Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 10 April 2008

RINTIHAN KEMENANGAN

Oleh Rosli Yusof

Membaca kisah seorang warga tua di dalam akhbar SIASAH yang menghadiri ceramah perdana di Stadium Melawati Shah Alam cukup menyayat hati. Kemenangan PAS bersama Pakatan Rakyat dapat disambut beliau dari usia yang masih berbaki. Daripada cerita penulis tersebut (Abdul Shukur Harun) warga tua tersebut beberapa kali menitiskan air mata bila mengenangkan mereka-mereka yang telah pergi sebelum bertemu dengan kemenangan yang telah mereka perjuangkan.

Saya teringatkan antara tulisan terakhir almarhum Ibnu Muslim seorang wartawan veteran ketika menulis di dalam Harakah. Antaranya beliau menulis "sesungguhnya sekiranya ditakdirkan PAS di beri kemenangan pada suatu hari nanti, saya berharap kepada pimpinan PAS pada ketika itu janganlah lupakan kepada mereka-mereka yang telah banyak berkorban kepada perjuangan PAS. Mereka-mereka ini ialah penoreh getah, pesawah padi, dan orang-orang kampong. Mereka inilah yang ketika PAS tidak dihampiri golongan-golongan koperat dan professional, mereka telah berkorban segalanya demi sebuah perjuangan. Merekalah yang telah banyak berkorban harta dan tenaga di awal dan pertengahan penubuhan PAS. Jesteru itu tulisnya lagi, seandainya PAS memerintah pada satu ketika nanti janganlah lupakan daratan. Walaupun PAS kini didokong dari berbagai latar belakang namun perjuangan asal PAS adalah daripada rintihan dan harapan rakyat bawahan terutamanya umat Islam."

Kini apa yang diimpikan oleh mereka-mereka yang terdahulu daripada kita telah menjadi kenyataan. Walaupun tidak sepunuhnya kita dapat memerintah Negara tetapi kemenangan di 5 negeri sudah cukup untuk mereka-mereka yang menghayati perjuangan ini menitiskan air mata kesyukuran. Janji Allah itu sentiasa benar walaupun tak terfikir oleh akal manusia. Semoga kemenangan ini di pelihara dengan sebaik-baiknya.

Kepada mereka-mereka yang kini telah diamanahkan oleh rakyat janganlah lupa diri. Ingatlah kemenangan anda adalah hasil keringat dari rakyat yang mengharapkan satu pemerintahan yang adil dan saksama. Kepada pimpinan tertinggi PAS dengarlah rintihan ahli di bawah. Jangan hanya mendengar dari pimpinan di peringkat bawah anda sahaja. Sesungguhnya pemimpin-pemimpin yang di bawah anda itu bukan semuanya yang jujur dan ikhlas. Ingatlah wahai pimpinan tertinggi PAS kedudukan kamu di atas sekarang tidak akan terlepas daripada soal jawab di depan Rabbul Jalil di mahsyar nanti. Jadikan Rasulullah dan pimpinan Islam seperti Umar Al khatab sebagai contoh. Sekali-sekala dengarlah apa yang ingin dikatakan ahli di bawah kerana perantara kamu itu mungkin juga ABDULLAH BIN UBAI BIN SALUL.

Rosly Yusof
Batu Kawan

Tiada ulasan: