Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 30 Mac 2008

PESANAN UNTUK Y.B.


Sebagai rakyat Malaysia, saya turut bersedih dengan apa yang telah berlaku akhir-akhir ini. Dalam mengejar cita-cita untuk berkhidmat dan mencurahkan bakti kepada rakyat (saya mengharapkan itulah niatnya) untuk memberikan kesejahteraan dan keselesaan di bumi Malaysia rupa-rupanya Allah S.W.T. telah mendedahkan banyak perkara yang tersirat. Jika kita imbau kembali zaman khalifah-khalifah ar-Rasyidin setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. perlantikan ke jawatan khalifah telah menjadi satu tanggungjawab yang terlalu berat untuk disandang. Hari ini jawatan pemimpin menjadi rebutan sehingga ada individu yang sanggup 'pancas' mana-mana tokoh yang dilihat boleh menghalang cita-citanya.

Sejenak saya ingin membawa anda mengimbau kembali bagaimana Khalifah Umar bin Abdul Aziz apabila dilantik menjadi khalifah. Pernah dia menangis apabila sebaik sahaja diangkat sebagai khalifah hingga ditegur oleh isterinya. Dalam jawapannya Umar menegaskan: "Aku telah diangkat untuk mengurusi kepentingan umat Muhammad, maka terfikirlah olehku nasib orang-orang miskin yang kelaparan, orang sakit yang tersia-sia, orang bawahan yang berpakaian compang-camping, orang-orang yang tertindas dan teraniaya, orang-orang asing dan tawanan perang dan orang tua yang tidak kuat lagi bekerja. Dan aku tahu bahawa Tuhan akan menyoalku tentang mereka itu semua, maka aku khuatir kalau-kalau aku tidak dapat menjawab. Itulah sebabnya aku menangis".

Wahai Y.B.-Y.B. sekelian, walaupun ianya kisah sejarah tetapi tanggungjawab yang anda semua pikul tetap sama dan soalan Allah S.W.T tetap soalan yang sama diajukan kepada insan yang bergelar pemimpin. Jika menjadi pemimpin di dalam keluarga sudah tertalu berat, maka terlalu BESAR tanggungjawab untuk menjadi pemimpin masyarakat, daerah, negeri dan negara. Kereta mewah tuan-tuan tidak akan membantu, istana-istana tuan tidak akan membantu, rakan-rakan politik tuan juga tidak akan membantu malah anggota badan tuan-tuan juga tidak akan 'cover' kesalahan dan penyelewengan tuan-tuan.

Maaf, tidak ada niat untuk menakutkan sesiapa. Saya rakyat Malaysia yang mahukan kesejahteraan dan keamanan dunia dan akhirat. Inilah peringatan kepada diri saya dan tuan-tuan sekelian. Renungi kembali tujuan kemenangan tuan-tuan yang telah dtentukan oleh-Nya adalah untuk menggerakkan negara selangkah ke hadapan dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat serta melindungi negara dari ancaman anasir-anasir luar yang boleh menghancurkan bumi pertiwi ini.

Oleh: Anak Raja Dagang

Tiada ulasan: