Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 4 Mei 2008

'LIVE IN PARLIMEN' DITERUSKAN

Sama-sama kita nantikan agenda seterusnya Shabery Cheek...

Bernama : Kabinet membuat keputusan bahawa siaran langsung selama 30 minit bagi sesi soal jawab Dewan Rakyat oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) diteruskan bagi satu tempoh percubaan.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata siaran langsung melalui saluran RTM1 itu, yang bermula pukul 10 pagi setiap hari Parlimen bersidang, masih tertakluk kepada semakan semula Kementerian Penerangan.

Katanya semakan semula itu termasuk menghentikan siaran langsung itu jika kekecohan di Parlimen seperti Rabu lepas berulang, bagi memastikan rakyat tidak hilang keyakinan terhadap kemuliaan institusi Parlimen dan imej negara tidak terjejas.

"Kabinet beranggapan adalah terlalu awal untuk buat kesimpulan bagi menghentikan siaran langsung itu hanya berdasarkan insiden tersebut," katanya kepada pemberita di Angkasapuri hari ini.

Ahmad Shabery berkata keputusan mengenai siaran langsung itu dicapai pada mesyuarat kabinet hari ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Namun begitu, Kabinet amat kesal terhadap apa yang berlaku Rabu lepas, di mana imej Parlimen dan negara amat tercemar akibat tingkah laku terutama anggota Parlimen daripada parti pembangkang yang menimbulkan perkara remeh-temeh sehingga sesi setengah jam siaran langsung itu, hanya satu soalan yang boleh dikemukakan dan dijawab, manakala seluruh sesi soal jawab 90 minit itu yang kebiasaannya dapat mengemukakan lebih 10 soalan hingga 15 soalan, yang dapat dijawab hanya tiga soalan sahaja," katanya.

Selain masa yang terbuang itu, sesi pada Rabu lepas juga menyaksikan beberapa wakil rakyat mengeluarkan perkataan yang dianggap tidak wajar dalam dewan.

Insiden di Dewan Rakyat itu mendapat reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut kesal dengan kejadian itu.

Ahmad Shabery berkata Ketua Whip Barisan Nasional (BN) akan memastikan semua wakil rakyat BN akan berhati-hati ketika berhujah dan meminta pemimpin pembangkang membuat perkara yang sama.

"Kalau kita nak jadi Parlimen kelas pertama, ahli-ahli Parlimen kita mestilah berkelakuan sebagai ahli parlimen kelas pertama, bukan kelas ketiga," katanya

Tiada ulasan: