Siapa menang, siapa untung dan siapa rugi? Demikian antara yang dipersoalkan apabila perang rating menjadi satu realiti baru industri penyiaran. Inilah sebenarnya realiti yang menuntut kita melihat jauh isu perang rating, apakah kita sudah bersedia atau sebaliknya.
Persoalan lain apakah perang rating ini satu pendekatan yang betul untuk mempertingkatkan kualiti sekali gus kredibiliti industri penyiaran?
Dalam industri penyiaran tempatan, malam esok adalah satu penanda aras di mana rating menjadi keutamaan stesen televisyen mengatasi kualiti pengisian.
Apakah ini suatu realiti yang selama ini kita sebagai pengguna televisyen bimbangkan? Apakah yang mampu dilakukan apabila rating menjadi kayu ukur "kejayaan'' atau "tidak berjaya'' sesebuah program atau sesebuah stesen televisyen?
Malam esok adalah satu titik tolak baru di mana stesen milik kerajaan, RTM bekerjasama dengan stesen swasta yang berbayar, Astro "berperang'' dengan TV3. RTM dan Astro mempertemukan Mawi dengan tunangnya, Ina secara sidang video di udara, sementara TV3 mempertaruhkan liputan secara langsung persandingan Siti Nurhaliza dengan Datuk Khalid Mohd Jiwa.
Inikah yang dikatakan hidangan kepada pembentukan masyarakat bermaklumat? Kita terpaksa bertanya secara jujur kepada diri sendiri apakah dengan tidak mengikuti dua program sensasi ini kita tertinggal maklumat?
Dalam industri penyiaran yang begitu pesat sekarang ini, rating bermakna wang. Semakin tinggi rating akan semakin besarlah potensi untuk menarik pengiklan. Industri penyiaran yang dihidupkan dengan sokongan sektor pengiklanan tidak dapat menafikan bahawa apa saja yang dilakukan, perhitungan utama adalah pendapatan daripada iklan.
Stesen swasta TV3 milik Media Prima yang mempunyai tiga saluran lagi iaitu TV 9, 8 TV dan ntv7 sejak awal -awal lagi mencanang mendapat hak penyiaran liputan majlis perkahwinan Siti Nurhaliza.
Banyak yang menjangka rating penonton TV3 malam esok menjulang mendadak. Ini berdasarkan program khas bersama Siti Nurhaliza dua minggu lalu mencatatkan lebih 2 juta penonton.
Sementara siaran majlis akad nikah Siti Nurhaliza di Masjid Wilayah Persekutuan pada 21 Ogos lalu mencatatkan rating 2.86 juta atau
88 peratus penonton televisyen pada waktu itu.
Melihat kepada keghairahan penonton Melayu terhadap isu-isu perkahwinan artis, TV3 membuat perhitungan dagang yang bijak. Memberikan liputan secara langsung seolah-olah majlis perkahwinan itu acara nasional sudah pasti membawa masuk lebih banyak pengiklan.
RTM dan Astro pula baru saja mengumumkan program bersama yang mempertemukan Mawi dengan Ina. Program ini bukan secara kebetulan yang jatuh pada masa dan hari yang sama. Ini adalah perancangan untuk memecah tumpuan penonton kepada TV3 malam esok. Apakah rating di TV3 esok semasa siaran langsung majlis perkahwinan itu akan berubah menjadi lebih kecil?
Kalau ini berlaku, RTM dan Astro berjaya mengambil sebahagian penonton yang barangkali mahu menonton program yang lain pula.
Tetapi RTM mahupun Astro tidak mengaku bahawa ini adalah strategi untuk bersaing. Kenapa perlu berselindung sedangkan persaingan boleh diwajarkan dalam aspek-aspek tertentu. Apa salahnya kalau RTM dan Astro mengakui bahawa program ini untuk memberi alternatif kepada penonton yang mahukan yang lain daripada Siti Nurhaliza?
Perang rating secara terbuka ini adalah titik mula untuk kita mendepani satu realiti dalam industri penyiaran. Kita terpaksa menerima ini sebagai satu kewajaran sekalipun fungsi televisyen sebagai ejen pemantapan budaya boleh dipersoalkan.
Rating adalah populariti. Rating hampir tidak ada kaitan dengan kualiti pengisian sesebuah program. Banyak program berkonsep berselera rendah mampu mencatatkan rating penontonan yang tinggi, sedangkan program yang lebih membina berada di tangga tercorot. Yang mana satu yang stesen televisyen akan pilih?
Sebelum ini RTM lebih percaya kepada profil penonton daripada rating penonton. Maknanya kalau rating program seperti Debat Perdana kecil tetapi ia mempunyai penonton yang berprofil tinggi.
Kalau dilihat stesen televisyen sebagai ejen perubahan dalam masyarakat, RTM melakukan sesuatu yang tepat. Ini kerana yang menonton program-program berselera tinggi adalah kalangan pembuat dasar. Kalau mereka berubah, yang berada di bawah juga ikut berubah.
Tetapi kedua-dua program malam esok secara jujurnya tidak memberikan apa-apa kepada penonton. Apakah pemikiran masyarakat akan berubah apabila majlis perkahwinan artis diberi keutamaan bertaraf nasional? Begitu juga dengan isu putus tunang antara Mawi dengan Ina.
Apakah program ini memberi sumbangan mengecilkan permasalahan sosial kalangan remaja?
Apakah perkahwinan artis satu maklumat penting yang mesti disampaikan kepada penonton? Begitu juga apakah sebab-sebab Mawi putus tunang satu maklumat penting yang kalau kita tidak tahu, kita dianggap ketinggalan zaman?
Tetapi dengan tahap pemikiran masyarakat yang lebih mementingkan hal-hal sensasi seperti ini, stesen televisyen mempunyai sebab untuk mencipta arus perdana pemikiran penonton. Ada kalangan penonton yang menganggap ketinggalan zaman apabila tidak tahu dunia selebriti, berbanding ehwal semasa yang ada hubungan langsung dengan kehidupannya.
Maka ada kewajarannya kalau kita bimbang dengan fenomena perang rating secara terbuka antara stesen televisyen ini. Perang adalah persaingan dan persaingan suatu yang sihat untuk mencari yang terbaik.
Tetapi dalam konteks perang rating stesen televisyen tempatan, penonton sebagai pengguna akan menjadi mangsa. Apabila majoriti penonton memilih program yang pengisiannya murahan, itulah arus perdana dan kecenderungan stesen televisyen.
Pengguna yang memilih program yang lebih berkualiti terpaksa mengikut kuasa majoriti. Sewajarnya perang rating memberikan lebih banyak alternatif kepada penonton dan bukan memberikan satu bentuk program dalam beberapa stesen yang berbeza.
Akhirnya kita terpaksa realistik bahawa kalau hanya memperagakan rating tertinggi, yang dipersoalkan adalah kredibiliti stesen.
Kredibiliti stesen akan dilihat sumbangan sosial sekalipun stesen yang beroperasi secara komersial.
TV3 misalnya akan terus diingat dengan program Bersamamu yang menyelongkar kisah-kisah rakyat yang terlepas pandang oleh pemimpin masyarakat.
Maka kerana itu kita semua mengharapkan apa yang berlaku malam esok hanya proses sementara. Ia diharapkan bukan satu fenomena yang menjadi rujukan kepada industri penyiaran tempatan selepas ini.
Walau apa alasan sekalipun, stesen televisyen wajar memberikan menu yang berkhasiat kepada penonton-penontonnya. Kualiti dan kredibiliti stesen televisyen tidak pernah memusuhi populariti.
Kalau ada program yang popular, ia bagus kerana banyak yang menontonnya. Lalu kualiti juga sangat penting supaya penonton yang banyak itu mendapat sesuatu daripada program berkenaan.
Mudah-mudahan selepas ini perkahwinan tidak lagi dijadikan acara nasional, pertemuan dengan bekas tunang pula tidak perlulah melibatkan dua stesen televisyen yang perkasa di negara ini
sumber dari UiTM-melaka@yahoogroups.com
Oleh: LU SEMAN KU HUSSAIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan