Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 27 Mei 2008

MAMPUKAH KU LI PULIHKAN IMEJ UMNO YANG TERCALAR ??

Oleh: Nak Marah Marahlah

TENGKU Tan Sri Razaleigh Hamzah seolah-olah merayu bila beliau menyatakan bahawa ahli-ahli UMNO tidak perlu takut untuk mencalonkan beliau bertanding merebut jawatan Presiden parti itu.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li bercakap lagi dengan menegaskan tentang banyak perubahan harus dilakukan supaya UMNO lebih demokratik dan berjanji akan menunaikan setiap permintaan khususnya dikalangan rakyat negeri Sabah.


“Saya cuma mahu jadi calon untuk membuat perubahan tetapi kalau orang tak mahu, saya tempah tiket ke Mekah buat umrahlah, buat apa nak sakit kepala.

Demi Allah yang saya cakap, saya dah berumur 71 tahun. Kalau mati lepas itu maka masuk nerakalah sebab tidak tunai janji,” kata Ku Li yang juga bekas Bendahari UMNO.

Sebagai tokoh yang pernah menguruskan hal ehwal kewangan parti, apakah Ku Li sedar tindakan menyembahkan diri dihadapan ahli-ahli UMNO seluruh negara mampu menimbulkan rasa simpati mereka untuk menyokong beliau? Atau tahukah Ku Li bahawa Pak Lah akan berdiam diri sahaja selepas menerima maklumat sulit mengenai perkembangan penjelajahannya itu?

Dalam hal ini sudah semestinya barisan penasihat politik Pak Lah sudah merangka pelbagai strategi untuk menafikan hasrat Ku Li menerusi panggilan atau pertemuan sulit dengan semua bahagian menjelang bermulanya mesyuarat cawangan.

Tidak ragu-ragu lagi, serangan demi serangan hampir pasti dilancarkan ke benak Ku Li dengan menuduh beliau bukanlah tokoh sesuai untuk menggantikan Pak Lah. Dari soal pengharaman UMNO pada tahun 1987 hinggalah pengkhianatan pada pilihanraya umum lalu akan dijadikan bahan kempen mereka untuk menghentikan impian besar Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Banyak orang bertanya, mengapa Ku Li tak serik-serik untuk bertanding pada hal beliau pernah gagal dalam percubaan pertama dulu.

Kebimbangan sentiasa ditimbulkan, apakah Ku Li sekadar mahu menguji popularitinya atau lebih seronok untuk melihat reaksi ahli-ahli UMNO terhadap kewibawaan Pak Lah sebagaimana tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar UMNO baru-baru ini?

Atau sekiranya melepasi kuota pemilihan yang ditetapkan, apakah suaranya akan kembali nyaring memecah keheningan Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menyerang balik Pak Lah dan kuncu-kuncunya?

Dengan pengalaman luas dalam soal kewangan dan kepemimpinan parti, sudah tentu Ku Li tahu bahawa namanya sentiasa sahaja menawan hati ahli-ahli UMNO, cuma tidak mempunyai ruang dan nasib lebih baik sebagaimana dinikmati orang lebih junior seperti Tun Mahathir atau Pak Lah sendiri.

Barangkali juga ahli ahli UMNO setuju dengan hasrat Ku Li kali ini memandangkan hanya beliau saja yang sanggup berterus terang dan menyatakan pendiriannya mahu bertanding sedangkan incumbent atau calon lain hingga saat ini semacam acuh tak acuh terhadap pencalonan masing-masing.

Apatah lagi barah semakin parah menimpa UMNO dan BN selepas tewas teruk dalam pilihanraya umum ke-12 lalu menjadikan anak raja Kesultanan Kelantan ini lebih bersedia untuk berdepan dengan Pak Lah atau calon proksinya andai terpaksa mengundur diri lebih awal sebelum pemilihan Disember ini.

Dalam pada itu, peluang Ku Li bertanding pada kali ini lebih cerah apabila beliau dikatakan akan menerima 60 pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan dalam pencalonan jawatan Presiden. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh veteran UMNO, Datuk Mazlan Harun.

Hakikatnya, sesiapa sahaja yang akan memegang jawatan Presiden UMNO mendatang perlu lebih bekerja keras untuk memulihkan kembali imej parti yang tercalar bukan sedikit.

Dalam lain perkataan, tiada istilah omong-omong kosong harus dilontar oleh calon-calon tetapi apa lebih penting lagi, tahu bagaimanapun mereka mencari formula merapatkan saf dikalangan ahli-ahli parti dan juga rakyat jelata.

Barangkali juga perebutan jawatan Presiden kali ini akan menjadi satu lagi detik sejarah paling hebat pernah disaksikan pada abad ini. Kali terakhir UMNO bergegar ialah semasa Pak Ghafar Baba dicabar Anwar Ibrahim bagi kerusi Timbalan Presiden.

Kesudahannya anak kelahiran Melaka itu menarik diri angkara lakonan terhebat Tok Mat yang bersengkongkol dengan Anwar dalam persembahan di depan Setiausaha-Setiausaha bahagian di Tingkat 40 ketika itu.

Tiada ulasan: