Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 12 Disember 2007

INSIDEN PENAHANAN DI PARLIMEN, LAPAN DIBEBASKAN TANPA SYARAT

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Hrkh) - Lapan aktivis yang ditahan di bangunan Parlimen telah dibebaskan tanpa sebarang syarat oleh pihak polis.

Mereka yang dibebaskan ialah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; penganalisis pilihan raya Malaysia, Wong Ching Huat; Koordinator Suaram, Yap Swee Seng; wakil CIJ, Gayathri; Mien dan Pengurus Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi yang terlibat dengan sidang media dan majlis penyerahan memorandum Bersih kepada ahli parlimen tengahari tadi.

"Sebaik dibawa ke IPKKL, kami hanya diambil kenyataan sahaja, tanpa sebarang sebab atau dakwaan dibacakan kepada kami," ujar Dr Dzulkifli ketika dihubungi Harakahdaiy.

Sejurus dibebaskan mereka mendesak pihak polis agar memohon maaf kerana tindakan tersebut adalah merupakan suatu kesilapan.

"Kami tidak berada di luar parlimen dan tidak melanggar injuksi mahkamah yang melarang orang ramai hadir di luar mahkamah untuk mengikuti aktiviti Bersih," katanya lagi.

Kira-kira 16 individu yang ditahan di luar bangunan Parlimen akan didakwa kerana melanggar perintah mahkamah yang melarang sebarang aktiviti Bersih.

Sementara itu, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua yang turut ditahan pagi tadi ketika cuba untuk memasuki pekarangan parlimen telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta Kuala Lumpur.

Menurut sumber, beliau kini telah dibawa ke IPPKL untuk direman di sana.

Sekumpulan peguam daripada Jabatan Hak Asasi Manusia Majlis Peguam masih berada di IPPKL untuk membantu mereka yang masih belum dibebaskan

Tiada ulasan: