Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 21 Mac 2008

MAT TAIB YAKIN USAHA PEMBANGKANG SIA-SIA DAN MP PERTAMA KELUAR BN

KL: Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menegaskan, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas hanya membuat kerja sia-sia jika cuba menarik wakil rakyat Barisan Nasional (BN) untuk menyertai pakatan pembangkang.

Jelasnya, tindakan terdesak itu dilihat tidak mendatangkan faedah kepada pakatan itu kerana situasi dalaman mereka sendiri yang kini sedang bergolak.

“Saya yakin tiada wakil kita yang terpengaruh. Dasar mereka tidak jelas. Jadi bagaimana hendak mencari sokongan tambahan pula?

“Mereka sendiri berkecamuk. Banyak rancangan mereka untuk ‘membetulkan’ keadaan hanya tinggal laungan kosong sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan, Ahli parlimen Serian, Richard Riot telah keluar dari Supp - parti komponen Barisan Nasional (BN) - bersama ramai ahli parti itu dari kawasannya selepas beliau tidak dilantik sebagai timbalan menteri di peringkat pusat.

Richard, seorang Bidayuh, telah menjadi ahli parlimen Serian selama lima penggal. Beliau menang kerusi Serian sebagai calon bebas pada 1990 dan menyertai Supp untuk mengekalkan kerusinya sebagai ahli parlimen BN kerana Serian merupakan kerusi tradisi Supp.

Richard menyerahkan surat keluar parti kepada Presiden Supp, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam pada hari yang sama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan barisan kabinetnya.

Seorang ahli veteran parti itu, yang bertindak sebagai jurucakap ahli parlimen Serian itu, mengesahkan kepada Malaysiakini desas-desus bahawa Richard telah keluar parti bersama ramai penyokongnya dari lima cawangan Supp kawasan tersebut.

Setiap cawangan mempunyai lebih 1,000 ahli.

Jurucakap tersebut yang tidak mahu namanya disebut berkata, selepas surat itu diserahkan kepada Chan, presiden Supp itu menghantar setiausaha agungnya Sim Kheng Hui pergi memujuk Richard.

Tiada ulasan: