Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 12 Januari 2008

SKUAD PENYELAMAT UNIT AMAL AKAN BANTU CARI SHARLINIE

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menggesa dan mendesak supaya pihak kerajaan lebih serius dalam menangani kes yang berkait dengan keselamatan rakyat khasnya kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dihantar kepada Harakahdaily, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi mendesak pembentukan satu Suruhanjaya Khas dengan segera bagi meneliti dan mengemukakan langkah serta tindakan berkesan untuk mengekang jenayah serupa dari terus berlaku dan berleluasa seterusnya memburu dan menghukum penjenayah terbabit.

"Setelah peraturan dan undang-undang sedia ada gagal menangani pelbagai isu terutamanya berkaitan jenayah yang dilihat mutakhir ini berkembang pesat tanpa kawalan yang efektif, Pemuda PAS Pusat secara konsisten, tetap menegaskan bahawa kerajaan perlu segera melaksanakan syariat Islam sebagai peraturan dan undang-undang negara yang berdaulat demi membendung negara ini dari terus dicengkam ketakutan atau kebimbangan melampau akibat jenayah yang terus marak dan subur dalam negara ini," ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Malahan ujarnya lagi, penjenayah pula bagaikan 'selamat' berada dalam sistem yang membolehkannya terus memburu mangsa tanpa perikemanusiaan.

Tambah Nasrudin, kerajaan selayaknya melunturkan keegoan mereka untuk sedia mengakui perlunya syariat Islam dalam menyelesaikan persoalan seperti ini setelah 'mata kepala' mereka sendiri melihat dan menyaksikan kegagalan sistem ciptaan manusia yang mereka agungkan selama ini.

"Kenapa tidak kembali kepada kanun Ilahi?" tegasnya merujuk kepada kes terbaru yang menimpa Sharlinie Mohd Nashar baru-baru ini.

Jelasnya, Squad Penyelamat Unit AMAL Dewan Pemuda PAS Pusat turut terpanggil dengan penuh rasa tanggungjawab dan berkewajipan untuk bantu mencari dan menjejaki Sharlinie Mohd Nashar dengan mengarahkan Jabatan AMAL Pusat dan Negeri-negeri agar mengambil langkah pro aktif dalam menggerakkan jentera mereka .

Beliau berkata Squad Penyelamat UNIT AMAL dilancarkan dengan misi 'cari Sharlinie sampai jumpa'.

Semua jentera Dewan Pemuda PAS Pusat menurutnya juga dikerahkan untuk mengedar risalah 'Di Mana Sharlinie' dengan kesungguhan dan keupayaan yang ada.

Pada masa sama, Nasrudin turut menyarankan diadakan solat hajat dan munajat di masjid-masjid dan juga di Pusat Tarbiyyah di seluruh negara

Sebelum ini negara digemparkan dengan tragedi yang menimpa Nurin Jazmin Jazimin yang menghantui para ibu bapa yang diikuti dengan Nur Fatiha Zaidi juga diculik namun ia dikembalikan.

"Kini tragedi penculikan berlaku lagi dan entah berapa kali lagi rakyat akan terus menghadapi tragedi seumpama ini sementara tahap keselamatan rakyat kian dipertikai dan dipersoalkan," katanya.

Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan ibu bapa Sharlinie bersabar menghadapi ujian getir ini serta bertawakkal kepada Allah agar Sharlinie selamat kembali kepangkuan keluarga.

Tiada ulasan: