Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 6 Januari 2008

KANDANG KUDA DIJADIKAN BILIK DARJAH DI SELANGOR MAJU

KLANG – Pada hari pertama persekolahan semalam, seramai 19 pelajar tahun satu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Tepi Sungai di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa di kelas yang asalnya sebuah kandang kuda.

Bangunan yang dipisahkan dengan dinding separuh konkrit dan jeriji besi selain beratapkan zink itu bukan sahaja panas tetapi juga sempit.

Lebih teruk apabila pihak sekolah terpaksa menempatkan murid tahun satu bersama seramai 19 lagi murid tahun dua dalam kelas yang sama kerana kekurangan kelas kosong.

Tinjauan KOSMO! semalam mendapati, dua subjek pengajian untuk murid tahun satu dan dua terpaksa diteruskan dalam satu kelas oleh dua guru menggunakan satu papan tulis sahaja.

Di dalam kelas tersebut, murid tahun satu dan dua hanya diasingkan dengan cara menjarakkan sedikit susunan meja dan kerusi.

Rata-rata murid tahun satu dan dua kelihatan bosan dan keliru dengan proses pembelajaran yang jelas tidak sempurna.

Selain itu, seramai 112 lagi murid tahun tiga hingga enam turut ditempatkan di bangunan sama berstatus kandang kuda milik MPK.

Pemindahan kesemua murid terbabit adalah ekoran bangunan sekolah lama yang berusia 80 tahun itu hanya menanti masa untuk roboh.

Menurut seorang suri rumah, M. Mageswary, dia sempat melihat seorang kanak-kanak meraung dan meminta pulang ke rumah kerana takut untuk masuk ke kelas yang kelihatan pelik bagi mereka.

"Bangunan yang sepatutnya menempatkan kuda ini diubahsuai menjadi kelas, jadi memang nampak sedikit pelik," katanya.

Pemandu lori, S. Murugan pula berharap projek pembinaan bangunan baru sekolah dipercepatkan.

"Kasihan tengok anak saya yang baru masuk tahun satu dan pelajar-pelajar lain yang terpaksa menumpang di bangunan kandang kuda ini sejak 2003 lagi," katanya.


Guru besar sekolah, M. Muthusamy mengakui murid tahun satu dan dua terpaksa berkongsi satu kelas.

"Sebelum ini, murid tahun 5 dan 6 belajar di bangunan sekolah lama tetapi dipindahkan ke kelas yang dipinjamkan MPK ini selepas bilik sekolah lama terbakar pada 22 Disember tahun lalu," jelasnya.

Tiada ulasan: