkan kepada waris Naning dan mereka mengakui fakta mengenai asal usul dan bagaimana peristiwa Perang Naning berlaku adalah tepat.

Tiada ulasan: