Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 14 Mac 2008

SHAHIDAN GAGAL, ISA JADI MB PERLIS

Datuk Seri Shahidan Kassim gagal mengekalkan jawatan Menteri Besar Perlis, keputusan mengejut yang sama sekali berbeza daripada dakwaannya malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Datuk Mat Isa Sabu menggantikan Shahidan yang memegang jawatan itu sejak 1995.

Raja Perlis dilaporkan telah melantik Mat Isa hari ini berkuatkuasa serta-merta dan sekali gus menamatkan suasana tidak menentu di negeri itu.

Setiausaha sulit kepada Raja Perlis, Mohd Adib Zakaria, mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beberapa hari lepas nama Isa, seorang tokoh lama Umno Perlis, disebut-sebut sebagai menggantikan Shahidan.

Setakat ini tidak dapat dipastikan reaksi penyokong-penyokong Shahidan selepas mendapat tahu pemimpin mereka itu, yang juga ketua bahagian Arau, disingkirkan.

Bekas menteri besar itu kelihatan berjalan beriringan dengan timbalan pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak (foto kiri) sewaktu keluar dari masjid Putrajaya selepas solat Jumaat tengah hari tadi.

Shahidan, bagaimanapun, bersama kira-kira 100 penyokong berkumpul depan masjid itu sebagai menunjukkan rasa tidak puas hatinya (foto bawah).

Katanya, seseorang yang dilantik MB Perlis sekarang "tidak mendapat mandat" kerana beliau, sebagai pengerusi BN, mempunyai mandat tersebut.

Shahidan semalam masih berkata beliau akan ke istana tengah hari ini untuk mendapatkan watikah pelantikan setelah pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju menyambung khidmatnya.

Adun Tambun Tulang itu malah memberi kata dua kepada pemimpin dan ahli yang membantah keputusan tersebut - mereka boleh dikenakan tindakan disiplin atau keluar daripada Umno.

"Ini keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), mereka mesti menyokong keputusan presiden parti (Umno)," kata Shahidan dalam sidang media di ibu negara malam tadi selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa BN Perlis yang turut dihadiri oleh ketua MCA dan MIC negeri.

"Saya sebenarnya memberi dua pilihan kepada mereka. Pertama dikenakan tindakan (disiplin) atau keluar dari parti."

BN Perlis digoncang krisis berlarutan untuk mencari calon MB baru walaupun ia mengulangi kemenangan besar, menguasai 14 daripada 15 kerusin DUN dan mengekalkan ketiga-tiga parlimen.

Penyokong Shahidan mendakwa beliau disekat oleh seorang tokoh besar di peringkat pusat - yang selama ini mencetuskan konflik menjelang penamaan calon.

Sementara itu, sewaktu dihubungi Malaysiakini petang ini, ketua penerangan Umno negeri Datuk Hashim Suboh berkata mereka tidak mengiktiraf pelantikan Mat Isa.

"Jika kita mengiktirafnya, akan rosak demokrasi dan sistem pilihanraya," katanya, sambil menambah "kita anggap beliau seorang MB bebas".

BN tetap dengan pendirian Shahidan sebagai menteri besar, tambahnya.

"Rakyat melihat pelantikan Mat Isa tidak mengikut prosedur. Apa makna sistem berparti jika tidak ikut parti?" tambahnya.

"Kita tidak boleh halang rakyat jika mereka bangkit mengadakan tunjuk perasaan."

Beliau membayangkan BN Perlis boleh mengambil tindakan disiplin kepada Adun Bintong itu jika beliau terus memegang jawatan tersebut.

Tiada ulasan: