Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 29 Januari 2008

PERINGATAN UNTUK TPM : EKONOMI NEGARA AKAN TERUS LEMAH DIBAWAH BN

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

29 Januari 2008

Peringatan Buat TPM:
Ekonomi Negara Akan Terus Lemah Di Bawah BN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) membidas kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa kononnya kerancakan ekonomi dan kemajuan sesebuah negeri hanya dapat berkembang dengan baik jika negeri itu dipimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan ini jelas kelihatan takbur dan angkuh, dalam keadaan negeri-negeri termiskin di Malaysia masih lagi berada di bawah pentadbiran kerajaan Umno-BN.

Ini merujuk kepada jawapan Perdana Menteri di dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 3 September 2007, di mana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan dalam jawapan bertulis beliau bahawa lima negeri yang mempunyai kemiskinan tegar yang tertinggi adalah di Sabah (32400 orang), Terengganu (8300 orang), Perak (5,700 orang), Sarawak (5,200 orang) dan Kedah (5000 orang). Kesemua negeri ini adalah di bawah pemerintahan Umno-BN.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilaporkan pada 8 Disember 2004 menyatakan bahawa tujuh negeri diklasifikasikan sebagai 'hampir muflis' kerana menanggung tunggakan bayaran balik pinjaman iaitu sebanyak Johor (RM512.24 juta), diikuti Kedah (RM491.83 juta); Pahang (RM312.29 juta); Kelantan (RM153.62 juta); Sabah (RM49.15 juta); Perlis (RM48.18 juta); Terengganu (RM190.77 juta) dan Negeri Sembilan (RM79.66 juta). Enam daripada tujuh negeri yang disebut di atas adalah merupakan negeri di bawah pemerintahan Umno-BN!

Datuk Seri Najib Tun Razak disarankan supaya menyemak kembali laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2005 apabila Kerajaan Pas Negeri Kelantan menyaksikan lebihan RM170,000 dicatatkan meskipun belanjawan defisit dibentangkan. Difahamkan tidak ada sebarang belanjawan lebihan yang dicatatkan oleh mana-mana negeri di Malaysia termasuklah di peringkat nasional selepas pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

AMK meragui apakah Najib kabur dengan fakta-fakta seumpama ini yang memperlihatkan lembabnya pentadbiran Umno-BN seusai 50 tahun kemerdekaan negara apabila masih wujud kemiskinan tegar yang berada di tahap mengecewakan di negeri-negeri di bawah pentadbiran BN.

AMK melihat, realiti Malaysia akan 'bankrap' akan menjadi realiti sekiranya Umno-BN terus diberi mandat untuk memerintah Malaysia untuk tempoh 5 ke 10 tahun akan datang.

Sudah sampai waktunya rakyat tidak lagi disuap dengan fakta-fakta songsang dan terpencil, dan demi masa depan negara, rakyat wajib untuk berubah!

Fariz Musa
Timbalan Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: