KETIKA perkena tea tarik di Jalan Tuanku Abdul Rahman selepas Asar sore tadi seorang kawan yang juga pemerhati politik bertanya saya (minta penjelasan) bagaimana dengan peralihan kuasa di Kelantan. Peralihan kuasa apa? Tanya saya. Di Kelantan tidak memerlukan apa-apa peralihan kuasa.
Topik mengenai Annuar Musa tidak penting dan relevan lagi. Selepas dua kali tertumus di dalam kubu sendiri hayat politiknya sudah tidak ada lagi. Nyawa politik kini sudah berada dijanggutnya. Jadi Umno tidak memerlukan apa-apa peralihan kuasa.
Kalau mahu tukar Annuar Musa sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, mahu tukar dengan siapa lagi? Semua saki baki tokoh-tokoh Umno Kelantan kecuali Awang Adek Hussin sudah jadi pengerusi. Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), Mustapa Mohamad sudah menjawat jawatan itu. Ternyata mereka tidak mampu untuk merampas Kelantan. Tidak cukup power untuk mengatasi 'koramah hidup' Tok Guru Nik Aziz.
Awang Adek, tidak usah cerita, kekalahan di dua kerusi (parlimen Bachok dan Dun Perupok) baru-baru ini menyebabkan beliau tidak layak buakn saja jadi Pengerusi untuk dilantik sebagai Penghulu Kampung Perupok pun belum tahu layak.
Bukan peralihan kuasa dalam Umno yang dimaksadkan oleh kawan itu, tetapi peralihan kuasa dalam Pas! Apa sibuk-sibuk dengan Pas, soal saya. Takkan Nik Aziz (Tok Guru) nak pegang MB sampai ke akhir hayat? Singgung kawan itu menyebabkan hati saya sedikit terkedu bila sebut fasal Nik Aziz.
Oh peralihan kuasa dalam Pas! Baru saya faham maksud kawan itu. Saya termenung beberapa jurus lalu menghirup tea dan berfikir apakah ingin menjawab atau tidak. Saya tahu kalau saya menjawab nanti ada orang yang sakit hati dan terasa bila membaca blog ini. Nanti dituduh saya tulis artikel ini kerana tidak mendapat komisin ....... pula.
Salah anggap
Lebih baik tak usah ulas soal peralihan kuasa itu! Tetapi selepas beliau mendesak dan mengatakan masa inilah saat paling sesuai untuk melakukan peralihan kuasa, saya terpaksa menjelas agar beliau tidak keliru dan salah anggap yang Nik Aziz mahu menajdi MB sampai mati pula.
Memang peralihan kuasa – pertukaran MB perlu berlaku di Kelantan. Inilah masa paling sesuai. Saya akui. Lagipun Nik Aziz sudah tua (78 tahun) dan sering berulang alik ke hospital. Ideanya juga sudah mulai berkurangan. Sudah sampai masanya ikon Nik Aziz selaku pemimpin dicabut perlahan-lahan dari minda rakyat Kelantan. Dan kerusi Chempak harus ditinggalkan kepada zuriat politiknya.
Soal janji semasa kempen dalam pilihan raya dimana beliau akan terus menjadi MB, itu muslahat sahaja. Orang faham kenapa Nik Aziz masih diwar-warkan untuk dikekalkan sebagai MB, Ia sebagai taktik untuk tarik undi sahaja. Sebab tidak ada mana-mana tokoh di Kelantan yang mempunyai krismatik dan daya tarikan hebat untuk menarik undi.
Semuanya bergantung kepada Nik Aziz. Sebab itu kalau tengok kepada poster dan kain pemidang, semua calon menempel dengan Nik Aziz. Gambar Koridor Depu pun di tempelkan wajah Nik Aziz walhal MB itu tidak faham dan tahu menahu pun mengenai depu. Kalau berani kenapa tidak ditempelkan gambar orang yang mengilhamkan projek koridor depu itu?
Nik Aziz sudah pun bercadang untuk melepaskan jawatan MB. Maknanya soal peralihan kuasa sudah timbul sebelum ini. Namun masa itu tidak sesuai kerana Pas hanya kelebihan satu kerusi sahaja. Maka peralihan kuasa itu ditangguhkan. Tindakan melengahkan itu bijak.
Tok Guru sendiri setuju kalau peralihan kuasa itu dilakukan selepas pilihan raya. Kebetulan pilihan raya lalu Pas menang besar dan tidak perlu bimbang berlaku kemungkinan-kemungkinan yang boleh membebankan Pas. Al maklumlah ada beberapa orang Adun Pas memang kuat merajuk dan suka mengertak!
Tetapi setelah hampir tiga bulan pilihan raya peralihan kuas masih tidak berlaku. Mulanya rakyat mengira ia berlaku semasa pembentukan Kerajaan Negeri selepas pilihan raya. Ramai orang menyangka Nik Aziz sudah berundur dan Ahmad Yaacob akan mengangkat sumpah sebagai MB. Tetapi tahu-tahu yang angkat sumpah sebagai MB Nik Aziz juga.
Khabarnya apabila Nik Aziz sekali lagi jadi MB menyebabkan ada orang yang nanar dan terpaksa round negara untuk release tension atau menjadi jurucakap kepada Kerajaan baru Pakatan Rakyat.
Tidak layak
Apabila peralihan kuasa masih juga belum berlaku apakah masalahnya? Apa kesemua 36 orang Adun Pas tidak layak jadi MB. Kalau tidak layak kenapa Pas tidak menyediakan calon MB dalam pilihan raya lalu? Mungkin untuk menanding kewarukan, tawaduk dan ketinggi ilmu Nik Aziz dalam bidang agama, tidak ada seorang pun di kalangan 36 oarng Adun itu. Kebanyakan Adun berpendidikan sekular campur Islam sikit. Islam kosmetik!
Dalam perhatian saya antara mereka itu ada yang layak dan tanggung menjadi MB. Kebolehan mereka ibarat kata pepatah tidak ada rotan akar pun berguna. Adalah amat sukar untuk Pas mendapatkan seorang calon seperti Nik Aziz baru nak tukar MB.
Nik Aziz dulu pun tidak sehebat hari ini. Bakat dan kepimpinan (leadshipnya) terserlah selepas beliau menjadi MB. Para pentaksub Pas dan Allahyarham Mohd Asri bersabda kalau Asri tak ada Pas akan mati. Tetapi ternyata sabda itu salah malahan Pas jadi semakin kuat dan hebat apabila ia diambil alih Nik Aziz.
Dalam tilikan saya ada beberapa faktor kenapa peralihan kuasa masih belum berlaku di Kelantan. Antaranya ialah kerana calon yang diratib untuk menjadi MB kini dikatakan tidak mendapat sokongan ramai. Peringkat akar umbi juga tidak begitu berminat dengannya. Pemimpin veteran Pas yang menjadi kader Nik Aziz tahun 70an dan 80an juga tidak sebulu dengan calon popular itu.
Lebih layak
Sikap dan perwatakannya kurang disenangi oleh rakyat Kelantan. Suka bergerak bersendiri dan membuat keputusan ikut suka hatinya. Beliau lebih layak untuk menjadi ahli sains yang terperap didalam makmal dan melakukan percubaan demi percubaan. Sikapnya yang kurang mesra alam akan menimbulkan dan menjatuhkan imej kerajaan Pas kalau orang seperti itu menjadi MB.
Akar umbi dikatakan lebih suka kepada Mohd Amar Nik Abdullah (foto). Bagi rakyat bawahan walaupun beliau tidak licit, pandai mencari wang, namun beliau sesuai dengan budaya dan tradisi politik Kelantan. Mohd Amar dilihat sebagai mewarisi tradisi kepimpiann ulama serta lebih arif mengenai denyut nadi perjuangan Pas berbanding dengan calon lain yang ada wajah Umno.
Dari segi pendidikan pun jika hendak dikira Mohd Amar lebih hebat dari calon MB yang popular itu. Beliau memegang dua Master termasuk dari universiti dalam dan luar negara.
Tetapi sayang sedikit Adun Panchor ini tidak pandai melobi dan tidak tahu meletakakan dirinya sebagai salah calon MB. Beliau banya menyerahkan nasibnya kepada takdir. Kalau di dalam majlis tidak suka menonjol diri dan duduk terselik di belakang sehingga orang tidak sedar kehadirannya. Cuba kalau beliau tahu membodek, menghantar kambing, buah kurma ataupun ayam Belanda golek kepada Tok Guru atau pun menggunakan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri untuk mempromosinya mungkin ia akan menjadi perhatian MB itu.
Jadi sebagai menyimpul persoalan kenapa peralihan kuasa di Kelantan masih belum berlaku ialah kerana Nik Aziz tidak percaya kepada calon yang ada kini. Kalau beliau sudah yakin, pasti beliau sedia menyerahkan kerusi MB itu. Tidak guna beliau menunggu lama, kerana lagi lama lagi merosakan imej calon berkenaan dan beliau sendiri akan dituduh mahu mati atas kerusi.
Kita faham apa yang sedang berlaku sekarang Nik Aziz sedang menguji calon berkenaan menerusi beberapa bentuk ujian sebelum dilepaskan kerusi MB kepadanya.
Apakah calon itu lulus atau tidak belum terjawab. Yang nyatanya rakyat dan ahli Pas Kelantan peringkat akar umbi dan juga pemimpin kawasan sudah memberi maklum balas bahawa calon berkenaan tidak dapat diterima oleh banyak pihak. Kalau beliau dipilih juga sebagai MB, Pas akan bermasalah. Disyorkan mana-mana badan bebas buatlah bancian dan analisas mengenai hal ini.
Berdasarkan itu adalah baik kalau Nik Aziz menjalankan ujian kepada calon-calon lain pula. Beri tugas mewakili beliau dalam majlis tertentu sepertimana dilakukan salah kepada seorang calon itu yang dikatakan pandai mengambil kesempatan menonjolkan hidungnya walaupun ia tidak berapa mancung.
Kenapa mereka perlu diuji kerana dalam konteks ini calon itu bukan saja setakat akan jadi MB tetapi memikul tanggungjawab parti dan amanh Allah.
Antara keduanya adakala tangungjawab dan amanah itu lebih penting daripada menjadi MB. Kalau berjaya menjadi MB tetapi amanah dan tangungjawab parti gagal ia tidak ada gunanya kerana perjuangan Pas mencakupi akhirat bukan seperti Umno yang berjuang untuk kepentingan dunia saja.
Mungkin kerana ujian itu sedang dijalankan maka peralihan kuasa masih belum berlaku lagi. Tatapi kita yakin tempohnya tidak lama. Peralihan kuasa tetap jugaa akan berlaku tetapi bukan dengan paksaan tetapi secara nanture. Sebaik-baik sosok untuk menjadi MB Kelantan biarlah mereka yang arif mengenai sajarah perjuangan Pas dan menghayati gerak nadinya sejak dari awal lagi. Atau dalam istilah lain bukan mereka yang hadir setelah buah sudah masak ranum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan