Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara 8 Ogos 2006, di Mutiara FM (95.7 MHz) jam 7.30 pagi.
Baru-baru ini seorang lelaki bertanya kepada saya tentang siapa yang menjuarai Akademi Fantasia. Saya hanya diam, diam dan seterusnya diam.
Baru-baru ini seorang lelaki bertanya kepada saya tentang siapa yang menjuarai Akademi Fantasia. Saya hanya diam, diam dan seterusnya diam.
Beliau bertanya soalan yang sama sekali lagi kepada saya maka saya menjawab dalam bahasa Inggeris kepadanya, "I am just not interested to answer your question!"
Tibalah giliran saya untuk bertanya kepadanya, "Apa yang sedang berlaku di Lubnan, Palestin dan Afghanistan. Apa pula yang sedang berlaku kepada umat Islam di Perancis?" Beliau pula diam, diam dan seterusnya diam. Insiden ini menggambarkan tentang senario umat Islam pada hari ini atau satu antara senario umat Islam pada hari ini, iaitu, kita asyik memberi tumpuan kepada perkara yang tidak penting dan mengabaikan perkara yang lebih penting. Kita PEKA dengan perkara yang tidak penting dan PEKAK pada perkara yang penting. Telinga kita amat peka pada perkara yang tidak penting. Pada ketika yang sama, telinga kita yang Allah anugerahkan sebagai pinjaman sementara ini, kita pekakkan untuk mendengar perkara yang penting. Hal ini mungkin menjadi salah satu sebab sebahagian umat Islam pada hari ini kehilangan identiti. Mereka terkinja-kinja, terlompat-lompat di sana sini dengan identiti yang sebenarnya bukan milik mereka.
Akhirnya umat Islam menjadi golongan yang terpinggir di dunia yang serba mencabar pada hari ini. Inilah antara cabaran umat pada hari ini. Umat ini diberikan permata berlian yang amat bernilai oleh Allah tetapi umat memandangnya sebagai sesuatu yang tidak bernilai. Umat Islam telah kehilangan identitinya yang sebenar. Senario ini telah diceritakan oleh ramai orang, antaranya, seorang diplomat Austria yang bernama Leopold Weiss. Beliau telah mengkaji Islam dan al-Quran dan akhirnya memeluk agama Islam. Beliau sempat menjelajahi beberapa negara orang Islam dan kemudian menulis beberapa buah buku tentang pengalaman beliau itu. Salah sebuah buku beliau yang terkenal ialah buku yang bertajuk 'Road To Meccah'. Dalam buku itu beliau menegaskan, kekagumannya terhadap Islam bermula selepas beliau mengkaji al-Quran.
Beliau mengatakan, "Jika aku melihat kepada perangai dan sikap orang-orang Islam, aku tidak akan meminati Islam. Mujurlah al-Quran telah menyelamatkan aku." Ya, melihat kepada perangai sebahagian umat Islam yang PEKAK tentang agama sendiri menyebabkan sebahagian mereka yang bukan Islam membenci Islam.....
Dua tiga hari yang lepas saya berkesempatan menemui dan berbincang dengan sister Yvonne Ridley yang datang berceramah di Pulau Pinang dari 3-5 Ogos. Beliau juga memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran.
Suatu yang menarik tentang beliau ialah kepekaan beliau tentang apa yg berlaku ke atas umat Islam pada hari ini. Kepekaan ini menyedarkan beliau tentang kecantikan Islam dan ajarannya. Peribadi seperti ini perlu dicontohi oleh kita umat Islam..
Inilah cabaran kepada kita tuan-tuan dan puan-puan. Kita yang beragama Islam pada hari ini, adakah Islam kita ini sekadar Islam kulit?
Tidakkah kita berasa malu bahawa di sudut agama kita Muslim dan Muslimah tetapi di sudut perangai kita jauh daripada perangai yang sepatutnya ada pada seorang Muslim dan Muslimah? Inilah antara persoalan yang perlu kita fikirkan pada hari yang permai ini. Sudah pasti harapan kita bersama ialah dari masa kesemasa kita pertingkatkan diri kita, pertingkatkan iltizam kita untuk memperbaiki dan perangai serta kefahaman kita.
Semoga insya Allah pada masa akan datang jika orang melihat kita orang Islam dengan perangai dan pekertinya yang mengagumkan, mereka akan terus berasa kagum dengan Islam. Janganlah jadi seperti apa yang sedang berlaku pada hari ini, apabila orang melihat perangai kita, mereka terus mencaci agama Islam. Marilah kita sama-sama peka (dan bukan pekak) dengan Islam dan ajarannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan