Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 14 Mei 2008

ORANG UMNO SENDIRI MALUKAN PAK LAH

Oleh: Nak Marah Marahlah

MELIHAT kepada raut wajah Pak Lah, ramai rakyat yang tidak tergamak untuk memberi malu kepadanya. Pak Lah memiliki ramai penyokong yang bermati-matian berjuang mempertaruhkan nyawa sejak dia bergelar Perdana Menteri. Mereka terutama orang UMNO tahu bagaimana pemimpin kesayangan mereka itu diperlukan sekurang-kurangnya menjernihkan semula imej parti yang tercalar.

Jika dahulu tak nampak pun kelibat Mohd Najib Tun Razak, Ali Rustam, Hishamuddin Tun Hussein menyelinap di belakang Pak Lah apatah lagi semasa era Team Wawasan. Kesemua mereka ini teruja dengan stail kepemimpinan Anwar Ibrahim yang memasang impian besar memerintah parti dan negara.

Boleh dikatakan ketika itu, hanya segelintir pemimpin yang dipanggil expired persons dan akhbar nyamuk sajalah yang menjadi perisai Pak Lah apabila menghadapi saingan merebut jawatan dalam parti.

Mujurlah ada orang bernama Kadir Sheikh Fadzir, Radzi Sheikh Ahmad, Zainal Abidin Zin, Shahrir Samad, Rahmah Othman yang sanggup berjuang memastikan Mr Clean terus bernafas di persada politik UMNO pada hal anak Kepala Batas ini sudah tidak memiliki apa-apa pun selepas disingkir Dr Mahathir dari kabinet persekutuan angkara kecondongannya yang lebih mirip memihak Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Musa Hitam dalam perebutan jawatan tertinggi parti yang berkesudahan UMNO diharamkan pada tahun 1987.

Tanyalah Shahrir yang dulu dan kini semakin rapat dengan Pak Lah sehingga diangkat menerajui kementerian penting. Jika Kadir nak marahkan Pak Lah kerana tidak terpilih sebagai calon pada pilihanraya umum lalu itu hak dialah. Bagi Zainal Abidin, semua tahu mengapa dia tak terpilih kembali ke kabinet. Cuma barangkali Radzi saja yang agak sepi selepas membawa hati selepas tidak dilantik sebagai menteri penuh dan serentak itu turut mengundur diri dari jawatan Setiausaha Agung UMNO.

Kita tak fikir Pak Lah sengaja menolak kepemimpinan Radzi tetapi mungkin mahu memastikan Ahli Parlimen Kangar itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap urusan parti dengan mengatur strategi baru dalam mengembalikan semula kepercayaan ahli dan rakyat yang seolah-olah melontar isyarat UMNO dan BN harus lebih bekerja keras.

Dalam hal ini teringat pula pada Kamarulzaman Zainal yang banyak mencorak gerak kerja Pak Lah waktu susah senang sebelum bergelar PM. Entahlah mengapa orang kuat Media Prima ini beralih arah biarpun pernah ditawarkan jawatan terpenting sebaik sahaja Pak Lah mengambilalih tampuk pemerintahan daripada Dr. Mahathir. Barangkali Kamarulzaman sudah menerima petanda apa akan berlaku pada Pak Lah apabila dia kembali dirapati ramai orang.

Keberanian pendekar-pendekar Pak Lah pula dapat dilihat menerusi kelantangan Ahmad Shabery Cheek dari Kemaman, Nazri Aziz dari Perak, Zahid Hamidi dari Bagan Datoh, Noh Omar dari Kuala Selangor dan Mat Taib yang segera bingkas bila ada mana-mana pihak mengusik Pak Lah.

Mereka semua tidak merasa terhina bila dituduh 'golongan pengampu' Pak Lah malah berasa tuah pula kerana mahu terlerai dari genggaman bayangan Dr Mahathir dan kelibat bekas bos lama mereka.

Ini belum lagi dikira seorang demi seorang dalam sayap kanan UMNO iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri. Kita boleh lihat bagaimana hebatnya seorang pemuda memiliki kuasa melangkaui Perdana Menteri sehingga mengakibatkan Pak Lah terasa bahangnya. Celoteh dan lagaknya seolah-olah UMNO dan n berada dalam koceknya adalah antara elemen penyumbang kekalahan teruk BN pada pilihanraya umum lalu.

Rakyat melihat semua peristiwa itu dan sudah memberi peringatan betapa Pak Lah sendiri harus celik mata dengan melakukan kerja-kerja perbedahan dalam parti dan bukannya menolak setiap tanggungjawab kepada orang lain yang akhirnya memakan dirinya sendiri.

Orang UMNO sepatutnya bersama-sama berkongsi pendapat bagi memudahkan Pak Lah membuat kerja-kerja fardu ain dan kifayah terutama dalam memperjuangkan Islam Hadhari dan kehidupan 26 juta rakyat Malaysia.

Tiada gunanya ghairah pidato politik disana-sini dengan ditonjolkan pelbagai agenda tapi hasilnya zero. Sudah ramai orang parti itu terutama di peringkat akar umbi yang dahulunya berdiam diri kini tanpa malu-malu berdepan dengan Pak Lah agar dia meletak jawatan. Syukurlah mereka sanggup mengakui akan kekalahan BN khususnya penyerahan kuasa lima negeri kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Samada Pak Lah atau pemimpin tertinggi UMNO terus berhujah atau mengenepikan suara-suara orang bawahan, tetapi secara kolektif rakyat hari ini sudah bijak menilai. Tak malukah jika ahli UMNO sendiri mengundi pembangkang semata-mata kecewa apabila pandangan mereka tidak dipedulikan umpama sungai yang mengalir lesu, tiada perubahan berlaku.

Harus diingat UMNO mungkin tidak menjadi pertubuhan unggul yang disokong orang Melayu kiranya pemimpinnya tidak dapat menyelamat maruah orang Melayu hingga terus dibuai dengan mimpi-mimpi indah tanpa merasa bimbang akan hak istimewa dan tunggak kekuatan sedia ada hilang suatu hari nanti.

http://nakmarahmarahlah.blogspot.com

Tiada ulasan: