Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 22 Januari 2008

HATI-HATI DENGAN PEMBULI SIBER

Oleh Sazarina Shahrim

MUNGKIN istilah pembuli siber agak janggal didengar oleh kita. Justeru, mungkin sukar dimengertikan siapa dan bagaimana kerja buli yang dilakukan pembuli siber ini. Selama ini, yang sering difahami dan diketahui hanya pembuli menggunakan kekerasan fizikal untuk menakutkan mangsanya yang lemah.

Kini, kita terpaksa menerima kehadiran masalah baru dalam masyarakat yang jika tidak ditangani segera pastinya mengundang bencana kepada masalah sosial di negara ini.

Buli siber yang didefinisikan sebagai sebarang bentuk ancaman dan serangan melalui pesanan teks, gambar menerusi e-mel, blog, telefon bimbit serta rangkaian web bagi mengganggu, memalukan dan mengugut, sebenarnya bukan satu perkara baru dalam erti kata sebenar.

Pastinya kita tidak lupa mengenai beberapa kes penyebaran gambar palsu termasuk orang kenamaan (VIP) dan artis dalam laman web atau blog. Malah, penyebaran khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) juga berlaku dari semasa ke semasa.

Inilah yang dikatakan pembuli siber. Banyak lagi kes seperti itu dilaporkan sebelum ini. Jika VIP boleh menjadi mangsa pembuli siber, pastinya setiap daripada kita lebih mudah terdedah dengan ancaman yang serupa.

Kemajuan teknologi dunia, juga mendedahkan sejumlah 46 peratus atau hampir enam juta daripada kira-kira 13 juta pengguna internet di Malaysia kepada ancaman dan serangan pembuli siber kerana terlalu banyak mendedahkan maklumat peribadi mereka di laman web.

Lebih membimbangkan sebahagian besar daripada angka itu membabitkan kanak-kanak dan remaja, kumpulan yang disifatkan paling berisiko menghadapi ancaman pembuli siber berbanding golongan dewasa yang lebih matang.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), pengguna internet di negara ini berjumlah 12.9 juta sehingga September 2007. Daripada jumlah itu, 11.7 juta melanggan secara 'dial-up', manakala 1.2 juta lagi menggunakan khidmat jalur lebar.

Sejumlah 46 peratus daripada mereka ini pula dilanda demam laman sosial seperti Friendster, MySpace, Xanga, atau Facebook dan mereka boleh memuat turun gambar, menceritakan pengalaman setiap hari mereka tanpa rasa curiga.

Tindakan mereka mendedahkan maklumat peribadi yang ada kalanya sulit, sama ada melalui internet, laman web sendiri atau blog, boleh digunakan pihak tertentu sebagai bahan dan alat untuk membuli serta mengancam mereka.

Sememangnya kecanggihan teknologi maklumat (IT) memberi pilihan kepada remaja dan kanak-kanak untuk berhubung, bergaul serta berkomunikasi, tetapi ia boleh mengundang masalah apabila wujud pihak yang mahu mengambil kesempatan menganiaya mereka.

Menurut CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity), kebanyakan pembuli siber ini adalah kenalan rapat kepada mangsa sama ada rakan, bekas suami dan ada juga bekas rakan sekerja.

Berbanding di negara maju, yang kebanyakan pembuli siber terdiri daripada golongan wanita, di Malaysia golongan lelaki berusia antara 15 hingga 35 tahun dilihat lebih berani untuk melakukan kegiatan itu.

Mengapa seseorang itu boleh menjadi pembuli siber? Berdasarkan kajian seorang pakar, Barbara Coloroso, mendapati bahawa pembuli siber mempunyai persamaan dalam sikap mereka seperti suka mendominasi orang lain, menggunakan orang lain untuk kepentingan diri, enggan bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka dan gilakan perhatian.

Namun, CyberSecurity menganggap kes buli siber di negara ini belum sampai ke tahap membimbangkan dengan hanya 54 kes diterima sepanjang Januari hingga Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, ini tidak bermakna masalah itu boleh dipandang sebelah mata, kerana jika ia dibiar berleluasa akan menjadi barah dalam sistem sosial masyarakat negara ini.

Di negara maju, masalah buli siber sudah dianggap berada pada tahap serius. Di Amerika Syarikat, laporan berita CBS mendakwa hampir 40 peratus pelajar di negara itu mendakwa pernah menjadi mangsa buli siber sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dengan hinaan dan fitnah yang disebarkan rakan sekolah menerusi e-mel, laman web dan SMS.

Masalah yang sama turut dirasai Britain sehingga memaksa kerajaan negara itu untuk mengenakan denda sehingga STG1,000 (RM7,000) ke atas ibu bapa `pembuli siber' atau pelajar yang terbabit membuat ancaman kepada rakan menerusi telefon bimbit, e-mel, SMS dan laman web sosial di internet.

Selain didenda, ibu bapa terbabit diarahkan mengawal tindak tanduk anak atau mereka sebaliknya diwajibkan menghadiri kelas keibubapaan serta dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah. Kabinet Britain berhasrat menggunakan kuasa mendenda ibu atau bapa yang terbukti gagal menangani sikap buli anak mereka.

Mungkin kita boleh mengambil iktibar daripada kes terbabit. Tidak mustahil dalam tempoh lima tahun lagi, pembuli siber boleh dilakukan kanak-kanak berusia 10 tahun jika masalah ini terus dianggap remeh seperti yang berlaku di negara maju.

Pembulian seperti ini boleh dianggap seperti 'membaling batu, sorok tangan', tidak jelas dilakukan dan sukar untuk dibuktikan. Tidak hairanlah sehingga ke hari ini, masih tiada seorang pun yang didakwa atas kesalahan sebagai pembuli siber.

Mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi Dan Multimedia, pembuli siber boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: