Edisi Tengah: Pil N 10 terus dijual
Oleh Norfaisal Jahuri
MELAKA: Beberapa klinik dan farmasi di negeri ini terus menjual pil no-span atau N 10 kepada remaja walaupun mengetahui pil merawat sakit tekak itu mampu memberi kesan khayal sama seperti mengambil ganja.Walaupun ada peraturan mereka yang ingin mendapatkan pil itu perlu menyatakan maklumat peribadi tetapi ia tidak menghalang penjualannya secara terbuka kerana pil yang sudah sedia dipaket dalam kuantiti 10 biji itu dijual pada harga RM5.
Tinjauan Harian Metro ke beberapa klinik dan farmasi sekitar bandar ini mendapati tiada larangan atau sekatan kepada remaja membeli pil berkenaan secara terbuka.Malah wakil Harian Metro yang berkunjung ke sebuah farmasi di Batu Berendam, semalam turut membeli pil berkenaan sebagai membuktikan pil itu masih bebas dijual kepada sesiapa saja tanpa sebarang kawalan.
Akhbar ini pernah mendedahkan penggunaan pil itu yang semakin mendapat sambutan di kalangan remaja dan Mat Rempit baru-baru ini tetapi tiada tindakan diambil Cawangan Penguat Kuasa Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan cawangan negeri ini untuk membanterasnya.Pil itu dikatakan mampu memberi kesan khayal jika ditelan empat atau lima biji sekali gus.
Berikutan kebimbangan mengenai penularan pengambilan pil itu, Persatuan Alumni Agensi Anti Dadah Kebangsaan (Pendamai) negeri menawarkan kerjasama kepada Jabatan Kesihatan (JK) negeri bagi memberi maklumat mengenai penyalahgunaan beberapa ubat dan pil yang boleh dijadikan sebagai bahan ganti kepada dadah.Ini bagi membolehkan JK mengambil tindakan terhadap klinik atau farmasi terbabit yang menjual ubat berkenaan kepada orang ramai tanpa kawalan.
Pengerusi Pendamai negeri, Amer Mokhtar Jantan, berkata pihaknya mempunyai maklumat mengenainya daripada bekas penagih dadah yang kini menerima kaunseling di bawah Pendamai."Kebanyakan bekas penagih terbabit mempunyai maklumat dan pengalaman mengenai pelbagai penyalahgunaan beberapa ubat dijadikan sebagai bahan ganti untuk melegakan ketagihan mereka sebelum ini. "Menerusi maklumat itu, JK boleh bertindak ke atas mereka (farmasi atau klinik) yang menjual ubat berkenaan tanpa kawalan " katanya.
Amer berkata, penyalahgunaan ubat tertentu untuk tujuan berkhayal ini lazimnya timbul menerusi {eksperimen penagih atau menerusi maklumat dari rakan mereka.
Katanya, apabila ubat tertentu itu memberi kesan khayal kepada mereka, ia mula menjadi buah mulut golongan terbabit."Kami berharap penjualan pil tanpa had oleh pihak farmasi atau klinik dapat dikawal untuk mengelakkan ia muncul sebagai dadah gantian baru kepada penagih atau golongan remaja. "Disebabkan penggunaan ubat itu tidak menyalahi Akta Dadah dan tidak dapat dikesan menerusi ujian air kencing ia semakin popular pada masa ini," katanya.
Sementara itu, jurucakap Cawangan Penguat Kuasa, Bahagian Perkhidmatan Farmasi negeri ketika dihubungi memaklumkan semua pegawainya berkursus selama tiga hari mulai kelmarin.
sumber :Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan