Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 28 Ogos 2007

MALAYSIAKU GEMILANG....

Oleh : Budi ( budi_abuya@yahoo.com.my )

Tahun ini Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke 50. Menjelang tarikh 31 Ogos pelbagai persiapan telah diadakan.Malahan ianya telah dimulakan sejak awal tahun lagi. Apa istimewanya sambutan kali ke 50 ini sehingga kerajaan sanggup mengeluarkan jutaan ringgit untuk perayaan? Mungkinkah kerajaan ingin mengambil kesempatan daripada "mood patriotik" rakyat untuk mengadakan pilihanraya umum. Apa saja boleh dan tak salah untuk kita andaikan. Rakyat Malaysia yang "cerdik" tentu tahu ini satu temberang.

Buat beberapa tahun kebelakangan ini tema sambutan kemerdekaan adalah "kerana mu Malaysia". Saya tidak pasti berapa tahun tema ini dikekalkan. Begitu pun tahun ini temanya bertukar menjadi "Malaysia ku gemilang". Adakah kerana kepakaran rakyat Malaysia dalam meletupkan bom atau tingginya "mutu" permainan bolasepak negara menjadi faktor kegemilangan tersebut? Hanya Pak Lah yang tahu.

Dari lipatan sejarah kita dikhabarkan bagaimana kesungguhan dan pengorbanan generasi terdahulu yang berusaha memperjuangkan kemerdekaan memang kita sanjung dan akui. Pada hari ini adakah benar semangat patriotik itu menyelinap dihati sanubari kebanyakan rakyat Malaysia ?? Saya sekadar mengambil contoh sambutan nostalgia kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London yang diadakan di Melaka baru - baru ini.

Bagi memeriahkan sambutan pada malam itu para pelajar sekolah dan juga penduduk kampung telah dikerah untuk hadir. Saya dimaklumkan oleh kawan - kawan yang hadir bahawa mereka telah disediakan dengan bas percuma dan wang saku sebanyak RM 10. Manakala pelajar sekolah asrama yang dipaksa kesitu, mendapat sehelai baju T-shirt putih untuk dipakai bagi menggambarkan suasana tahun 50an itu.

Dikampung saya sendiri ahli - ahli UMNO telah mula diangkut ke Padang Pahlawan seawal pukul 6 petang lagi. Yang malang dan sedih menurut seorang teman yang pergi, pada hari itu mereka tidak bersembahyang maghrib. Katanya tak sempat almaklumlah nak sambut imam hadhari yang baru pulang dari bulan madu.

Saya tidak nampak apa keperluannya sambutan tersebut, selain mendengar ucapan dan melihat Pak Lah menaiki kereta klasik kemudian melaungkan perkataan MERDEKA dan seperti biasa (seolah-olah wajib) pengunjung dihiburkan dengan persembahan artis.


Begitulah UMNO melalaikan penyokongnya konon membangkitkan semangat patriotik. Bangunan perniagaan diarahkan memasang bendera, anak- anak mendapat bendera percuma untuk dipasang pada basikal masing-masing, pemuda UMNO dikampung ada habuan memasang bendera sepanjang kampung, betulkah semangat mereka itu? Cuba kita bayangkan bagaimana jika tiada kempen memasang bendera, rakyat tetap menaikan jalur gemilang dengan bangganya, itu baru petriotik.. Selamat menyambut hari kemerdekaan.

Tiada ulasan: