Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 22 Mac 2008

PM ABDULLAH MASIH BELUM SEDAR

Dengan apa yang telah berlaku hasil dari PRU12 yang lalu, kita tertunggu-tunggu apakah tindakan drastik yang akan diambil oleh seorang PM.

Hasilnya, kita dikecewakan oleh barisan kabinet "dapur". Persepsi awal rakyat dan para pengulas politik terhadap tindakan yang diambil oleh PM dengan membariskan beberapa nama yang tidak dapat diterima umum amat mengecewakan kita.

Nampak seakan PM Abdullah tidak begitu sensitif dengan kehendak majoriti raktyat. Seperti tidak faham langsung isyarat yang telah diberikan yang menyebabkan BN/UMNO hampir tersungkur. Dacing sudah senget!!


Tetapi Presiden BN dan UMNO yang satu ini adalah yang paling tidak peka. Dengan melantik Datok Zaid Ibrahim (tidak bertanding), Dr.Mashitah (tidak bertanding), Tan Sri Muhammad Taib (tidak bertanding), Datok Noh Omar, Datok Zahid Hamidi, Shahrizat Jalil (yang kalah). Tambahan lagi dengan perletakan jawatan SU Agong BN/UMNO, Dr Khir Toyo, penolakan 2 timbalan menteri dari dilantik adalah isyarat yang cukup jelas apa yang sedang berlaku dalam UMNO/BN dan kerajaan.

Apa yang kita musykilkan bukanlah mahu mencampuri urusan rumahtangga UMNO atau BN, tetapi kerana ia melibatkan sebuah kerajaan yang kita rakyat marhaen bernaung. Secara langsung kita semua terlibat. Sungguh kita tidak menyangka PM Abdullah telah banyak menyimpang jauh. Tidak ada matlamat nyata dalam mentadbir sebuah kerajaan.

Sebagai seorang yang beragama, adalah menjadi kewajipan apabila berlaku sesuatu kita akan ingat dan kembali kepada agama. Tidak ada lain kecuali merujuk kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, merujuk guru-guru muktabar dan inilah jalan keluar yang diredhai Allah, tidak ada lain!!!

Kita tidak nampak PM Abdullah mengikut jalan ini. Buktinya Datok Zaid Ibrahim telah dikenali umum sebagai penyokong dan peserta IFC yang aktif dan pernah menfailkan menentang hukum hudud di mahkamah. Apakah PM lupa? Mat Taib (Mike Tyson pun sudah bisa tumbukannya dalam gelanggang tinju!) dengan kes membawa duit berguni. Zahid Hamidi yang menjaga hal ehwal agama dengan kes memukul kawan anaknya. Dr Mashitah dengan fatwanya membolehkan pelacur melacur atas sebab-sebab terpaksa!? MashaAllah. Inikah kabinet seorang PM muslim??

Ya, benarlah sebagaimana cakap blogger. PM/UMNO/BN telah melalui tsunami 1 masa PRU12, tsunami 2 (sekarang-dengan pergolakan meletak jawatan/melantik kabinet) dan akan datang pula tsunami 3. Saya dapat rasakan PM Abdullah akan dimalukan sama ada dari dalam kerajaan/parti atau dari luar(pembangkang). Kita sama2 dapat melihatnya nanti. Janji Tuhan akan tetap berlaku.

Keadaan tidak mengizinkan untuk lengah. Keadaan akan menjadi lebih gawat. UMNO/BN memang tidak relevan lagi sukar untuk dibaiki kecuali ada tangan ajaib yang masuk campur dengan sokongan majoriti ahli umno/bn.

Ini semua ketentuan Allah, akibat tangan2 kita yang kotor dan tidak cuba menjalankan hukum dan kehendakNya. Kita lalai dengan kemewahan. Kita lali dengan dosa. Rakyat marhaen di mata nampak seperti kambing, Raja bertakhta tidak dihiraukan. Kaum kerabat bersuka ria. Tidak pernah seorang PM Malaysia yang lepas menjemput orkestra, jazz atau apa ke kediaman mereka. 10 kali fikir untuk membelanjakan wang negara. Perbendaharaan negara dibuat seperti membahagi pesaka keluarga......apakah ini semua?

Hormatilah dan hayatilah sebagaimana titah Baginda Pemangku Raja Perak yang amat menyentuh perasaan hamba rakyat:

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah meminta pemimpin negara ini supaya mengambil pengajaran dan iktibar daripada punca kejatuhan empayar, kerajaan malahan raja dan pemimpin, antaranya kerana kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa.

Baginda bertitah, melalui sejarah, umum mengetahui ramai telah diberi peluang untuk menjadi pemimpin, namun hanya segelintir sahaja individu yang muncul sebagai pemimpin yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.

"Keadaan ini berlaku kerana ramai yang ketika diberi peluang untuk memimpin kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa.

"Ada antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.

"Demikian terdapat himpunan sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin yang sewajibnya dijadikan asas rujukan untuk ummah hari ini mempelajari dari kesalahan dan menjauhi dari mengulangi kesilapan yang sama," titah baginda di majlis sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian hadiah hafazan peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

Menurut Bernama, Raja Dr Nazrin bertitah seorang pemimpin bertanggungjawab dalam menentukan arah haluan pengikutnya dan bertanggungjawab kepada mereka yang berada di bawah pimpinannya.

"Memimpin adalah satu tanggungjawab yang perlu disempurnakan secara amanah," titahnya.

Baginda bertitah sebagai pemimpin yang beragama Islam, pemimpin itu perlu menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan utama dalam mendapatkan panduan dan bimbingan untuk memerintah.

Bukan sekadar 'ritualistik'

"Sebagai pemimpin, Nabi Muhammad S.A W memiliki kelebihan, memiliki keistimewaan, mendapat panduan dan bimbingan secara langsung dari Ilahi. Panduan dan bimbingan Ilahi itu terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Perilaku dan sabda Baginda pula terkandung dalam himpunan Hadis yang telah berjaya dikumpulkan," titahnya.

Raja Dr Nazrin bertitah Islam menetapkan sebagai pemimpin seseorang itu perlulah memiliki sifat-sifat amanah, merendah diri, jujur, ikhlas, berdisiplin, berkorban dan komited, selain gerun kepada Allah serta menyedari sentiasa dinilai oleh para pengikutnya.

"Kepimpinan yang mengutamakan ummah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W telah menarik sokongan ummah kepada Baginda, begitu juga terhadap ajaran yang dirisalahkan oleh Baginda. Hasilnya ajaran Islam berkembang pesat dalam tempoh yang begitu singkat menembusi sempadan budaya, menembusi sempadan geografi dan menembusi sempadan politik.

"Islam diterima secara universal dan tidak hanya terbatas menjadi agama kepada bangsa Arab, di bumi Arab sahaja. Kepimpinan Baginda juga diterima di alam sejagat dan terus diiktiraf setelah Baginda wafat sekian lamanya," titahnya.

Raja Dr Nazrin turut memperingatkan agar acara-acara sambutan Maulidul Rasul yang dijalankan saban tahun tidak sekadar bercorak 'ritualistik' atau secara rutin sahaja, tetapi sebaliknya perlu memberikan impak kepada masyarakat.

"Setiap acara sambutan yang dianjurkan, melibatkan masa, melibatkan usaha, melibatkan tenaga dan melibatkan perbelanjaan. Oleh itu acara sambutan yang dianjurkan hendaklah memperlihatkan hasil serta bersifat produktif hendaknya," titahnya.

Sempena sambutan Maulidur Rasul, baginda turut menyeru umat Islam supaya sentiasa bermuhasabah untuk menjadi umat yang terbaik.

"Mulakanlah bermuhasabah ke atas diri sendiri dan keluarga kerana disitulah bermulanya asas-asas kecemerlangan. Hayatilah kehidupan Rasulullah SAW sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat," titahnya.

Manakala YDP Agong Sultan Mizan bertitah:

Umat Islam perlu mencontohi keunggulan peribadi Rasulullah SAW dalam melaksanakan perintah Allah SWT ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang unggul serta menjadi contoh teladan kepada dunia, titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Titah baginda, perjuangan Rasulullah telah berjaya membina kekuatan mental dan fizikal umat Islam sehingga mampu mencipta satu tamadun yang gemilang di mata dunia.

Seluruh umat Islam, titah baginda, perlu menyedari bahawa Allah SWT telah menganugerahkan potensi kecemerlangan dalam setiap diri insan.

"Umat Islam sebagai hambanya bertanggungjawab untuk mengembangkan potensi kecemerlangan ini melalui akal yang telah dikurniakan Allah. Hanya melalui akal yang cerdas, insan mampu menerokai ilmu dan seterusnya berupaya membimbing masyarakat ke arah kegemilangan.

"Beta yakin dengan panduan kitab suci al-Quran dan sunnah Rasulullah, seluruh umat Islam di Malaysia mampu meneroka bidang sains dan teknologi dengan lebih jauh lagi.

"Dengan ini, umat Islam akan mampu membina kekuatan dan pengaruh di kalangan seluruh masyarakat dunia," titah baginda.

Tuanku Mizan juga berharap umat Islam di negara ini memahami dan menzahirkan panduan dan pengajaran yang telah diturunkan oleh Allah melalui kitab suci al-Quran.

Jelas, tidak ada agenda lain yang perlu dibawa oleh seorang pemimpin ummah yang berwibawa kecuali berpandu akhlak yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan kitab suci Al-Quran, tidak ada yang lain! Jika cuba juga mencari yang selain dari 2 tunggak ini maka tunggulah hari kerosakan ke atas rakyat dan negara.

My As

Tiada ulasan: