oleh : Ybhg Tuan Guru Haji Hadi Awang (Presiden PAS)
Firmanullah SWT: "(dengan yang demikian), maka Fir'aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka."
MUKADDIMAH
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap, Ashab Al Fadhilah Yang Amat Berhormat Dato’ Mursyidul 'Am dan Ahli-Ahli Majlis Syura Ulama, Yang Di hormati Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat, Yang Berhormat Dato’ Setia-Usaha Agung,Yang Dihormati Bendahari PAS Pusat, Al Fadhil Ketua Penerangan, Yang Dihormati Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Ahli- Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Negeri dan Wilayah Persekutuan, Pengarah Nisa dan ahlinya, Pengerusi dan ahli Kelab-kelab penyokong PAS, sahabat daripada Pimpinan PKR, para tetamu daripada sahabat-sahabat seperjuangan di luar negara, daripada pimpinan NGO, Kedutaan Luar, para perwakilan seluruh negara, para pemerhati, Muslimin dan Muslimat yang dikasehi sekelian .
Pertamanya saya mengalu-ngalukan semua para hadirin dan hadirat dengan ucapan Selamat Datang – Ahlan Washlan wa Marhaban Bikum dan ribuan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan kepada semua para perwakilan. Kita bermu'tamar kali ini dalam situasi gawat yang dialami dunia antarabangsa dalam bentuk pencemaran dan pemanasan global yang mengancam seluruh penghuni dunia dan konflik ketenteraan yang menekan negara-bangsa khususnya dalam Alam Islami. Gerakan Islam seperti PAS terus berdepan pelbagai cabaran mehnah dan fitnah yang bertubi-tubi oleh musuh yang hasad dan cemburu terhadap kebangkitan semula Islam serta terbongkarnya kebatilan mereka .
PAS terus memilih ‘Muwajahah Silmiyyah’ (Persaingan Aman) melalui amalan demokrasi, menjadi cara bagi mencapai cita-cita menegakkan keadilan mutlak untuk seluruh rakyat. PAS juga berusaha gigih mentakrifkan penyelesaian Islam terhadap situasi kemungkaran dan penyelewengan yang mengepung serta menekan rakyat dan ancaman kelahiran gejala negatif, hasil kecelaruan politik yang membuahkan rasuah, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa serta wujudnya undang-undang yang melindungi perkosaan kuasa.
Pengendalian ekonomi ala-Qarun yang membejat kemungkaran kerana muamalat tanpa batas sempadan akhlaq dan moral yang kukuh dengan cara membolot kekayaan berkisar di kalangan golongan tertentu sahaja. Pembangunan manusia yang diwarwarkan dengan slogan ‘modal insan’ pula masih menggunakan acuan dan model falsafah pendidikan penjajah dalam bentuk baru, masih gagal membina insan graduan berilmu serta berakhlak luhur. Sebaliknya melahirkan peserta pusat serenti berlipat ganda secara percuma dan seolah-olah bersaing dengan pelajar yang berjaya di institusi pengajian. Pelajar yang lulus dari pengajian tinggi ini pula akan di bebankan keatas mereka atau keluarga mereka dengan hutang-hutang PTPTN yang berunsurkan riba.
Mereka juga dikongkong undang-undang dan peraturan yang menyekat pertumbuhan minda. Kegagalan menangani jenayah menyumbang kepada pertambahan jumlah banduan di penjara. Institusi keluarga pula menjadi rapuh oleh sistem pendidikan yang lemah dan tarbiyah media yang masuk ke dalam isi rumah tanpa batas dan kawalan yang betul. Nasib rakyat di semua peringkat, para pegawai, pekerja, petani, nelayan, peneroka bandar bahkan seluruh rakyat dibelenggu oleh berhala Madiyyah (Kebendaan) dan kelemahan sistem ekonomi yang sarat dengan amalan kronisme, nepotisme, penipuan, riba dan rasuah, tanpa memikirkan dosa dan pahala serta memberi keadilan untuk semua.
Kini wujud pula unsur-unsur Kapitalisme Neo-Liberal, jelmaan baru dalam bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau US-FTA yang memeras-ugut serta menakluki semula negara-negara dunia ketiga dan membangun. Segala aspek kehidupan dipengaruhi permainan politik yang mahu mengekalkan kuasa secara mutlak dengan menodai adab-adab dan lunas-lunas demokrasi berkhadamkan nafsu yang ingin berkuasa selama-lamanya. Badan Kehakiman, Badan Pencegah Rasuah, Suruhanjaya Pilihanraya dan seluruh pemantau keadilan ditutup ketelusannya oleh kuasa politik yang mempertahankan kedudukan tanpa batas. Rakyat pula kebingungan diperbodohkan oleh kemiskinan ilmu yang bermanfa'at dan tanpa maklumat yang telus dan adil. Allah SWT memberi contoh paling munasabah, di zaman Fir'aun yang hebat Tamaddun Madiyyahnya, tetapi membawa kecelakaan kepada negara dan penderitaan kepada rakyat .
Firman Allah: "51. Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini, akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (arahan) ku? tidakkah kamu melihatnya?", 52. "Bahkan, bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini (Nabi Musa A.S,), dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?", 53. "(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin berkuasa dan kaya raya), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi mengenai kebenarannya)?", 54. "(dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.", 55. "Setelah mereka menyebabkan kemurkaan Kami (dengan perbuatan derhaka itu), Kami menyeksa mereka, iaitu menenggelamkan mereka semuanya di laut (sehingga binasa).", 56. "Maka Kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian."
• Berpaksikan penegasan yang didedahkan oleh ayat Allah SWT ini mengenai sifat kuku-besi sebuah kerajaan yang memeras-ugut rakyat serta membodohkan mereka.
• Berlatarbelakangkan segala krisis yang hampir sempurna di negara kini, maka tema yang wajar diangkat dalam Muktamar ke-53 dan di ambang Pilihanraya ke-12 ini ialah 'Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan'.
PAS MEMILIH PENDEKATAN DEMOKRASI
PAS adalah Parti Islam yang memilih pendekatan Demokrasi. Walaupun demokrasi itu ciptaan manusia, tetapi kelahirannya adalah fitrah menentang kezaliman sejak dulu kala, ia juga adalah kebijaksanaan yang wajib dipungut oleh umat Islam dengan reformasi mengislahkan Demokrasi itu berpandukan Islam, kerana sabda Rasulullah S.A.W.: "Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir yang mesti dipungut oleh seorang yang beriman di mana sahaja dia mendapatinya , maka dia yang lebih berhak memililkinya".
Petunjuk Allah dalam Kitab dan Sunnah Rasulnya (SAW) tetap menjadi panduan yang meletakkan sempadan kebebasan kebijaksanaan akal manusia yang tidak dikongkong peranannya untuk berijtihad dalam perkara yang diizinkan. Di sinilah perbezaan Islam dengan ideologi ciptaan manusia .
Semua negara yang mengamalkan ideologi ciptaan manusia kembali kepada demokrasi, sama ada negara Blok Barat mahu pun bekas negara komunis juga berubah kepada demokrasi dan melakukan perubahan dan pembaharuan yang mengatasi kelemahannya untuk mempertahankan hak rakyat apabila terdedah serta terbongkar perkara negatif. Perubahan berlaku dengan kesedaran pemimpin yang insaf, atau kebangkitan rakyat sendiri yang diasuh oleh sistem pendidikan yang baik atau kebebasan media yang membuka minda .
Demokrasi Terus Dicabuli Dan Dibuli
Hadirin dan Hadirat yang dihormati.
Senario politik negara kita mundur ke kebelakang menghakis demokrasi, bukan sahaja oleh cara pilihanraya yang tidak adil, secara penipuan dan pencabulan yang sangat canggih dan seni, dicengkam pula dengan undang-undang yang nyata mencabuli kebebasan rakyat dan menyelamatkan kezaliman, saperti ISA, OSA, Akta Polis, AUKU terhadap pelajar dan pensyarah. Akta yang mencengkam media, menakutkan semua lapisan rakyat, seperti memaksa pegawai kerajaan berikrar dengan 'Akujanji' supaya ta'at secara mutlak seperti menta'ati Allah bahkan mengatasi perintah Allah .
Hadirin dan Hadirat yang dihormati sekelian,
PAS tetap tidak lupa tindakan kerajaan BN yang tidak Demokratik terhadap kemenangan PAS di Kelantan, di Terengganu dan layanan tidak adil terhadap wakil wakil rakyatnya yang menang dengan perjuangan gigih walaupun terpaksa mengatasi penyelewengan Demokrasi, namun tidak dihormati kemenangannya dengan berbagai cara yang zalim, saperti perisytiharan darurat secara lakunan di Kelantan tahun 1978 semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan negeri di masa itu juga menjatuhkan kerjaan Terengganu 1961 secara kotor. Kerajaan Pusat BN juga tidak menghormati kemenangan PAS di Kelantan kali kedua bermula tahun 1990 dengan menafikan beberapa hak kerajaan negeri dan memulaukannya dalam banyak perkara . Kemenangan PAS 1999 di Terengganu pula tidak dihormati dengan merompak royalti petroleum serta mengekang kelancaran pentadbiran kerajaan negeri dengan pelbagai cara birokrasi Kerajaan Pusat.
PILIHANRAYA SARAT DENGAN PENIPUAN DAN PENYELEWENGAN
Perjalanan PRU 11 tahun 2004 adalah secara lebih kotor daripada sebelumnya, menafikan hak wakil rakyat pembangkang yang menang di kawasan masing-masing secara kasar dan halus. Seterusnya BN menang besar dalam pilihanraya itu dengan dirancang secara tidak bermoral, bermula dengan persempadanan semula sehingga kedudukan Daftar Pemilih yang sangat dipertikaikan kebersihannya. Rakyat menyaksikan peratusan keluar mengundi hampir memecah rekod dunia. Ini didakwa pelbagai pihak sebagai barang pasti melibatkan kementerian dan jabatan tertentu termasuk SPR, Jabatan Pendaftaran Negara dan lain-lain, yang kini diketahui oleh umum dan Allah Maha Mengetahui. Contohnya, kajian mendapati bahawa wujud 128,000 pengundi di Selangor tidak mempunyai saluran mengundi, yang antara lainya telah menkucar-kacir suasana pada hari mengundi sehingga berlaku penambahan masa.
Kerajaan BN ini terus melakukan pelbagai cara penipuan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta melanggari Akta Kesalahan Pilihanraya dan Penjalanan Pilihanraya dalam semua Pilihananraya Kecil bermula di Pengkalan Pasir, Batu Talam, Machap dan paling mutakhir pula memasukkan budaya samseng dalam pilihanraya kecil Ijuk. Jelas mereka tidak segan silu untuk mencabuli perlembagaan, keluhuran undang-undang serta prinsip dan konsep demokrasi tulin dan menjadikan pilihanraya di Malaysia satu lawak jenaka dan silap mata.
PAS telah berjaya mendidik ahlinya supaya cekal menghadapi ketewasan pilihanraya dengan cara yang tidak adil ini, dan bersabar lagi untuk menunggu pilihanraya sehingga beberapa tahun dan generasi, tetapi ingatlah, bahawa Islam dan maruah manusia secara naluri, mengharamkan kita terus dihina dengan zalim seperti ini.

PAS yang berpegang teguh kepada ajaran Islam tetap istiqamah memilih ‘Muwajahah Silmiyyah’ dengan akhlak yang diajar oleh Islam, dalam masa yang sama Islam mengajar kita menjadi umat yang bermaruah dan maruah adalah tinggi nilainya. Wajib menentang kezaliman, dan penyelewengan. Sabar memilih perdamaian ada batasnya, tetapi kita haram dihina dan menyerah kalah kepada mereka yang tidak menghormati cara yang benar dan adil.
SELAMATKAN DEMOKRASI
Salah satu dari 7 gabungan penentangan terhadap kebobrokan pentadbiran kerajaan Umno/BN dewasa ini ialah Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih atau singkatannya BERSIH. Gabungan ini menuntut agar kerajaan dan SPR khususnya menunaikan 3 reformasi penting yang wajib dilakukan sebelum PRU ke-12 ini. Tiga perkara tersebut ialah:
Pembersihan ‘Daftar Pemilih’ Penggunaan cap jari dengan dakwat kekal dan Penghapusan Undi Pos. Ini adalah reformasi yang di anggap penting dalam jangka waktu terdekat ini, sementara pemulihan demokrasi terhadap sistem “Perwakilan Berkadar” atau (PR) bagi menggantikan sistem usang ‘Pertama Melepasi Tiang’ dan ketelusan serta capaian media yang lebih adil dan perlaksanaan 'Kerajaan Sementara' atau 'Caretaker Government' yang ada disentuh sedikit dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan kemudahan awam akan terus diperjuangakan dalam fasa kedua.
Hadirin dan Hadirat yang dihormati .
Mangsa kezaliman penyalahgunaan Demokrasi bukan sahaja PAS, bahkan semua parti-parti pembangkang dan selepas itu seluruh rakyat pula menjadi mangsa tekanan hidup oleh penyelewengan pentadbiran yang dikongkong kepentingan politik BN, ekonomi yang melahirkan Qarun–Qarun yang bersekongkol bersama pemimpin-pemimpin yang dipelihara dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah Firman Allah :
"39. Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. dan Demi Sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) Yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah)."
Demikianlah Allah membawa contoh gabungan kalangan politik, pentadbir dan pemegang kuasa ekonomi yang melakukan fasad di-bumi Allah .
Hadirin dan hadirat yang dihormati sekelian,
PAS wajib memimpin rakyat untuk mempertahankan demokrasi dengan mempertahankan maruah harga diri manusia, tangan-tangan pencuri kuasa melalui jenama demokrasi hendaklah dihukum dengan adil. Islam meletakkan perjuangan menentang kerajaan yang zalim adalah Jihad Afdal. Kita jangan hanya menjadi penonton terhadap perjuangan rakyat secara fitrah bencikan kezaliman dan penyelewengan, dengan demokrasi dibaikpulih di-Filipina, Indonesia, Thailand, Nepal, Ukraine dan lain-lain. Adakah kita buta akal untuk memahami nasib kita sendiri di negara tercinta ini? Apalagi kepada ahli-ahli PAS yang percaya kepada wawasan hari akhirat yang kekal abadi. Pilih diantara hidup mulia, mati pun mulia atau hidup dengan kehinaan dan matinya lebih hina. Mari Selamatkan Demokrasi serta berjuang Menegakkan Keadilan bagi menjaga martabat insan yang merdeka, agar kita juga mampu menawarkan manusia bagi memakmurkan bumi ini dengan peraturan hidup Islam dan nilai-nilai sejagat. Haram menyerah kalah kepada kezaliman dan penipuan!
EKONOMI TEMPANG PENUH KEBEJATAN RASUAH
Bermula dengan pelbagai janji manis sebelum memasukki PRU ke-11 yang lalu untuk membenteras rasuah dan membela kesejahteraan rakyat awam, Perdana Menteri yang baru diangkat itu lalu membuat penangkapan se awal bulan Februari 2004, ke atas seorang tokoh korporat dan seorang menteri pusat atas tuduhan rasuah berjuta ringgit. Beliau juga melancarkan Pelan Integriti Nasional serta menubuhkan sebuah Institusi Integriti Nasional se awal bulan April, 2004.
Malangnya ternyata hanya sekadar itu sahaja yang mampu beliau lakukan kerana lepas daripada itu beliau terlepas pandang atau mungkin juga tertidur dan hanya dikejutkan oleh Program Debat Perdana beberapa bulan yang lalu dalam awal tahun 2007, lalu terkial-kial semula untuk memberi fokas yang lebih serius tentang rasuah dan persoalan integriti dalam urusan korporat dan ekonomi negara.
Apa yang sangat mengaibkan bahawa beliau yang mashyur dengan penampilan Islam Hadharinya yang dijaja hampir di seluruh dunia, ialah pendedahan berterusan kebejatan rasuah yang semakin hari semakin parah dalam pentadbiran kerajaannya yang mengakibatkan pelbagai jenis ‘kebocoran’ dan ‘ketirisan’ yang mirip pemerintahan orde lama. Paling terkini ialah kebocoran di Parlimen yang baru sahaja dibaikki dengan harga berjumlah RM 90 juta. Terdahulu kebocoran di bangunan Jabatan Imigresen di Putrajaya dan Mahkamah kedua terbesar di dunia di Jalan Duta yang baru siap dengan kos pembinaan sebanyak RM 200 juta.
Ketika beliau bercakap tentang pembangunan modal insan dan usaha membenteras rasuah, PM ini dimalukan oleh pendedahan yang tidak putus-putus tentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Timbalannya dalam Kementerian Kesalamatan Dalam Negeri dan bekas orang nombor satu Badan Pencegah Rasuah. Turut mengaibkan beliau dalah dakwaan ke atas kedua-dua ketua negeri Sabah dan Sarawak membabitkan jutaan ringgit.
Dakwaan tentang komisyen pembelian kapal selam Scorpene dengan pembayaran RM 530 juta kepada sebuah syarikat yang bernama Perimekar Sdn Bhd yang juga melibatkan Kementerian Pertahanan terus mengahntui beliau dan kerajaan. Syarikat yang dimilikki penganalisis terkenal yang hari ini sedang dihadapkan ke mahkamah atas pembunuhan seorang warga Mongolia kembali menjadi sebutan umum. Kesemua ini adalah tandatanya yang perlu dijawab oleh kerajaan Islam Hadhari ini. Inilah yang ditakuti oleh pihak awam sebagai gejala yang menandakan negara diperintah oleh penyamun berpakaian kopiah dan tarbus, perompak negara yang menunjukkan lebainya dengan jenama Islam Hadari, laksana berserban tetapi berseluar pendek.
Inilah sebabnya mereka sanggup merasuah sesama sendiri dengan jutaan ringgit kerana menganggap mendapatkan kedudukan sebagai pelaburan. Mereka terpaksa tangguh pemilihan kali ini kerana takut ramai lagi yang tersingkir kerana rasuah tambahan di ambang PRU ke-12.
PEMBANGUNAN JANGAN PINGGIRKAN RAKYAT
Dalam pada itu tenggelam agenda pembangunan dan RMK 9, memberi laluan kepada projek-projek ‘mee-segera’ di Batu Talam, Machap dan mutakhir di Ijok kerana semua menteri dan kementerian mereka sibuk untuk memenangi hati pengundi yang terbiar selama kini. Kita suka mendengar projek-projek besar tentang Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) atau cakap-cakap tentang menghidupkan kembali MSC dan Bioteknologi serta Halal-Hub. Namun suka kita mengingatkan kerajaan, takut-takut ia menjadi seumpama gajah putih seperti dahulu dengan perbelanjaan besar terkorban sebagai projek pembinaan hartanah semata-mata, menguntungkan kroni-kroni orde baru yang menggantikan kroni orde lama.
Lebih kita khuatiri seperti yang diwawarkan juga oleh sesetengah pihak yang cemas dengan penaklukan WPI oleh pihak yang berkepentingan geo-politik, yang tidak semata-mata bisnes atau perniagaan. Juga jangan sampai kekayaan ini menjauhkan lagi jurang perbezaan kekayaan kerana Islam menekan persoalan keadilan agihan kekayaan negara sebagai satu prinsip penting dalam Ekonomi Islam.
Seperti kita tak sanggup terus disiksa dan dizalimi dengan sistem demokrasi dan pilihanraya yang tempang, PAS juga cemas dan rimas dengan penjualan aset strategik negara serta bagaimana dana awam dan rakyat terkorban dan dikorban dengan cara-cara yang curang seperti ini. Kita telah bangkitkan perkara-perkara ini dahulu seperti pergabungan ECM-Libra dengan Avenue Capital yang berlawanan dengan prinsip pengurusan korporat yang baik (good goverance) umpama kedai Pak Mat mengambil alih Konglomerat Besar yang memberikan kesan negatif kepada persepsi pasaran pelaburan.
Kita juga mahukan kegiatan ’bailout’ besar-besaran seperti yang didedahkan oleh pihak Audit Negara baru baru ini yang menelan RM 11 bilion tidak menjadi amalan biasa untuk menyelamatkan kroni tertentu tetapi dibuat dengan segala pertanggungjawaban kepada rakyat dan negara, sementara rakyat didera kerana kononya kerajaan tidak punya dana. Janganlah diulangi kesilapan, dosa dan jenayah lama ini berulang kali.
NEGARA BERKEBAJIKAN
Hadirin dan Hadirat yang di kasihi!
Khazanah negara kurniaan Allah ini, seolah-olah bukan lagi amanah yang wajib ditunaikan, tetapi untuk menjadi umpan memancing rakyat, hanya sedikit kuah melilih untuk rakyat bawahan. Amat ketara mutakhir ini fenomena melakukan ‘pembangunan mee-segera’ yang dipacu sekiranya wujud pilihanraya umum dan pilihanraya kecil atau menunggu musim pilihanraya hampir setiap lima tahun atau menunggu pilihanraya kecil apabila matinya wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Kenaikan bertalu-talu harga barang–barang keperluan menjadi perkara biasa sehingga membebalkan dan membebankan rakyat, bayaran tol yang meningkat menandakan lebuh raya bertukar daripada kemudahan awam menjadi peluang untuk diambil kesempatan. Kenaikan harga minyak di pasaran antarabangsa serta keuntungannya, sepatutnya menjadi peluang membantu rakyat daripada keuntungannya seperti yang dilakukan oleh negara pengeluar minyak. Malangnya di negara ini, ia bertukar menjadi bala bencana berantai yang menghukum rakyat kerana memilih kerajaan secara pilihanraya penipuan dan pencabulan. Kemiskinan tidak diatasi secara perencanaan untuk mengurangkan bebanan, sebaliknya menjadi peluang kepada politik rasuah .
Kerajaan yang lahir secara rasuah adalah mustahil dapat mengatasi masalah rasuah dan membina negara berkebajikan. Apabila menghadapi masalah ekonomi, caranya ialah menaikkan cukai atau menaikkan harga barangan, atau memboroskan khazanah negara untuk memberi peluang kepada pemimpin dan kroninya atau menambah hutang Negara atau memaksa rakyat menanggung bayaran dalam perkara keperluan hidup seperti kesihatan dan pendidikkan. Semuanya adalah dalil-dalil bahawa kerajaan BN tidak mampu mengendali dan mengurus sumber negara dengan baik .
Adapun rakyat, saperti Pekerja Awam, Tentera, Polis dan lain-lain menjadi mangsa umpan pilihanraya dengan kenaikan gaji, dan bayaran-bayaran yang tidak seimbang dengan perbelanjaan harian yang ditekan oleh kenaikan harga barangan, tol, tarif elektrik dan air serta kos kehidupan seharian. Walaupun kenaikan gaji terbaru dianggap satu keputusan baik yang sepatutnya telah dilaksanakan lebih awal terdahulu dari kenaikan bahan bakar sedikit waktu lalu, kadar inflasi hari ini tidak mengizinkan kenaikan gaji ini dikecapi oleh mereka kerana ditelan kenaikan kos saraan hidup. Persoalan lebih penting dipandang PAS ialah bagaimana dengan pihak yang tidak mendapat kenaikan gaji seperti kaum petani, nelayan dan kaum buruh yang lain yang juga tertekan dengan kenaikan kos kehidupan?
KELANTAN MENUNAIKAN TUNTUTAN NEGARA BERKEBAJIKAN
PAS dan rakan BA berjanji akan menunaikan amanah untuk menghapuskan segala kemungkaran yang mencengkam kehidupan rakyat sebaik sahaja diberi amanah dengan menumbangkan pengkhianat negara dan rakyat itu, janji kita bukannya untuk musim pilihanraya sahaja, tetapi melaksanakan hukum wajib memerangi dan bertindak tegas dan adil dalam menangani segala penyelewengan tersebut.
Sebahagian daripada kewajipan itu telah ditunaikan oleh kerajaan negeri yang kita kuasai di Kelantan dan dalam masa empat tahun pemeritahan kita di Terengganu, mengikut bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad. PAS bukan sahaja telah berjaya memimpin kerajaan negeri yang bersih daripada penyelewengan di Kelantan dan pernah di Terengganu, bahkan berjaya mentadbir negeri tersebut dalam kepungan kezaliman yang bercanggah dengan perlembagaan negara, undang-undang dan prinsip demokrasi .
Dalam batas-batas kemampuan, kerajaan yang diterajui PAS di negeri Kelantan telah melaksanakan tuntutan untuk menzahirkan bagaimana sebuah kerajaan berkebajikan mampu membantu rakyatnya khasnya mereka yang terpinggir dari arus perdana pembangunan. Program bantuan kepada golongan ibu tunggal - Armalah, program insuran Al-Kifalah untuk warga emas, program rumah untuk kaum miskin - Rumah Dhuafaat dan penekanan aspek pendidikan sebagai kaedah yang paling berkesan untuk mengeluarkan sesebuah keluarga dari perangkap kemiskinan terus diberi keutamaan.
PAS dan BA berjanji akan melaksanakan ketetapan gaji minima yang boleh menampung kehidupan rakyat oleh kementerian dan jabatan-jabatan serta agensi kerajaan dan terhadap pihak lain secara menasabah. Menetapkan elaun khas kepada tanggungan keluarga yang bertambah.
Tegasnya melaksanakan sistem Negara Berkebajikan yang memberi pendidikan, rawatan perubatan dan beberapa khidmat percuma oleh kerajaan kepada rakyat. Kini terbit satu lagi pakatan yang diberi nama “Gabungan Menentang Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) bagi mendesak kerajaan supaya tidak menswastakan perkhidmatan kesihatan di negara ini, yang akan membawa kepada satu lagi penghapusan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat sekaligus memberi ruang kepada pihak swasta mendapat keuntungan bisnes dan konsesi kepada kroni. Bukan sahaja PAS/BA mahu tawarkan rakyat sebuah kerajaan yang memilikki kemampuan mengurus tadbir dengan baik dan berdaya saing, kita juga dalam waktu yang sama akan meneruskan penekanan pengawasan perkembangan kemajuan ekonomi rakyat serta menghapuskan amalan membazir dan rasuah dalam pengurusan segala projek yang dilaksanakan. Penghayatan integriti inilah yang telah hilang dan pupus dari kerajaan ini.
PENDIDIKAN DAN MODAL INSAN YANG SEMAKIN CELARU
Hadirin dan Hadirat yang dihurmati sekelian,
Umno adalah warisan penjajah untuk meneruskan dasar menghakis kejatian diri umat Islam di negara ini secara halus. Moto perjuangan Umno ialah membela bangsa, agama dan negara. Namun dasar-dasar dan tindakannya membawa kesan sebaliknya, membahayakan umat Islam, kerana melahirkan pengkhianat agama, bangsa dan negara .
Sistem pendidikan yang dilaksanakan sebaik sahaja negara mencapai kemerdekaan, gagal membangun insan sejati mengikut acuan penciptanya, ia-itu Allah S.W.T. Apa yang diwarwarkan oleh pemimpin Umno dengan slogan baru, ‘Modal Insan’, tanpa pembangunan insan mengikut acuan Allah, kerana manhaj ketetapan Allah dirobekkan mengikut selera pemimpimnya yang mengekspolitasi penggunaan perkataan Islam .
Allah SWT telah menetapkan acuan pembangunan insan untuk tujuan mereka diciptakan supaya beribadah, berkhilafah dan menunaikan amanah, hendaklah berasaskan firman Allah:
"Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, malainkan mereka yang beriman, mengerjakan amal soleh dan berpesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran".
Bertemakan Iman, Amal Soleh dan berani serta sabar menegakkan kebenaran. Ditafsirkan oleh Rasulullah S.A.W. dengan Iman, Islam dan Ihsan atau Aqidah, Syari'ah dan Akhlak.
Acuan yang meletakkan peranan manusia di alam dunia yang menjadi jambatan kebahagiaannya yang bersambung dengan kebahagian alam akhirat. Alam dunia yang berwawasan akhirat .
Umno membina jambatan kebahagiaan dunia yang di pisahkan dengan kebahagian di alam akhirat. Hasil modal insan mengikut acuannya melahirkan gejala murtad, meninggalkan Islam, menolak Syari'at Allah dan Akhlak Islam, berlakunya rasuah, menipu, jenayah dan berbagai jenis ma'siat, laksana banjir yang menghanyutkan.
Bayangkan bagaimana buku teks sains sekolah yang menjelaskan penciptaan alam oleh Tuhan dibuangnya perkataan ’Tuhan’ kerana desakan golongan anti-Tuhan.
PENDIDIKAN KONTRA-TAUHID, HASIL ISLAM BERPILIH-PILIH
Bukan sahaja Umno merosakkan Akidah Islam dan membawa falsafah pendidikan yang bersifat Kontra-Tauhid, tetapi ternyata prinsip utama Rukun Negara yang mereka sendiri kemukakan pun, hari ini telah mereka pinggirkan.
Slogan Islam Hadari yang jelas mengambil pendekatan Islam 'berpilih-pilih' adalah menjebak Islam ke dalam acuan sekularisma ala-Barat yang memisahkan agama daripada menjadi dasar dan petunjuk kepada urusan pentadbiran dunia. Melahirkan insan yang mengadap Allah ketika beribadah, adapun dalam urusan kehidupannya lupakan Allah, tanpa perhitungan dosa dan pahala. Maka ’Modal Insan’ laksana modal pinjaman yang telah menenggelamkan Bank Bumiputra yang melahirkan jutawan berhutang yang dilupuskan sekaligus melahirkan pelbagai jenis jenayah ’kolar putih’ golongan cerdik-pandai bijaksini tetapi tidak sebenarnya bijaksana, yang hanya diasah mindanya tetapi ketandusan pegangan agama, nilai akhlak serta arah hidup.
Setelah lumpuhnya tulisan jawi yang mengakibatkan kewujudan buta dan jahil agama, wujud pula dasar penggunaan Bahasa Inggeris, mengganti Bahasa Melayu, sepenuhnya sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran Matematik dan Sains, bermula tahun 2007 dalam sistem pendidikan negara, sehingga ke peringkat universiti.
Di zaman Nabi (S.A.W) Baginda hanya membenarkan segolongan kecil sahaja belajar bahasa Ibrani, bahasa orang Yahudi dan bahasa lain untuk menyampaikan Risalah Islam dan mengambil ilmu bermanfa'at daripada berbagai bangsa. Orang Islam merantau ke seluruh dunia di masa itu mencari ilmu, sekembalinya mereka menyaring ilmu itu, membuang bahagian-bahagian yang bertentangan dengan prinsip Islam dan menulis kembali kedalam bahasa Arab untuk disebarkan kepada umum, selepas itu lahirnya Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam).
Semasa kegemilangan Tamadun Islam, benua Eropah berada dalam kegelapan (The Dark Ages). Bila mereka bertembung dengan tamadun Islam di Andalus (Sepanyol), orang-orang Eropah itu mengambil ilmu dari orang-orang Islam. Apabila kembali ke negeri masing-masing, mereka menterjemahkan ilmu itu kedalam bahasa ibunda , untuk disebarkan kepada kaum mereka. Bahasa Arab tidak digunakan menjadi bahasa pengantar di Eropah, walau pun Eropah lebih mundur dari negara Islam di masa itu .
Namun apabila ilmu itu di terjemahkan ke dalam bahasa ibunda dan mengajarnya, akhirnya Eropah maju dalam ilmu duniawinya. Beginilah juga yang dilakukan oleh German, Jepun dan China pada hari ini. Hasil kajian UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) mendapati bahawa manusia lebih senang dan berkesan belajar dalam bahasa ibunda. Maka kita tidak hairan, apabila kaum China Malaysia bermatian-matian untuk meneruskan pembelajaraan dalam bahasa Mandarin. Apa yang menghairankan, ialah Umno menipu bangsa sendiri supaya meninggalkan bahasanya.
PAS memandang serius langkah Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan rancangan penubuhan ’Sekolah Kluster’ seperti yang terkandung dalam Bab 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Ini kami takuti akan melahirkan gejala pendidikan elitist yang sekaligus akan meminggirkan sejumlah besar sekolah-sekolah dan pelajar-pelajar khususnya di luar bandar. Jurang capaian berkualiti ini perlu diperhatikan oleh kerajaan kerana mengikut statistik Kementerian Pelajaran sendiri wujud 794 buah sekolah kebangsaan tiada bekalan elektrik, 1555 buah sekolah tiada bekalan air dan 1084 buah sekolah tiada makmal komputer. Ini lebih bersifat dan mencerminkan negara dunia ketiga. Sementara kita menyokong usaha untuk melahirkan sekolah-sekolah yang bertaraf ’world-class’, adalah wajar untuk memenuhi hak pendemokrasian pendidikan bahawa jurang pendidikan ini segera ditangani. Sebuah kerajaan PAS/BA tidak akan mengizinkan fenomena 'jurang pendidikan' ini berlanjutan selama 50 tahun lamanya.
PERJUANGAN DAN TANGGUNG JAWAB DEWAN-DEWAN
DEWAN ULAMA
Para Ulama pewaris Islam yang wajib memikul amanah mempertahan dan menegakkannya, mereka adalah teras kepada PAS, mereka memikul amanah Islam dalam menghadapi cabaran kini, walaupun mereka juga menjadi sasaran musuh . Ada dikalangan mereka orang-orang yang telah ditawan pemikirannya, sehingga menjual agama dengan harga murah, lahir di kalangan mereka golongan saperti dinyatakan dalam firman Allah SWT:
"175. Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat. 176. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menjelerkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menjelerkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."
Maka lahirlah ungkapan 'Islam di Persimpangan', di antara kejahilan umat dan kelemahan ulama. Al HamduLillah, mereka yang seperti itu tidak sanggup bersama PAS. Namun ulama tetap menjadi sasaran musuh di seluruh dunia, mereka di-perlekehkan dengan pelbagai cara, melalui media elektronik, kenyataan dan tulisan. Namun merekalah orang yang mempertahankan Islam yang sempurna secara ilmu, iman, dan amal.
Perancangan melemahkan serta menghapuskan sekolah agama rakyat di seluruh dunia, menunjukkan betapa serangan terhadap golongan ulama untuk menghapuskan mereka bagi melumpuhkan Gerakan Islam. Islam akan tetap dipelihara oleh Allah SWT selagi dunia belum Qiamat dan kita bertanggungjawab mempertahankannya. Para ulama tidak boleh memandang ringan cabaran ini, mereka hendaklah bersedia secara peribadi dan jama'ah untuk menghadapinya. PAS telah menetapkan wujudnya Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama kerana maha pentingnya peranan golongan ulama bagi PAS.
Peranan para ulama dalam PAS hendaklah dimantapkan lagi, selaras dengan cabaran dalam Harakah Islamiyyah dan medan perjuangannya . Maka ulama hendaklah mendalami Fiqh Harakah, Fiqh Awlawiyat dan Fiqh Siyasah, bukan sahaja Fiqh Hukum yang telah ditulis dan disimpan di dalam pelbagai kitab. Mereka wajib menyuburkan ilmu di kalangan mereka sendiri agar dapat memahami setiap situasi, jangan berasa cukup dengan ilmu yang ada. Bukan sekadar Ilmu Islam , bahkan juga ilmu untuk menterjemahkan Islam itu dalam menghadapi Jahiliyah dan Taghut yang tidak berubah prinsipnya, tetapi cara dan pendekatannya yang merosakkan dan menipu sentiasa berubah . Ini mesti difahami.
Maka para ulama tidak cukup dengan menangani masalah yang telah terjawab di dalam kitab turath di zaman masing-masing. Mereka juga hendaklah mengetahui sejarah zaman para ulama yang berijtihad di zaman itu, begitu juga wajib berijtihad dalam perkara baru muncul dan melengkapkan diri untuk memahami cabaran baru yang dihadapi oleh PAS dan umat seluruhnya. Ada ulama yang menutup pintu ijtihad di zaman mereka supaya Islam tidak menjadi permainan Ulama Al Suu' yang diperalatkan oleh Para Umara' zalim dan sesat di- sepanjang zaman, dalam masa yang sama tetap wujud para Ulama Mujaddidin yang mempertahankan Islam dan menyelsaikan masalah dengan Islam , berijtihad menyatakan hukum Islam terhadap setiap cabaran baru yang muncul dalam masyarakat .
Sejarah Tasyri' mengajar kita bahawa para ulama semua mazhab muktabar hanya berkhilaf dalam perkara cabang hukum Islam, kerana situasi berbeza, tempat, masa dan cabaran yang berlainan, hanya sedikit sahaja. Ini kerana perbezaan penafsirannya, itu pun dalam perkara yang diizin oleh ajaran Islam yang anjal. Dalam masa yang sama mereka berguru di antara satu sama lain dan bersatu di medan jihad dalam masyarakat Islam kerana menentang kerajaan zalim di-kalangan umat, dan musuh dari luar .
Para ulama di zaman itu mampu berijtihad bersama dengan meluasnya perkembangan Islam sehingga ke dalam masyarakat bukan Islam di-seluruh pelusuk dunia. Mereka yang mentarbiyah orang yang baru menganut Islam tidak perlu diubah pakaian dan adat bangsa masing-masing selagi tidak bercanggah dengan prinsip asas hukum Islam sehingga melahirkan ulama pula dikalangan bangsa itu. Dalam masa yang sama , mereka yang telah menganut Islam, berada dalam masyarakat bukan Islam, dengan kekuatan syakhsiah menjadi pendakwah yang berjaya .
Para ulama kita jangan sekali-kali saperti ulama upahan-jalanan yang bersekongkol dan hanyut bersama dengan arus jahiliyyah.
Para ulama PAS jangan terkeliru dalam membincangkan masalaah khilafiyah dengan meninggalkan masalah utama ummah.
Ulama PAS wajib membina kekuatan syakhsiah ilmu secara fardi dan jama'i untuk menguatkan parti dan memelihara perjalanannya dengan istiqamah.
Syabas kepada Dewan Ulama, yang mewujudkan saf ulama muda, bagi melangsungkan peranan yang berterusan, dalam bidang yang diamanahkan kepada mereka, agar golongan ulama pewaris Anbiya’ terus subur dan diperkasakan.
DEWAN PEMUDA
Dewan Pemuda adalah tonggak kekuatan PAS dalam arena perjuangan secara muwajahah yang banyak cabaran, dan pewaris kesinambungan perjuangan yang tidak akan tamat dan panjang wawasanya. Kita mahukan pemuda beriman, berilmu, berketrampilan dan kuat semangatnya:
"13. Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad S.A.W) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. 14. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan Yang Mencipta dan Mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah tuhan yang lain daripadaNya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Pemuda yang beriman, mendapat hidayah Allah, dan kuat semangat juangnya, berfikir panjang dan banyak kerjanya, bukan lagi bersembunyi dalam gua di-bukit-bukau atau menjadikan pejabat sebagai guanya, tetapi berada di medan, bangkit bila diseru untuk ke medan, proaktif dalam setiap situasi mendatang. Pemuda yang diadun kekuatan, kecergasan, kecermerlangan dengan kematangan orang-orang dewasa.
Pemuda pelajar yang wajib digerakkan kembali kelandasannya yang sebenar, pecahkan kepungan akta karut yang menjumudkan mereka di-kampus-kampus. Sedarkan Pemuda rempit dan lepak supaya bangkit bekerja, selamatkan mereka daripada suasana yang sengaja membelengui mereka yang diwujudkan oleh BN untuk memancing mereka dengan berbagai-bagai agenda kesenangan dan hiburan melekakan seterusnya menhancurkan masa depan mereka. Syabas kepada Dewan Pemuda , kerana gagah berani turun ke gelanggang dalam setiap situasi dan bencana yang menimpa masyarakat, samada bencana moral atau bencana alam.
Dewan Pemuda PAS yang telah aktif dengan kegiatannya, jangan merasa puas dengan apa yang telah ada dan telah dilakukan, jangan merasa sudah tahu segala-galanya. Wajib terus belajar, tarbiyyahkan diri, mempertingkat ketrampilan diri, kerana perjuangan masih panjang dan banyak cabaran.
Kewajipan Pemuda disamping turun medan, mereka juga hendaklah bertugas penuh yakin, mempertingkatkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman, bersemangat dan beristiqamah untuk mempertahankan Islam dan menegakkanya di zaman Islam dicabar begitu rupa, dalam masa yang sama, wajib menyelamatkan generasi mereka yang lemas dalam agenda BN yang merosakkan umat.
DEWAN MUSLIMAT
PAS sangat sedar kedudukan Muslimat dan tanggungjawab mengikut ketetapan Allah. Gerakan wanita di barat menunjukkan kepalsuan dalam perjuangan hak wanita mereka, kononnya untuk persamaan taraf tetapi mereka lupa hak yang adil dan tugas sebenar kepada kaum wanita dalam segala aspek. Sebenarnya Barat telah merendahkan martabat wanita hingga ke lembah kehinaan. Perkembangan Islam yang pesat di negara barat menunjukkan wanita lebih ramai daripada lelaki menganut Islam dan ia adalah jawapan balas paling tepat kepada isu wanita dijadikan hujah untuk menghina Islam.
Peristiwa penghinaan ahli-ahli Parlimen BN yang bukan sahaja cuba merendahkan ahli parlimen wanita DAP di parlimen dengan kata-kata tidak sopan dan tidak bertamadun bahkan menjelaskan sekaligus sikap negatif mereka terhadap kedudukan mertabat wanita itu sendiri. Ini adalah amat dikesali dan tidak sepatutnya berulang lagi. Muslimat telah bingkas bangun untuk menzahirkan penentangan mereka dan juga dalam hal-hal urusan yang lain yang menyinggung kepentingan wanita secara khususnya dan kemaslahatan rakyat dan negara umumnya.
Syabas juga di-ucapkan kepada Dewan Muslimat yang berjaya melahirkan Nisa', bukan hanya sekadar pelapisnya, bahkan jentera penting parti dalam menghadapi cabaran kini kepada Islam, khusus dalam aspek wanita, yang seringkali menjadi sasaran golongan yang anti-Islam. Kemampuan Nisa’ menarik beribu ahli dan penyokong muda dalam waktu yang singkat adalah cukup membanggakan kita semua. Kejayaan mereka menganjurkan Temasya Sukan Nisa’ Games di Kota Bharu di sini baru-baru ini juga mendapat liputan luas seluruh negara. Konvensyen Generasi 3 (Gen. 3) mereka mendapat sambutan remaja dan muda-mudi luar jangka.
PAS mahukan Dewan Muslimat mengarusperdanakan serta mendepani isu-isu wanita dan kekeluargaan merentasi batas kaum etnik dan agama. Majoriti bilangan wanita di pusat pengajian tinggi berbanding lelaki sudah cukup sebagai petanda bahawa peranan Muslimat dalam Harakah Islamiyyah di masa depan adalah lebih kritikal lagi dan amat penting dalam menjana kemenangan perjuangan.
PENGGEMBLENGAN SELURUH TENAGA MENDUKUNGI PERJUANGAN.
Saya ingin menegaskan kembali di sini mengenai peranan ulama dan golongan profesional serta aktivis parti yang saling memerlukan, saling lengkap melengkapi untuk keutuhan jamaah dan parti.
Dalam ucapan Dasar Muktamar PAS ke-47 (1422H/2001M), Al-Marhum Presiden Dato' Al-Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor RahimahulLah menegaskan antara rahsia kejayaan PAS ialah :"Penampilan imej Parti yang Islamik , berwibawa dan responsif yang diterajui oleh kepimpinan ulama dan digandingi golongan profesional-intelektual dan seluruh lapisan ahli Parti".
Almarhum Dato' Presiden menegaskan lagi dalam Ucapan Dasarnya Ke-48, tahun berikutnya :"Konsep Kepimpinan Ulama juga telah dapat menyatukan golongan ulama dan professional serta cendikiawan Muslim, sama ada dalam parti atau diluar parti. Ini sekaligus menghapuskan batas pemisah antara gulungan ulama dan cendikiawan Muslim. Ia membuka ruang dua gulungan ini mengadun ilmu dan pengalaman masing-masing untuk mencapai matlamat hingga dualisme yang memisahkan ilmu wahyu dan ilmu bukan wahyu dapat dirapatkan".
Ahi-ahli PAS mesti memahami betapa wujudnya dalam PAS disemua peringkat kepelbagaian tersebut adalah kejayaan yang besar kepada perjuangan kita yang telah dipelupuri oleh pejuang yang mendahului kita kejayaan mengadun kepelbagaian ini. Kejayaan kurnia Allah ini mengulangi kejayaan generasi awal umat ini ketika Islam diasak dan dipulau dari segenap penjuru, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Bermula Islam dalam keadaan Dagang, maka ia kembali semula (di-akhir zaman ) sebagaimana bermulanya, maka berjayalah orang orang yang dagang (Al-Ghuraba')"
Kemajuan dan kemenangan perjuangan kita selaras dengan tersebarnya kefahaman Islam yang sebenar. Justeru itu BN mengambil langkah membendung kebangkitan Islam. Mereka bersama agenda Barat yang bermusuh terhadap Islam dengan menonjolkan Islam baru, yang berkecamuk dengan unsur murtad, maksiat, tanpa amar maruf dan nahi munkar. Mereka membangun masjid tetapi dikepung dengan hiburan yang melekakan. Mereka memperkenalkan apa yang dinamakan sebagai projek ‘Building Moderate Muslim Networks’, dengan menggunakan golongan yang diberi nama ‘Secular Moslems’ atau Muslim sekular.
Golongan yang berpendidikan Barat di dalam PAS adalah mereka yang merdeka daripada penyakit sekularisme yang membarah ke dalam Umno. Mereka yang berpendidikan barat dalam PAS menjadi pemimpin bersama dengan kepimpinan ulama untuk menegakkan Islam. Adapun mereka yang berpendidikan agama dalam Umno hanya layak menjadi alat untuk iklan jenama agama yang tidak berfungsi untuk menjadi pemimpin yang memandu Umno kearah Islam.
Mari kita tentang usaha yang dilakukan oleh musuh ini bagi memisahkan ikatan yang telah kita jalin dengan teguh ini, demi menyelamatkan kesempurnaan Islam yang kita perjuangkan, dengan kesempurnaan latar belakang kepimpinan yang kita tegakkan .
Pihak luar tidak boleh menyamakan pertandingan dalam parti kita dengan mereka, kerana pertandingan dalam PAS tidak boleh disamakan dengan Umno. Politik wang adalah diharamkan dalam PAS. Etika Islam yang mentarbiyah ahli tidak boleh menonjolkan kepimpinan dengan lobi cara politik wang Umno sehingga Naib Presiden dan beberapa kepimpinan Bahagiannya ada yang dipecat kerana rasuah.
Pertandingan berlaku adalah untuk menempah pengorbanan dan berlumba merebut fadhilat, berslogankanÝÇÓÊÈÞæÇ ÇáÎíÑÇÊ (Belumba-lumba mengejar amal kebajikan), bukannya melamar pangkat dan projek. Allah menyelamatkan PAS kerana orang-orang yang bersifat Umno akan terjun atau diterjunkan daripada Bahtera kita. Ulama yang berotak sekular, atau propesional dan intlektual cari makan dan kedudukkan hanya layak berada dalam Umno, kita dibersihkan daripada anasir yang negatif ini, kerana mereka semua telah berada dalam Umno.
Setiap bulan kita menerima ahli-ahli baru, menunjukkan kemaraan parti berlainan dengan keputusan piliharaya yang tidak menentu oleh amalan Demokrasi yang penuh tipudaya dan penyelewengan. Kepesatan penerimaan ahli baru dan penyokong yang bertambah tidah boleh dipadamkan oleh berita keluar PAS yang menjadi amalan biasa Umno yang menguasai media untuk menunjukkan sekadar menjadi tanda besar hampirnya pilihanraya .
PERSAUDARAAN ISLAM DAN KEHARMONIAN UMAT MANUSIA
Kita mahukan PAS dan seluruh aktivis jamaah ini menunjukkan kematangan dan kewajaran kita dalam bertindak sesuai dengan akhlak yang dituntut Islam dan dihayati oleh RasulAllah (SAW). Samada mereka yang menganut agama Islam dalam erti dan tuntutan Persaudaraan Islam dan Kesatuan Berakidah dan juga sesama manusia dengan sikap dan tuntutan Allah SWT bahawa RasulAllah (saw) itu dibangkitkan sebagai 'Rahmatan lilLalamin' (Rahmat ke atas Seluruh Alam), dalam pengertian persaudaraan sesama manusia yang lebih luas bagi memakmurkan seluruh semesta alam ini dengan Keadilan Islam dan nilai-nilai sejagat.
Inilah yang meletakkan parti Islam ini, ditengah-tengah gelanggang politik nasional bahkan ditengah tengah gelanggang politik antarabangsa diperingkat global. Dalam kemelut konflik dan pertentangan antara Barat dan Islam, PAS tetap akan melakukan penglibatan atau ’engagement’ di peringkat yang lebih luas, samada sesama Gerakan Islam antarbangsa mahupun yang melibatkan ’engagement’ di antara Islam dan Barat, supaya PAS akan terus berperanan bagi menegaskan kedudukan Islam yang mahukan suasana dunia lebih aman, adil dan menyelamatkan maruah dan tamaddun manusia itu sendiri. Duta-duta asing dan semua pihak sivil dan rakyat awam termasuk masyarakat antarabangsa, tidak harus sangsi tentang keihklasan dan kesungguhan PAS dalam usaha mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan tamadun manusia sejagat. Justeru itu, PAS tidak takut bahkan bersedia untuk terlibat samada dalam apa jua bentuk kerjasama, persidangan, forum atau wacana antarabangsa mahupun serantau bagi mencari jalan jalan penyelesaian terhadap konflik yang sedang bergolak dirantau dan negara-negara Islam
PAS DALAM KEPRIHATINAN PERJUANGAN UMMAT ISLAM
Namun bagi PAS, suasana gawat yang sedang berlaku di bumi Irak menghendaki penjajah Amerika Syarikat agar segera keluar dari bumi Anbiya’ ini. Kembalikan hak rakyat Irak bagi menentukan masadepan politik dan kepimpinan mereka. Begitu juga dengan apa yang sedang berlaku di bumi suci Palestin. Pembunuhan serta pertumpahan darah sesama sendiri yang sedang berlaku sekarang ini hanya memenuhi keperluan rejim Zionis dan musuh-musuh Palestin. Seperti yang di tegaskan oleh pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Mashal, ’matlamat kita bukan menghala muncung senapang sesama sendiri tetapi untuk di halakan pada rejim Zionis bagi membebaskan bumi Palestin dan kiblat pertama kita Masjid Al-aqsa’.
PAS mahukan penegasan agar masyarakat antarabangsa lebih adil kepada kemelut yang terus berlaku di dunia Islam kini kerana campurtangan kuasa Barat; di Darfur Sudan, Somalia, Afghanistan, Chechenya. Jangan sekali-kali bercakap soal keadilan dan hak asasi sedangkan di waktu yang sama tidak pernah memberikan keadilan dan hak asasi kepada dunia Islam.
Dan jangan sekali-kali meletakkan darah dan nyawa umat Islam lebih murah dari haiwan binatang. Kita mahukan masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara Islam dalam OIC peka serta mengambil inisiatif politik untuk mendepani tekanan sekatan yang dibuat ke atas Iran oleh Majlis Keselamatan PBB. Iran terus bertegas bahawa projek pengkayaan uranium mereka itu adalah untuk membangunkan teknologi menjana tenaga alternatif. HUBUNGAN DENGAN KUMPULAN ISLAM PAS yang menjadi satu-satunya Parti Islam di negara tercinta ini untuk membawa wadah politik, diberi kepercayaan oleh pendukung Islam yang berorentasikan berbagai pedekatan dan nama, mewajibkan kita berukhuwwah dengan kumpulan Islam. Kita wajib memelihara adab ikhtilaf dikalangan pendukung Islam, sehingga saf ummat tidak digugat oleh perpecahan yang memberi kesempatan hanya kepada musuh Islam. Tegakkan ciri Parti Allah :
"54…Mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kufur terhadap Allah, mereka berjuang Dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi meliputi pengetahuanNya. 55. Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang Yang beriman, Yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). 56. Dan sesiapa Yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana Sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada ugama) Allah, itulah Yang tetap menang."
KELAB PENYOKONG PAS - TUNTUTAN MERENTASI BATASAN KAUM.
Dalam menghadapi cabaran terkini, Islam menjadi sasaran khusus dengan fitnah mencacatkan wajahnya di kalangan golongan bukan Islam. Kita telah berjaya melakukan anjakan paradigma sekaligus memecah tembok pemisahan, apabila berjaya mendapat sokongan secara langsung daripada kalangan bukan Islam, tanpa mempertikaikan segala pendekatan untuk menjadikan Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah kehidupan bernegara. Kejayaan kita menegakkan perpaduan nasional yang sebenar seperti perakuan sejarah di mana tidak berlakunya pergolakan kaum dalam peristiwa hitam 13 Mei 1969 di negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS, negeri yang kuat PAS saperti Terengganu, Kedah, Perlis dan beberapa daerah, menandakan Islam sebenar yang diperjuangkan oleh PAS adalah contoh terbaik daripada aspek politik dalam ajaran Islam, berbeza dengan agama yang dipolitikkan mengikut pendekatan Umno. Kejayaan Kerajaan negeri Kelantan dan juga Terengganu di masa pemerintahan PAS menunjukkan bahawa ”Keadilan Untuk Semua” adalah asas perpaduan nasional yang sebenarnya.
Perpaduan tidak boleh diwujudkan dengan paksaan secara merampas hak bangsa lain, tetapi ianya di-tegakkan dengan hukum dan pembahagian hak yang adil kepada semua dan semangat persaudaraan kemanusian yang sebenar mengikut firahnya .
Umno telah menunjukkan contoh buruk kepada ajaran Islam, kerana melahirkan wajah rasuah, keruntuhan moral dan berbagai kezaliman terhadap rakyat semua kaum, termasuk orang-orang melayu sendiri, secara kasar yang dapat dilihat dan halus tanpa disedari. Kegagalan Dasar Ekonomi Baru adalah kerana keburukan perangai pemimipin-pemimpin Umno sendiri yang naik turunnya bertanggakan rasuah dan penyelewengan.
Sebutan "Bumiputera" hanya sekadar jenama yang memberikan mereka kesempatan politik dan atas nama "Agenda Melayu" untuk terus menerus membolotkan kekayaan negara sesama elit ”Umnoputera” di kalangan mereka. Yang jelasnya bukan sahaja Melayu-Bumiputera adalah yang tercorot di segi jurang pendapatan antara 3 kaum di negara ini, bahkan juga mengikut statistiknya, merupakan kaum yang paling teruk dan tercorot di segi jurang pendapatan "Dalam-Kaum" Melayu itu sendiri. Sebabnya adalah jelas kerana kerana Melayu-Bumiputera menghadapi satu lagi persaingan yakni persaingan "Umnoputera lawan Bumiputera"! - Usahawan dan Korporat Melayu lawan Kroni Umno.
'SELAMATKAN DEMOKRASI, TEGAKKAN KEADILAN'
PAS yang berlandaskan Islam yang bersifat syumul, merealisasikan dalam amalan Fiqh Siyasah, melaksanakan Tahaaluf dengan pihak lain dalam menghadapi isu bersama untuk membawa perubahan dan gerakan reformasi. PAS wajib menunjukkan kesetiaan kita kepada sahabat seperjuangan dengan ikhlas dan terbuka. Tingkatkan kejayaan kita hasil kerjasama tahaluf dengan PKR dalam komponen BA. Kita buktikan perpaduan kita melalui pemulauan bersama PRK Batu Talam dan menyertai PRK Ijuk dengan gagah berani. Mari kita pertingkatkan komitmen dan persiapan kita untuk menghadapi PRU 12 yang dijangka lebih zalim bagi menyelamatkan Demokrasi yang hendak dikuburkan .
Rapatkan lagi persahabatan dengan NGO yang telah membuktikan kesetiaan mereka bersama kita dalam setiap isu dan cabaran. Mereka turut bersama merasai penderitaan rakyat dan membela rakyat dengan pengorbanan yang tinggi. Mereka adalah sebahagian daripada jentera reformasi yang diharapkan mengubah masa depan yang menyelamatkan negara dan ummat .
Sekiranya kita (PAS bersama rakan BA) dikurnia Allah dengan kemenangan, maka menegakkan ’Keadilan Untuk Semua’ bukan sekadar janji pilihanraya, bahkan ia adalah kewajipan agama dan kemuncak Tujuan Islam dan seluruh perundangannya yang wajib di tunaikan, berdosa kalau mengabaikannya dan akan diadili di kampong akhirat, di Mahkamah Rabbul Jalil.
Firmanullah SWT: "Sesungguhnya telah Kami utuskan para Rasul dengan Bukti yang Nyata dan Kami turunkan akan al-Kitab dan Neraca Pertimbangan agar kamu mengadili manusia dengan Keadilan" - Surah al-Hadid 25.
PERKEMASKAN JENTERA PILIHANRAYA
Kita mahukan semua jentera pilihanraya bersiap sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal mendatang. Samada ia berlaku dalam masa terdekat ini sebelum September ini mahupun awal tahun depan atau pun Perdana Menteri mahu menamatkan penggalnya sehingga penuh ke Mac 2009, saya sarankan supaya semua jentera pilihanraya dan semua dewan dewan mengambil peringatan untuk mempertingkatkan kesiapsiagaan parti dan semua portfolio jentera pilihanraya parti. (3 slides)
• Alhamdulillah, kita telah mempertingkatkan dan mempelbagaikan keupayaan penerangan kita bagi mencapai sasaran yang merentasi pembaca dan penonton yang lebih luas lagi, samada di segi media cetak, mahupun elektronik yang bersifat web-based stesyen TV and website serta blog.
• Kita mahukan supaya seluruh media kita menggarap dan medepani cabaran menyampaikan informasi dan pemberitaan yang benar, berani, telus dan pantas, tetapi tetap kreatif dan menarik.
• Kita mahupun seluruh media kita digembleng dan diselaraskan bagi menghasilkan impak yang paling berkesan dalam menangani diayah dan propaganda media arus perdana yang menyembunyikan kebatilan dan kemungkaran mereka dengan solekan Islam Hadhari yang di buwai hiburan melampau.
Isu Daftar Pemilih seharusnya diberi segala penelitian segera bagi menyempitkan apa jua ruang penipuan dan menangkis tipuhelah mereka dalam pilihanraya akan datang. Saya suka mengingatkan pimpinan pusat, negeri dan kawasan untuk turut memenfaatkan dan meneliti kajian-kajian yang dibuat dari masa ke semasa agar olahan isu dan pendekatan kita bukan sahaja menarik bahkan berkesan untuk mengangkat keyakinan rakyat terhadap kita dan sekaligus menangani prajudis dan kesangsian mereka terhadap Islam dan PAS serta Barisan Alternatif. Isu teras mesti digabungjalin dengan isu-isu terkini yang menjawab segala tandatanya serta permasalahan mereka sekaligus menghuraikan kekeliruan yang cuba disuntik dan disebarkan oleh media perdana.
Saya mahukan PAS menjalinkan dan merapatkan lagi kerjasama dan keserasian kerja dengan rakan PKR kita. Dengan kerjasama ini, saya yakin Barisan Alternatif akan lebih mantap lagi dan kita akan pacu dan manjana kemenangan yang lebih baik dari Pilihnaraya Umum ke-11 lalu. Kita telah menetapkan beberapa dasar strategi yang luas oleh rakan BA kita dan akan menghalusi perkara penting dan bersifat praktikal dan teknikal di semua peringkat operasi di negeri, kawasan/bahagian sehingga ke peringkat jentera akar umbi.
PENUTUP
Pada kesempatan ini saya ucapkan ribuan terima kasih kepada PAS Perhubungan Negeri Kelantan selaku tuan rumah, pihak Urusetia dan semua anggota pasukannya serta semua pihak yang terlibat memberi kemudahan, para dermawan budiman yang turut serta menjayakan penganjuran Muktamar kali ini, seterusnya semua para tetamu yang memeriahkan majlis kami, Jazakumu Allah Khairan Kathiran, ucapan jutaan terima kasih semoga Allah SWT membalas amalan dan jasa baik tuan-tuan semua dengan balasan dan ganjaran pahala yang lebih baik.
Akhirnya marilah sama-sama kita menyahut seruan Allah, dengar dan hayatilah firman Allah:
"200. Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perintah Allah dan cabaran hidup), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih-lebih lagi di medan perjuangan), dan laksanakan tugas (dimedan kamu ditugaskan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)."
Ahli parti hendaklah bersedia untuk menghadapi segala cabaran dan menghayati ciri-ciri kemenangan bagi menempah janji Allah serta berwawasan panjang dari dunia sehingga akhirat. PAS dengan kerjasama rakan PKR, akan bersama mempertahankan pemerintahan kita di negeri Kelantan Darul Naim dan bercita-cita untuk menyaksikan pihak BA menawan satu atau dua negeri yang lain dengan izin Allah SWT hasil berkat usaha gigih serta sokongan rakyat dan pengundi. Kita mampu mengembalikan prestasi penguasaan kerusi kita di Parlimen seperti dalam PRU ke-10 seandainya kita pertingkatkan iltizam dan merancang kerja dengan disiplin kerja yang tinggi dan bersungguh-sungguh serentak menangkis pelbagai penipuan mereka.
Ingatlah bahawa kedudukan kita dalam Parti ini adalah :
Menunaikan Amanah yang wajib bagi kesinambungan mesej Islam yang tidak mati dengan wafatnya Rasulullah S.A.W. iaitu amanah memimpin umat dalam segala urusannya dengan Islam, mengkhianatinya adalah bencana besar yang menjadi tanda kehancuran dunia. Pimpinan Umno yang mengkhianati amanah ini wajib ditentang kemungkarannya terhadap Allah dan negara. Kita pula wajib melengkapkan diri dengan sifat-sifat dan ciri-ciri Parti Allah yang dijanjikan kemenangan dunia dan akhirat dengan Iman dan Taqwa .
Mentarbiyyah diri masing-masing dengan kesabaran menghadapi cabaran dengan mengeratkan hubungan kita dengan Allah yang meningkatkan Iman dan Taqwa , serta meningkatkan ukhuwwah dikalangan ahli, bersatulah laksana satu jasad. Wajib bersatu diatas perkara prinsip dan beradab dalam perbezaan pendapat dan pendekatan. Pertandingan kita dalam parti Islam ini adalah menempah amanah yang mahal harganya , berlumba untuk berada dibarisan hadapan, yang besar fadhilatnya kalau ditunaikan dengan baik, dan celakalah kalau mengkhianantinya. Firmanullah SWT dalam Surah al-Fath: ayat 10: "48:10 Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu (Wahai Muhammad) sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barang siapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barang siapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar."
Beristiqamah di medan perjuangan dengan teguh diatas prinsip perjuangan, wajib melaksanakan tugas dan memikul amanah dimana sahaja kedudukannya dalam parti, dan menerima cabaran yang dihadapi, tanpa mengira penat-lelah, dan bersedia menyumbangkan segala pengurbanan yang diperlukan agar janji Syurga Allah SWT sama-sama menjadi buruan dan tekad kita bersama. Sabda RasulAllah (saw): "Ala inna sil'aTaulLahi Al-Gholiyah. Ala Inna Sil 'aTaulLaihi aL-Jannah! Sesunnguhnya barang dagangan Allah itu Mahal. Sesungguhnya barang dagangan Allah itu Jannah!"
Firman Allah: 104. Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) Dalam menghadapi musuh itu; kerana kalau kamu menderita sakit, maka Sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa Yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dengan peringatan ini saya akhiri ucapan perasmian. Dengan lafaz: Bismillahirrahmanirrahim..
Saya rasmikan Muktamar Tahunan Parti Islam Se Malaysia PAS ke-53.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan