Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 23 Januari 2008

HAPUS MISKIN TEGAR : RAKYAT PERLU HAPUSKAN BN

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menaburkan janji untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang dihadapi oleh semua kaum menjelang 2010. DPP Pusat berpandangan kenyataan politik di hadapan masyarakat India ini hanyalah janji palsu menjelang pilihan raya dan BN tidak akan berupaya untuk menghapuskan kemiskinan ini. Sebaliknya, kadar kemiskinan tegar akan meningkat ekoran kegagalan Kerajaan BN hari ini mengurangkan beban hidup rakyat.

Adalah sesuatu yang aneh bagi BN untuk memujuk rakyat dengan janji palsu seperti menghapuskan kemiskinan tegar. Hakikat yang ada pada hari ini, rakyat yang tidak miskin tegar pun sudah merungut terhadap peningkatan kos sara hidup. Penipuan penghapusan yuran sekolah misalnya, sudah cukup untuk rakyat memahami janji palsu BN. Ketika yuran sekolah ‘dihapuskan’, tambang bas pula naik, bekalan minyak masak dan tepung terputus sehingga harga roti canai mendadak menjadi RM1 sebiji. Bagaimana miskin tegar dapat ditangani oleh BN?

Cuba kita bayangkan, maksud miskin tegar di Malaysia ialah rakyat yang berpendapatan bawah RM260 sebulan. Di Lembah Kelang, pendapatan di bawah RM1,000 masih tergolong dalam kemiskinan tegar yang dihadapi oleh semua kaum. Jika harga roti canai RM1 sebiji, bermakna rakyat miskin memerlukan RM30 sebulan untuk memakan sebiji roti sehari. Tetapi adakah itu cukup? Harga makanan lain seperti nasi campur atau nasi goreng sudah mencecah RM4 sepinggan atau melibatkan kos RM120 sebulan bagi seorang rakyat. Jika satu isi rumah mempunyai purata 5 orang dengan 3 kali sehari makan (RM120 x 3 x 5), mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM1,800 untuk makan sahaja bagi satu keluarga. Ini tidak termasuk keperluan asas yang lain seperti sewa rumah, pakaian, pendidikan dan pengangkutan.

Pengalaman rakyat Malaysia tentang peningkatan berterusan kadar inflasi sudah cukup untuk kita memahami janji-janji politik BN. Kita tahu BN sedang terdesak untuk menghadapi pilihan raya sehingga Perdana Menteri terpaksa menjanjikan sesuatu kepada kaum India – antara kaum termiskin di Malaysia. Kebelakangan ini Pak Lah cuba memujuk orang India selepas HINDRAF ‘dibelasah teruk’ baru-baru ini. BN mengadakan perayaan Ponggal di Masjid India, memberikan cuti Thaipussam dan hari ini mereka dijanjikan penghapusan kemiskinan. Walhal, rakyat sudah tahu harga petrol akan dinaikkan dalam masa terdekat ini dan bebanan hidup mereka akan bertambah lagi.

Rakyat tidak ada pilihan jika mereka ingin menghapuskan kemiskinan tegar melainkan mereka mesti menghapuskan kuasa politik BN dalam pilihan raya ini. Selepas 50 tahun merdeka, walaupun negara semakin maju, sebahagian kekayaan negara dikuasai oleh beberapa individu sahaja. Di kalangan masyarakat India, harta Ananda Krishnan mungkin lebih banyak daripada pendapatan tahunan 100,000 orang India yang miskin. Yang anehnya, ketika rakyat sedang tersepit, pemimpin BN terutama dari MIC terus mengaut kekayaan dan terlibat dalam pelbagai skandal penyelewengan. Isu saham Maika Holding belum selesai.

Berbanding dengan pengalaman rakyat Kelantan, sebuah negeri yang diwar-warkan miskin, pendapatan rakyat Kelantan jauh lebih selesa. Dengan kos hidup yang rendah, pembelaan berterusan daripada kerajaan dan bebas penyelewengan. Rakyat miskin di Kelantan bukan sahaja mendapat baja subsidi dengan harga murah, menikmati takaful ibu tunggal dan warga emas, bebas daripada bebanan riba serta pembelaan meluas untuk orang bukan Melayu. PAS sendiri menjanjikan penurunan harga minyak, pendidikan percuma dan pelbagai kebajikan yang lain. Rakyat harus berfikir dengan lebih matang jika mahu terus memilih BN. Jika rakyat terus memilih BN, bermakna rakyat telah menempah untuk terus berada dalam kemiskinan yang lebih tegar.

YB SALAHUDDIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Tiada ulasan: