Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 14 Januari 2008

UNDI BN BERMAKSUD PERJUDI NASIB : AZIZAH

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa rakyat jangan memperjudikan masa depan negara dengan mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Sudahlah, telah 50 tahun rakyat memperjudikan masa depan negara, sudahlah," katanya mengulas kenyataan Abdullah Ahmad Badawi yang meminta rakyat jangan perjudikan nasib kerana mengundi pembangkang.

"Mengundi BN, itulah yang bermaksud memperjudikan nasib," jelasnya.

Menurut Azizah mengundi pembangkang bukan bermaksud perjudikan nasib,tetapi bagi membentuk sebuah kerajaan adil,telus dan saksama untuk semua kaum.

Jelas Azizah rakyat mempunyai pilihan untuk memilih sebuah kerajaan baru yang mempunyai hala tuju lebih baik dan cekap.

Beliau ditemui selepas majlis solat hajat dan bacaan yassin anjuran Biro Agama Parti Keadilan Rakyat Permatang Pauh dekat sini pagi tadi

Solat tersebut diimami oleh Ustad Suhaimi Harun dan ceramah motivasi oleh Ustaz Izad Hambali.

Beliau kemudiannya menghadiri majlis sumbangan kepada fakir di Kampung Pelet dan Kampung Sardon, sebelum menghadiri dua ceramah kelompok di Seberang Jaya pada sebelah malam.

Berhubung kenyataan Najib Razak yang mahu rakyat mengelak pengundian secara perkauman, Azizah berkata Umno, MCA,MIC dan parti komponennya itulah yang menyuburkan amalan perkauman
.

Menurutnya perjuangan KeADILan adalah antara lain membantu golongan miskin dan tertindas tanpa mengira kaum.

"Kerana kaya atau miskin tidak mengenal batas kaum," ujarnya.

Dalam Islam pun, kata Azizah sudah ditentukan hak orang miskin ada di dalam harta orang kaya.

"2.5 peratus (zakat) daripada harta orang kaya sebenarnya adalah hak orang-orang miskin"katanya.

Berlandaskan ajaran Islam juga jelasnya, sepatutnya semua wakil rakyat menerima peruntukan tanpa mengira sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.


Pertahan Permatang Pauh

Azizah melahirkan kesyukuran sekiranya parti terus memilih beliau untuk mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh.

Meskipun dianggap kawasan selamat, beliau tidak memandang mudah cabaran yang bakal dihadapi.

"Kita tidak tahu kawasan mana selamat atau tidak kerana risikonya cukup tinggi dengan pengendalian pilihanraya yang tidak adil dan telus oleh SPR (Suruhanjaya Pilihanraya)."

Jelasnya penyambungan perkhidmatan Pengerusi SPR Rashid Abd Rahman, sehinggakan kerajaan terpaksa mengubah perlembagaan,bagi persaraan wajib anggota SPR dari 65 ke 66 tahun, sudah cukup membuktikan bahawa pilihan akan datang BN akan menggunakan segala penipuan.

Bahkan, katanya pengakuan Pengerusi Suhakam Abu Talib Osman dalam sebuah forum 9 September tahun lepas, bahawa pilihan raya Malaysia adalah tidak adil mengukuhkan lagi dakwan pembangkang selama ini.

"Kita yakin dan berharap pengundi akan terus memilih Keadilan," katanya.

SUMBER : MALAYSIA TODAY

Tiada ulasan: