Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 9 Mei 2008

PRESTASI KERAJAAN 5 NEGERI : UJIAN BESAR PAKATAN RAKYAT SEBELUM KE PUSAT

Oleh: Nak Marah Marahlah

SAMA ada barisan Pakatan Rakyat (PR) mampu mengambilalih kerajaan Persekutuan atau Barisan Nasional (BN) terus kekal dengan kedudukan sebagai pemerintah masih menjadi tanda tanya.

Biarpun Dato' Seri Anwar Ibrahim begitu komited dengan usaha-usaha menarik penyertaan Ahli Dewan Rakyat (ADR) BN menjelang sesi mesyuarat pertama, penggal pertama parlimen ke-12, namun sehingga ke hari ini masih belum ada tanda-tanda ia berhasil apabila tidak ada seorang pun yang dicanang Anwar tampil ke depan.


Tidak kurang juga ada khabar bertiup kencang mengatakan BN turut memberi tawaran yang sama kepada ADR daripada Pakatan Rakyat bagi memenuhi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Difahamkan, sasaran utama mereka ialah ADR PKR memandangkan sebahagian kecilnya bukan ahli tulen parti berkenaan. Mereka cuma bertaut sebagai bagi memenuhi syarat untuk bertanding dan perolehan sokongan semata-mata.

Bagi memastikan keupayaan PR dipandang tinggi oleh para pengundi, ujian terbesar yang perlu diberi perhatian ialah memantapkan keberkesanan prestasi menerusi gagasan kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan sebagai platform ke arah persediaan mentadbir kerajaan Persekutuan jika usaha menarik penyertaan ADR-ADR BN menemui kejayaan atau terpaksa menunggu pilihanraya umum akan datang. Itu pun berpandukan kemampuan angkatan PR menambah keyakinan rakyat.

Setakat ini, hanya Kelantan sahaja memperlihatkan keupayaan melepasi ujian ini manakala empat lagi negeri lagi barangkali memerlukan sedikit masa untuk membuktikan bahawa mereka boleh berjaya seperti Kelantan. Semuanya bergantung kepada kemantapan pelaksanaan dasar dan hasil bumi negeri masing-masing.

Sebagai Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri yang mencari pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan Pusat, Ustaz Azizan Abd Razak, Lim Guan Eng, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dapat tidak perlu merancang dasar komprenhensif dan menggembleng tenaga kerja setiap kakitangan negeri ke tahap maksima dengan menggunakan kesempatan terhadap kekayaan hasil bumi dan penarikan pelaburan ke negeri masing-masing.

Kita percaya usaha awal kelima-lima kerajaan negeri PR mahu mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju pembangunan dan ekonomi negeri di Kota Bharu tidak lama lagi disifatkan sebagai langkah terpuji.Mungkin Azizan, Guan Eng, Nizar dan Khalid boleh menggorek segala rahsia Tuan Guru Datuk Haji Nik Aziz Nik Mat bagaimana beliau mentadbirurus sebuah negeri dengan baik walaupun dengan kemampuan kewangan terhad.

Disini juga mereka boleh mengambil peluang menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai pertemuan itu sekembalinya beliau ke arena politik negara. Tentu sekali banyak idea sudah terfikir oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu untuk memberi garis panduan kepada kelima-lima peneraju utama kerajaan negeri dalam mempertahankan pendapatan ekonomi masing-masing atau mungkin lebih baik dari itu.

Pada masa yang sama, baik Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak mahupun Selangor tidak harus lupa untuk membentuk satu jawatankuasa induk utama perancangan dan penyelarasan merangkumi pelbagai bidang seolah-olah bayangan kabinet kerajaan pusat.

Menerusi jawatankuasa ini, kelima-lima negeri ini boleh bekerjasama dan membantu antara satu sama lain ke arah peningkatan ekonomi yang lebih baik tanpa perlu lagi mendongak ehsan daripada kerajaan pusat.

http://nakmarahmarahlah.blogspot.com

Tiada ulasan: