Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 18 Mei 2008

HARAMKAN MP LOMPAT PARTI BERTANDING SEMULA, KATA SPR

PETALING JAYA: Kerajaan disyor menggubal undang-undang melarang sama sekali wakil rakyat yang melompat parti daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Sambil menyamakan budaya melompat parti, yang kini muncul sebagai isu panas, umpama tindakan pecah amanah kepercayaan para pengundi, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sudah tiba masanya undang-undang ketat diadakan bagi mengelakkan perbuatan seperti itu.


"SPR tidak pernah membincangkan isu ini kerana merasakan tidak ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi pandangan peribadi saya, kalau kita melihat dari sudut tujuan, matlamat dan objektif pilihan raya diadakan, memang wajar undang-undang yang menyekat tindakan melompat parti diperuntukkan," kata.

Isu melompat parti di peringkat persekutuan mendapat perhatian banyak pihak selepas Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti kerusi dua pertiga.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN memiliki 140 kerusi manakala barisan pembangkang menguasai 82 kerusi, sekali gus Pakatan Rakyat mendakwa ada sejumlah wakil rakyat berhasrat melompat kepada pembangkang untuk membuka laluan menubuhkan kerajaan baru.

Dengan merujuk kepada Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan yang melarang mana-mana wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri yang meletakkan jawatan daripada bertanding selama lima tahun, beliau berkata, satu peruntukan khas boleh diteliti.

"Kalau kerajaan serius, kita boleh memasukkan peruntukan baru ini dalam Perlembagaan, memandangkan Perkara 113 hingga 120 Perlembagaan menyentuh banyak aspek tentang pilihan raya," katanya.

Ketika ditanya sama ada undang-undang mandatori melarang bertanding sepanjang hayat wajar diperkenalkan, beliau memberitahu, sudah cukup setakat satu bentuk penalti.

"Seperti hukuman larangan lima tahun yang dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan berkaitan pilihan raya yang lain, tempoh yang sama sudah memadai," jelas beliau.

Wan Ahmad memberitahu, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan diperkenalkan bagi menyekat tindakan wakil rakyat yang meletakkan jawatan dan bertanding semula bagi menguji populariti mereka.

"Oleh itu, peruntukan subseksyen berkaitan dengan sikap kelakuan Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri boleh dimasukkan sebagaimana kerajaan pernah mengambil tindakan bagi mengelakkan perbuatan wakil rakyat meletakkan jawatan bagi menguji populariti mereka," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui ada pandangan yang mengatakan tindakan sedemikian bertentangan dengan kebebasan memilih parti dan bertanding.

"Tetapi sebenarnya wakil rakyat yang melompat parti ini dipilih berdasarkan parti dan dia bertanding atas tiket sesebuah parti, manifesto dan pegangan parti dia wakili.

"Jadi apabila mereka dipilih oleh pengundi, dan mereka memilih untuk keluar atau melompat parti, ia juga satu tindakan pecah amanah," katanya

Tiada ulasan: