Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 26 November 2006

ISLAM MENGHALANG KEMAJUAN ???

Oleh PROF. DR. SIDEK BABA

Ada orang berpendapat bahawa untuk maju seperti orang Barat, agama jangan dibawa serta. Banyak dari ajaran agama menghalang proses kemajuan. Dari sudut ilmu, ada yang berpendapat bahawa agama sesuatu yang tidak rasional.

Agama dikaitkan dengan dogma. Sehingga seorang pemikir Barat bernama Derrida menyebutkan 'Tuhan sudah mati'.

Golongan ini berpendapat bahawa akal adalah segala-galanya. Kaedah saintifik adalah kaedah yang selari dengan akal yang berasaskan logik dan rasional. Kaedah agama dikatakan tidak logik dan tidak rasional. Oleh itu menjadikan agama sebagai pedoman hidup dikatakan tidak saintifik.

Untuk maju, sains adalah jawapan. Minda atau akal adalah segala-gala. Yang penting ialah data dan fakta. Sesuatu yang ghaib dianggap tidak berasaskan data dan fakta. Oleh itu kemajuan yang harus didukung ialah kemajuan yang berasaskan sains.

Islam sebenarnya tidak menolak kepentingan akal dan sains. Akal dan sains tidaklah segala-gala. Menjadikan faktor sains dan akal semata-mata sebagai ukuran maju dan membangun tidak senafas dengan makna Islam itu sendiri.
Sejarah tamadun Islam menunjukkan sains berkembang dengan subur. Tetapi sains yang didukung oleh nilai Rabbani dan etika yang tinggi.


Akal adalah sesuatu yang amat diutamakan oleh Islam. Al-Quran menyebutkan pada banyak tempat tentang kepentingan akal. Akal membolehkan seseorang mengingat dan menghafaz, berfikir dan mempunyai daya ta'akulan. Al Quran menyebutkan ulul albab dan konsep tadabbur sebagai asas berfikir dan mengetahui. Tetapi pemikiran berasaskan akal tidak cukup untuk memahami diri, persekitaran, alam dan kehidupan apalagi perkara-perkara yang ghaib.

Allah memberikan kita pedoman al-Quran yang terkandung hikmah bagi memimpin akal supaya pemikiran terarah dan mendapat makna yang betul.

Sains mengikut perspektif Islam ialah ikhtiar manusia untuk mengetahui sesuatu sama ada alam, cakerawala, bumi, manusia dan kehidupan - supaya manusia mempunyai jawapan terhadap sesuatu itu. Tetapi tradisi sains Islam tidak saja mengkaji kewujudan sesuatu yang memerlukan kajian dan penelitian, tetapi di sebalik kewujudan sesuatu terdapat hikmah atau rahsia kewujudannya yang dikaitkan dengan pencipta iaitu Allah s.w.t.

Surah al-Alaq yang membawa maksud Iqra' atau baca membawa maksud yang amat luas. Membaca tidak hanya bermaksud menatap apa yang tersurat tetapi mengkaji apa yang tersirat. Al- Quran tidak sekadar dibaca untuk mendapatkan fadilat atau pahala tetapi ayat-ayat Allah terkandung pedoman untuk hidup dan gambaran tentang kehidupan manusia untuk dijadikan ibrah atau pedoman.

Lima ayat pertama surah itu memberikan kita asas tentang ilmu dan sains. Maksud alaqa iaitu darah beku itu selari dengan sains embriologi. Surah al-Mukminun, ayat 24, menyatakan darah beku terhasil dari air mani yang datangnya dari saripati tanah. Saripati tanah dalam erti kata yang luas terkandung bahan-bahan zat seperti kalsium, mineral, protein dan lain-lain dan ia wujud dalam buah-buahan, sayuran-sayuran yang tumbuh dan dimakan oleh manusia. Ia menjadi darah dan daging dan sebahagiannya air mani yang terkandung kromosom X dan Y. Asas saintifik ini tidak bercanggah dengan apa yang terdapat dalam al-Quran.

Asas nilai dan etika

Oleh itu, asas kemajuan saintifik dalam tradisi Islam berasaskan nilai-nilai murni dan juga etika yang baik. Sandaran nilai-nilai murni datangnya dari al-Quran dan sunah Nabi dan sandaran etika yang baik datangnya dari ajaran Islam yang menganjurkan amanah, keikhlasan, kejujuran, keadilan, bijaksana, sifat syukur dan lain-lain. Asas nilai dan etika yang dijadikan pedoman berfikir dan melakukan kajian saintifik akan membimbing manusia dekat kepada pencipta dan memanfaatkan rahmat dan nikmat Allah yang banyak untuk kesejahteraan manusia. Bukan melakukan monopoli atau eksploitasi yang menyebabkan manusia menderita.

Para remaja harus insaf bahawa umat Islam adalah umat yang bertamadun. Al-Quran dan As- sunah adalah sumber utama kepada pembinaan tamadun. Umat Islam yang bertamadun ialah yang menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan sunah Nabi sebagai sumber ikutan dalam akhlak dan tingkahlaku.

Sebahagian remaja Islam pada hari ini kagum tentang Barat sebagai sumber tamadun. Apa saja yang datang dari Barat dianggap maju. Sehingga terdapat di kalangan remaja lupa kepada agama dan tamadun yang dicetuskan oleh Islam. Malah terdapat remaja yang menolak tradisi dan budaya baik yang terdapat dalam peradaban bangsanya.

Islam tidak mengambil pendekatan menentang Barat semata-mata kerana ia Barat. Banyak manfaat yang boleh diperoleh di Barat yang berguna kepada umat Islam. Tetapi umat Islam yang menghayati agamanya, akan berasa tidak selesa dengan proses pemBaratan yang sedang berlaku.

Globalisasi yang sedang berjalan membawa maksud pemBaratan. Ukuran maju dan membangun di kalangan sesetengah remaja Islam ialah Barat, fahaman kebendaan, budaya berpoya-poya dan hiburan dan akhirnya terjebak dengan dadah, salah laku sosial dan maksiat.

Remaja harus faham bahawa kemajuan itu terletak kepada diri manusia. Diri manusia harus dibangunkan dengan kekuatan akhlak mulia supaya sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi, manusia dapat berperanan mengurus diri dan mengurus kehidupan dengan baik supaya manfaatnya memberi kebaikan kepada yang lain.

Terlibat dengan salahguna dadah, kegiatan mat rempit, pergaulan yang lepas bebas, ketagih hiburan yang melampau umpamanya bukanlah lambang maju dan membangun. Ia adalah lambang mundur dan kemusnahan. Islam mengajak remaja supaya berilmu dan berketerampilan. Dalam surah Az Zumar, ayat 9, Allah meletakkan kedudukan orang yang berilmu lebih tinggi berbanding orang yang tidak berilmu.

Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa tujuan kenabian ialah untuk menyempurnakan akhlak manusia. Ilmu dan akhlak adalah asas yang sangat penting untuk remaja maju dalam kehidupan dan perubahan.
Ilmu yang dipandu oleh nilai-nilai yang Qurani, akhlak yang dirujuk dari akhlak Nabi bakal memimpin remaja untuk memiliki kekuatan keilmuan dan contoh peribadi yang mampu memimpin remaja akhirnya ke jalan peradaban atau tamadun. Kemilau kemajuan hari ini yang banyak diwarnai dengan faham kebendaan dan nafsu-nafsi akan akhirnya menjebak remaja ke arah kerosakan dan kebinasaan.

Para remaja harus mempunyai tekad dan azam untuk maju berasaskan acuan kita sendiri. Remaja Islam tidak saja harus reflektif terhadap tamadun umat Islam yang amat bernilai pada masa yang lalu tetapi harus proaktif dengan faktor-faktor kemajuan semasa yang berlaku pada hari ini.

Memahami al-Quran secara ilmu, meneliti sirah dan sunah Nabi sebagai sumber contoh bakal memberikan jalan kepada remaja membina acuan tersebut.

Acuan sendiri tidak menolak kebaikan yang terdapat dari Barat dan Timur tetapi harus ada upaya yang kreatif membangunkan sumber ilmu, sains dan teknologi supaya ia tidak bertentangan dengan faktor maqasid syariah yang bakal memberikan pedoman dan batasan terhadap makna dan maksud kemajuan dan perubahan yang Islami.

Tiada ulasan: