Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 31 Disember 2006

SADDAM DIGANTUNG

Empat letupan gegar dua kawasan Syiah selepas hukuman

BAGHDAD: Bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein, digantung sampai mati pada fajar waktu Baghdad semalam, sambil memegang al-Quran dan enggan dipakaikan kain penutup kepala ketika menjalani hukuman.

Sami al-Askari, penasihat politik Perdana Menteri Iraq, Nouri al-Maliki, memberitahu agensi berita Associated Press, Saddam tidak memakai pakaian banduan sebaliknya tampil dengan jaket hitam, seluar, bertopi dan kasut.

Al-Askari berkata, Saddam meronta ketika pengawal membawanya keluar dari bilik tahanan tetapi beliau tenang ketika menjalani hukuman.

Sejurus sebelum hukuman dijalankan, topi Saddam diambil dan beliau ditanya sama ada mahu berkata sesuatu.

"Tidak, saya tidak mahu," kata Saddam seperti dipetik oleh al-Askari yang hadir pada sesi hukuman itu. Saddam kemudian berdoa bersama seorang ulama Sunnah yang dijemput menjadi saksi.

"Selepas itu, Saddam dibawa ke tempat hukuman dan enggan kepalanya ditutup. Sebelum tali dijerut di leher, Saddam menjerit: 'Allahuakbar. Negara ini akan menang dan Palestin milik Arab'.

"Kami dengar bunyi tengkuknya patah. Keadaan berlaku dengan cepat. Saddam terus mati,"
kata seorang saksi hukuman itu.

Saddam, 69, menjalani hukuman itu di bekas ibu pejabat perisikan tentera di kawasan penduduk Syiah di Kazimiyah, lokasi makam paling suci Syiah bagi Imam Kazim.

Beberapa jam selepas hukuman, empat letupan bom kereta melanda dua kawasan Syiah menyebabkan 61 maut.

Al-Askari juga berkata, Kerajaan Iraq belum memutuskan langkah selanjutnya berhubung mayat Saddam tetapi ada pegawai mengakui ia mungkin akan diserahkan kepada keluarga bekas pemimpin itu.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Iraq, Mouwafak al-Rubaie, pula memberitahu stesen televisyen rasmi Iraqiya: "Kami mahu menjalankan hukuman mati ke atasnya pada hari istimewa."

Gambar dan sesi hukuman terhadap Saddam itu juga turut dirakamkan menerusi video, katanya.

"Beliau tidak meminta apa-apa. Beliau memegang al-Quran dan memberitahu bahawa dia mahu kitab itu diberi kepada seseorang yang bernama Bander," kata al-Rubaie yang mengakui tidak tahu siapa lelaki berkenaan.

Stesen Iraqiya pada awalnya melaporkan adik tiri Saddam, Barzan Ibrahim dan bekas Ketua Hakim Mahkamah Revolusi, Awad Hamed al-Bandar, turut dihukum gantung tetapi pegawai kemudian memberitahu hanya Saddam yang menjalani hukuman.

Hukuman terhadap Saddam dilakukan 56 hari selepas mahkamah mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman mati atas pembunuhan 148 penduduk Syiah di Dujail pada 1982.

Mahkamah tertinggi Iraq menolak rayuan Saddam pada Isnin lalu dan mengarahkannya dihukum mati dalam tempoh 30 hari.

Jumaat lalu, seorang hakim Amerika enggan melarang hukuman mati dilaksanakan ke atas Saddam selepas peguam bela cuba mencabar kewajaran hukuman itu pada saat terakhir.

Hukuman mati ke atas Saddam juga dilakukan pada permulaan sambutan Aidiladha, menandakan tamatnya ibadat Haji di Makkah yang biasanya disambut dengan melakukan korban.

Di kawasan penduduk Syiah di Kota Sadr, Baghdad, ada penduduk menari di jalan raya, manakala yang lain melepaskan tembakan ke udara menyambut kematian Saddam.

Tiada ulasan: