Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 8 Oktober 2006

HARGA MEMECUT GAJI MENGECUT

Alhamdulillah kita masih lagi diberi keizinan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk hidup dan beribadah kepadaNya di bulan yang penuh keberkatan ini. Kita wajib bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita dan tidak boleh sekali-kali kufur dengan nikmatNya. Dalam masa yang sama, kita wajib memperbetulkan segala tindak-tanduk manusia yang tidak tunduk patuh kepada perintah dan larangan Allah di dunia ini. Jika tidak, Allah yang Maha Mengazab akan menurunkan azabNya yang akan menimpa tidak hanya mereka yang kufur dan zalim, malah termasuk golongan yang beriman. InsyaAllah, jika kita saling nasihat menasihati dan melakukan kebaikan di bulan yang mulia ini Allah yang Maha Penyayang akan melipatgandakan ganjaranNya kepada kita. Justeru, marilah kita bersama-sama memuhasabah sesama kita agar bumi Allah ini sentiasa dipenuhi dengan segala kata-kata yang baik sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah kepada kita

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata, sesungguhnya aku termasuk orang-orang Muslim" [TMQ Fusilat (41):33].

Selama hampir sebulan yang lepas, isu kenaikan gaji telah menjadi buah mulut rakyat Malaysia khasnya mereka yang berpendapatan rendah. Ia dikatakan bermula dari kenyataan Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Musa Hassan yang meminta agar kerajaan menyemak semula gaji anggota polis berpangkat konstabel sehingga Asisten Komisioner (ACP) agar dinaikkan supaya mereka, terutama yang tinggal di bandar besar, tidak berada di bawah garis kemiskinan [Utusan Malaysia 17/09/06]. Idea kenaikan gaji kakitangan awam ini juga dikatakan bermula lebih awal semasa ianya dikemukakan di Parlimen sewaktu perbahasan Bajet 2007[Utusan Malaysia 12/09/06]. Bagaimanapun, pada akhir minggu lepas kerajaan menjelaskan mereka belum bersedia untuk semakan semula gaji [Utusan Malaysia 28/09/06].

Mungkin soal gaji rendah ini semakin diberi perhatian ekoran kenaikan harga barangan seperti petrol dan ayam. Mungkin juga berpunca daripada harapan tinggi golongan pekerja selepas pembentangan bajet negara pada 1 September yang lalu. Mungkin juga ianya berlaku lantaran keadaan hidup yang semakin menghimpit saban tahun. Dari satu sektor ke satu sektor pekerjaan, semakin banyak pekerja merintih meminta gaji yang mereka peroleh dinilai semula agar berpadanan dengan tugas yang dilakukan dan berupaya memenuhi tuntutan asas kehidupan. Bagi segelintir rakyat di negara ini, rintihan sebahagian besar kakitangan perkhidmatan awam dan polis berjawatan rendah memohon kenaikan gaji baru-baru ini mungkin dilihat sebagai perkara biasa yang merupakan reaksi kepada situasi ekonomi semasa. Ada juga yang berpendapat bahawa golongan ini kurang bersyukur dan ada pula yang menyokong usaha agar semakan tangga gaji tersebut dilaksanakan.

Gaji Yang Rendah Hasil Kekejaman Sistem Kapitalis

Umat Islam dituntut untuk mencari pekerjaan yang baik dan halal. Dari pekerjaan yang halal-lah, maka umat Islam akan memperolehi gaji/upah yang halal. Sehubungan dengan adanya tuntutan ini, maka sudah semestinya persoalan kerja dan gaji sememangya dibahas oleh Islam dan merupakan salah satu cabang perbahasan dalam fiqh mu’amalat. Justeru, persoalan kerja dan gaji tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya mesti dilihat secara serius dari sudut Islam sebagai sebuah ideologi yang wajib diterapkan oleh umatnya. Adalah merupakan satu kesalahan apabila memandang isu gaji (dan lain-lain isu) hanya dari aspek keduniaan sahaja tanpa mengaitkannya dengan masalah keakhiratan. Ideologi Islam itu mencakupi persoalan fikrah (thought) dan thariqah (method) yang menyangkut segala urusan dunia dan akhirat. Ini jelas-jelas berbeza dengan ideologi Kapitalis dan Sosialis yang hanya membahas masalah keduniaan. Di sinilah kesempurnaan Islam sebagai sebuah ideologi, berbanding dengan ideologi
Kapitalis dan Sosialis (termasuk di dalamnya Komunis) yang penuh dengan kekurangan, kerosakan, penganiayaan dan kezaliman. [Nizam al-Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani]

Tujuan setiap orang bekerja adalah untuk memenuhi keperluan hidup, samada keperluan asas, pelengkap, mahupun sampingan. Jika kos hidup adalah lebih tinggi dari jumlah gaji yang diperolehi, maka sudah semestinya manusia akan memberontak dan gelisah kerana salah satu keperluan tersebut gagal dipenuhi. Oleh itu, dalam keadaan ini adalah wajar bagi seorang yang bekerja untuk menuntut kenaikan gaji. Pada kebiasaannya, tuntutan kenaikan gaji pasti akan disertai dengan sebab-sebab ketidakmampuan gaji yang sedia ada untuk memenuhi perbelanjaan keperluan asas yang semakin meningkat seperti perbelanjaan dapur, sewa rumah, bil-bil, pakaian dan sebagainya. Jarang sekali kita mendengar pekerja menuntut kenaikan gaji kerana ingin memenuhi perbelanjaan sampingan atau perbelanjaan bukan keperluan.

Masalah gaji rendah yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan bukanlah persoalan yang berdiri sendiri. Masalah ini sangat terkait dengan dunia pendidikan dan pekerjaan yang menilai manusia dari aspek 'keputusan akademik'. Penetapan kadar gaji sangat tergantung kepada tingkat pendidikan yang dicapai oleh seseorang. Oleh itu, rendahnya taraf pendidikan secara automatik akan mengurangkan posisi tawar-menawar yang boleh dilakukan oleh seseorang di dalam pasaran kerja. Ini berdampak kepada rendahnya gaji/upah yang harus mereka terima. Gaji yang rendah mengakibatkan kehidupan pekerja menjadi tertekan. Hal ini sering memicu konflik antara pekerja dan majikan. Keadaan ini bertambah buruk dengan kenaikan harga barang yang semakin meningkat berbanding dengan pendapatan/gaji yang masih di takuk lama. Di dalam keadaan ini (kenaikan harga barang), jika gaji dinaikkan sekalipun, taraf kehidupan seseorang itu tetap tidak berubah, apatah lagi jika gaji masih di tangga yang sama,

kehidupan sebenarnya lebih parah.

Kapitalisme, dalam perkembangannya, yakni sejak Revolusi Industri di England dan Perancis, telah terbukti mengorbankan mereka yang berkelas rendah. Perkembangan revolusi industri ini memberikan kesempatan yang luas kepada para pemilik modal untuk mengeksploitasi kaum pekerja di mana mereka betul-betul menggunakan pekerja hanya untuk kepentingan mereka sahaja, yakni untuk tujuan akumulasi kapital (modal). Dengan prinsip kebebasan kepemilikan dan didukung oleh pandangan laissez faire (tidak ada campur tangan pemerintah dalam perekonomian) , para pemilik modal dengan bebasnya memanfaatkan tenaga pekerja di luar batas kewajaran dengan upah yang sangat rendah - yang tidak sesuai dengan tenaga yang telah mereka berikan. Golongan pekerja dilayan tak ubah seperti hamba yang tidak mempunyai apa-apa hak terutama di dalam menentukan upah/gaji.

Dalam paradigma kapitalis, buruh atau tenaga kerja (labour) dipandang sebagai faktor ekonomi sahaja sehingga nilainya diserahkan pada mekanisme pasar, yakni pada kekuatan antara jumlah penawaran kerja (supply) dengan permintaan (demand) para pengusaha. Dengan demikian, mekanisme pasar menjadi faktor yang paling dominan dalam penentuan gaji/upah setiap pekerja dibandingkan dengan faktor tenaga, kepakaran dan waktu yang telah dikorbankan oleh pekerja terhadap pengusaha. Upah pekerja sangat rendah, langsung tidak setimpal dengan kos untuk memenuhi keperluan hidupnya. Di dalam sistem kapitalis, pemerintah tidak menjalankan fungsinya sebagai pelayan rakyat tetapi hanya melepaskan kepada rakyat untuk 'pandai-pandai nak hidup'. Oleh itu, sistem Kapitalis secara hakikatnya tidak mengenal tugas negara sebagai 'pengurus dan penanggung jawab memenuhi keperluan pokok rakyatnya'. Rakyat yang ingin memenuhi keperluannya harus bekerja secara mutlak. Jika ia ditimpa bencana atau keperluan hidupnya meningkat, ia harus bekerja lebih keras secara mutlak. Ketika ia sudah tidak mampu bekerja karena usia, kemalangan, kecacatan atau sebab lainnya maka 'pandai-pandailah' ia mencari jalan untuk hidup. Jika ia gagal, maka itu adalah kesalahan dirinya sendiri atau kesalahan masyarakat yang dikatakan tidak membantu. Di dalam sistem kapitalis yang sedang mendominasi dunia hari ini, negara langsung tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan.

Masalah ketidakcukupan gaji atau gaji yang rendah sebenarnya merupakan manifestasi dari penerapan Sistem Ekonomi Kapitalis yang bersifat menindas dan menzalimi. Adalah suatu yang lumrah di dalam ekonomi kapitalis bahawa yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan bertambah miskin. Manusia hidup hanya untuk mencari sebanyak-banyak harta benda dunia dan menjadikan manfaat sebagai asas ukuran. Halal dan haram bukan merupakan perhitungan. Jika rasuah perlu dilakukan untuk mendapatkan sesuatu projek yang lebih menguntungkan, maka mereka tidak akan segan silu untuk memberi dan menerima rasuah. Ketidakcukupan gaji yang diterima di bawah kekejaman Sistem Kapitalis ini telah menyuburkan lagi amalan keji ini. Jadi tidak hairanlah jika kes rasuah begitu berleluasa kerana pelakunya hanya mementingkan manfaat dunia semata-mata tanpa memikirkan lagi dosa dan azab yang akan diterimanya di akhirat nanti.

Tambahan lagi, segala hak dan kekayaan umat yang dirampas oleh para penguasa kapitalis menjadikan umat terus tertekan dan menderita. Apa yang pasti menjadi punca kepada segala permasalahan adalah kerana diterapkan Ideologi selain Islam di dalam kehidupan. Pendek kata, isu gaji yang kita lihat pada hari ini bukanlah sebenarnya permasalahan tentang sistem penggajian yang lemah atau sudah ketinggalan dan juga permasalahan tentang kenaikan kos taraf hidup; namun, masalah yang sebenarnya adalah kerana tidak diterapkan hukum Allah di dalam kehidupan ini yang menyebabkan ketidaksempurnaan, kegagalan dan ketidakadilan di dalam segala aspek kehidupan samada ekonomi, pemerintahan, sosial dan sebagainya.

Penentuan Gaji dan Tanggungjawab Negara

Hubungan yang wujud di antara majikan dan pekerja adalah melalui aqad Ijarah. Ijarah adalah pemberian jasa dari seorang ajir (pekerja) kepada seorang musta'jir (majikan) serta pemberian harta dari pihak musta'jir kepada seorang ajir sebagai imbalan dari jasa yang diberikan. Oleh karena itu, ijârah didefinisikan sebagai transaksi terhadap jasa tertentu dengan disertai imbalan (kompensasi) . Di dalam Islam, suatu transaksi ijarah yang akan dilakukan haruslah memenuhi rukun dan syaratnya. Di dalam menentukan upah/gaji, ia mestilah disepakati bersama oleh ajir dan musta'jir semasa kontrak kerja dilakukan dan mesti ditentukan berdasarkan kadar semasa (market rate) dengan mengambil kira kecil besarnya manfaat (jasa) yang akan dihasilkan oleh ajir. Di dalam hal ini, jika berlaku pertikaian tentang jumlah upah/gaji tersebut, maka ia hendaklah dikembalikan kepada pakar yang akan menentukan kadar semasanya [Nizam al-Iqtisad Fi al-Islam, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani].

Berdasarkan kaedah ini, pasukan keselamatan yang bertungkus lumus bertugas menjaga keselamatan negara sehingga nyawa mereka sendiri turut terancam sepatutnya mendapat gaji yang lebih besar dari kadar yang mereka perolehi sekarang. Oleh itu, keluhan yang disuarakan oleh Ketua Polis Negara seharusnya dipandang serius dan perlu diselesaikan mengikut kaedah fiqh mu’amalat Islam.

Islam telah mewajibkan negara untuk menjalankan polisi ekonomi secara makro dengan menjalankan apa yang disebut sebagai Politik Ekonomi Islam. Politik Ekonomi Islam adalah penerapan berbagai polisi ekonomi yang menjamin tercapainya pemenuhan semua keperluan pokok (primary) setiap individu masyarakat, disertai dengan adanya jaminan yang memungkinkan setiap individu dapat memenuhi keperluan-keperluan pelengkap dan sampingan (secondary and tertiary) sesuai dengan kemampuan yang mereka miliki. Hal ini bererti Islam lebih menekankan kepada pemenuhan keperluan secara individu dan bukan secara kolektif. Dengan demikian, aspek distribusi (pengagihan) sangatlah penting sehingga dapat dijamin secara pasti bahawa setiap keperluan hidup individu akan dipenuhi. Dengan kata lain, negara wajib memastikan bahawa setiap warganegara akan dapat memenuhi keperluan asas mereka, jika tidak, pemerintah akan berdosa di atas kelalaiannya. Di dalam memastikan pemerintah bebas dari dosa, maka mereka wajib melakukan perkara-perkara berikut:-

1-Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan agar setiap rakyat yang mampu bekerja dapat memperoleh pekerjaan sekaligus dapat memenuhi keperluan asas mereka. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

"Imam adalah pemelihara dan pengatur urusan (rakyat); ia akan diminta pertanggungjawabann ya atas pemeliharaan (rakyat)nya". [HR al-Bukhari dan Muslim].

Hadis ini menjelaskan tanggungjawab pemerintah secara umum termasuk memastikan keperluan asas rakyatnya dipenuhi. Kisah Umar al-Khattab r.a. memperjelaskan lagi kepada kita akan tanggungjawab seorang pemimpin di dalam hal ini. Suatu ketika Amirul Mukminin Umar bin Khattab memasuki sebuah masjid di luar waktu solat lima waktu. Didapatinya ada dua orang yang sedang berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Umar lalu bertanya, "Apa yang sedang kalian lakukan, sedangkan orang-orang di sana kini sedang sibuk bekerja?" Mereka menjawab, "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bertawakal kepada Allah". Mendengar jawaban tersebut, marahlah Umar ra. seraya berkata, "Kalian adalah orang-orang yang malas bekerja, padahal kalian tahu bahawa langit tidak akan menurunkan hujan emas dan perak." Kemudian Umar ra. mengusir mereka dari masjid seraya memberi mereka setakar biji-bijian. Beliau berkata kepada mereka, "Tanamlah ini dan bertawakallah kepada Allah."

2-Negara wajib menyediakan jaminan sosial berupa pendidikan, kesihatan dan keamanan.


Pendidikan, kesihatan dan keamanan adalah hak asas setiap warganegara dan harus disediakan oleh pemerintah secara percuma kepada rakyatnya. Hal ini adalah kerana pemenuhan terhadap ketiganya adalah termasuk masalah 'pemeliharaan urusan umat' (ri'âyah asy-syu'ûnil ummah) dan merupakan kemaslahatan hidup setiap orang. Oleh itu, setiap warganegara tidak perlu membayar satu sen pun untuk ketiga-tiga hak asas tersebut. Dengan perlaksanaan tanggungjawab ini oleh negara, maka jika ada pun warganegara yang berpendapatan rendah, hal ini sudah tidak membebankan mereka lagi.

3-Negara wajib mengagihkan segala hasil dari kekayaan alam kepada warganegara.

Semua kekayaan alam yang sifatnya 'tidak terbatas' seperti minyak, gas, emas dan sebagainya adalah menjadi hak milik umum (milkiah al-'ammah) dan haram bagi pemerintah atau mana-mana syarikat/individu menguasai dan mengambil keuntungan darinya. Negara boleh menyelenggarakan hal ini secara sendiri atau melantik mana-mana syarikat untuk berbuat demikian dan setelah ditolak segala kos yang bersangkutan, maka segala keuntungan wajib diagihkan kepada setiap individu warganegara. Abyadh bin Hamal meriwayatkan, "Bahawa dia telah meminta kepada Rasulullah untuk mengelola galian berupa garam yang terdapat di daerah Ma'rab. Setelah dia pergi ada seseorang bertanya, Wahai Rasulullah, tahukah engkau apa yang telah engkau berikan kepadanya? Sesungguhnya engkau telah memberikan kepadanya sesuatu yang bagaikan air mengalir'. Rasulullah kemudian bersabda, 'Tariklah balik galian tersebut darinya" [HR Abu Daud]. Perkataan Rasulullah "umpama air yang mengalir" merujuk kepada sifat galian tersebut yang tidak putus-putus keadaannya (tidak terbatas) [Politik Ekonomi Islam, Abdul Rahman al-Maliki].

Bayangkanlah wahai kaum Muslimin, jika pemerintah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana yang Allah perintahkan, memberikan hak kepada yang berhak, mengagihkan segala hasil kekayaan alam kepada setiap warganegara, maka sudah tentu persoalan gaji rendah tidak akan menjadi masalah kepada umat. Setiap warganegara akan dipelihara dan dijaga. Umat manusia benar-benar akan hidup di dalam keadaan sejahtera.

4-Negara harus menangani pekerja dan majikan/pengusaha secara adil.

Hubungan majikan-pekerja di dalam pandangan Islam adalah suatu hubungan kontrak yang harusnya saling menguntungkan. Tidak boleh satu pihak menzalimi dan merasa dizalimi oleh pihak lainnya. Oleh kerana itu, kontrak kerja antara pengusaha dan pekerja adalah satu kontrak pekerjaan yang halal dan saling menguntungkan. Majikan untung kerana ia memperoleh jasa dari pekerja untuk melaksanakan pekerjaan tertentu yang diperlukannya. Sebaliknya, pekerja untung kerana ia memperoleh hasil (gaji/upah) sebagai imbalan majikan kepadanya. Agar hubungan ini dapat berjalan dengan baik dan semua pihak yang terlibat saling mendapat keuntungan, maka Islam mengaturnya secara jelas dan rinci dengan hukum-hukum yang berhubungan dengan ijârah. Pengaturan tersebut mencakup penetapan ketentuan-ketentuan Islam dalam kontrak kerja antara majikan dan pekerja; penetapan ketentuan yang mengatur penyelesaian perselisihan yang terjadi antara pengusaha dan pekerja; termasuk ketentuan yang mengatur bagaimana cara mengatasi tindakan kezaliman yang dilakukan salah satu pihak (pengusaha dan pekerja) terhadap pihak lainnya. Negara bertanggungjawab memastikan semua aspek ini berjalan dalam suasana yang adil.

Inilah jawapan Islam kepada masalah gaji rendah yang tidak sepatutnya berlaku jika hukum Allah diterapkan. Yakinlah wahai kaum Muslimin, selagi hukum Allah tidak dilaksanakan secara kaffah (sepenuhnya) , selagi itulah kita akan mendengar keluh kesah insan yang malang dan tertindas oleh sistem kapitalisme. Penderitaan mereka bertambah pilu dan sayu apatah lagi setiap kali menjelang Aidil Fitri, memandangkan banyak keperluan yang perlu dipenuhi. Walhal Islam sebagai agama yang sempurna tidak pernah mengabaikan golongan ini. Bagi yang benar-benar menderita, maka Allah memerintahkan zakat fitrah diberi kepada mereka untuk mengurangkan beban dan memberi kegembiraan kepada mereka di dalam menyambut Hari Kebesaran Islam ini.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Kesyukuran kita dalam menjalankan ibadah puasa ini seharusnya menimbulkan kesedaran bahawa satu-satunya sistem kehidupan yang layak bagi kita sebagai umat Islam, ialah sistem Islam. Sesungguhnya menerapkan sistem Islam dan mencabut akar-akar Kapitalisme yang mendominasi kehidupan kita hari ini adalah merupakan suatu kewajiban yang sangat dituntut oleh Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, "...dan barangsiapa berhukum dengan apa yang tidak diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim..." [TMQ al-Ma’idah (5):45]. Ayat yang mulia ini menjelaskan bahawa tidak menerapkan hukum Allah adalah merupakan suatu kezaliman. Justeru itu, mengubah kezaliman kepada rahmat melalui penerapan semula sistem Islam adalah suatu kefardhuan ke atas seluruh umat Islam!

Wahai kaum Muslimin! Sebagaimana seruan mulia kami di permulaan nasyrah, kami juga ingin mengakhiri nasyrah ini dengan seruan mulia ke atas kalian. Kami menyeru kepada kalian untuk kembali kepada fitrah yang di atasnya kalian dicipta. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah meniupkan ruh (ciptaan)Nya kepada kita semua dan dengan ruh itu kita hidup. Dan Allah mengingatkan kita bahawa tujuan kita dihidupkan adalah untuk menyembahNya. Penyembahan kepada Allah hanya sempurna bilamana kita tunduk dan patuh kepada segala perintah dan laranganNya. Justeru kami menyeru agar kalian berusaha bersama-sama kami untuk mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan Khilafah 'ala minhaj nubuwwah. Hanya dengan jalan ini sahajalah kita akan mengecapi segala keindahan hidup di dalam suasana yang penuh keimanan hasil dari penerapan sistem yang datang dari Zat Yang Maha Sempurna. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang menolong agamaNya dan semoga kita tergolong di dalamnya.

Amin ya Rabbal 'alamin.

Tiada ulasan: