Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 21 Mei 2008

TUN MAHATHIR KELUAR UMNO, UNTUNG ATAU RUGI

Oleh: Mohd Hasbie Muda

Apabila Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya selaku ahli seumur hidup UMNO,ramai yang terkejut.Ada yang benar-benar terkejut dan ada juga yang buat-buat terkejut.Tidak kurang juga yang buat-buat tak tahu.

Bagi saya selaku anak muda yang menyoroti episod hidup mantan-mantan presiden UMNO sejak Allahyarham Dato’ Onn Jaafar,perletakan jawatan Tun itu adalah suatu perkara yang biasa dan sudah dijangka.Manakan tidak,semua mantan presiden UMNO (kecuali Tun Abdul Razak yang meninggal semasa masih memimpin parti) telah keluar parti atas sebab musabab yang hampir serupa.


Apabila Tun bertindak keluar UMNO tetapi menegaskan bahawa beliau tidak akan lompat ke parti lain,kita tertanya-tanya bahawa adakah agenda beliau untuk menekan Pak Lah akan berjaya.Kita juga tertanya-tanya bahawa pihak manakah yang akan untung dan pihak mana pula yang akan rugi daripada senario ini.

Tun adalah politikus UMNO yang berfikiran tajam.Dia tidak akan melakukan sesuatu tindakan yang boleh memberikan untung kepada pihak lain melebihi ‘kadar’ keuntungan yang akan dia perolehi.Jangan kita lupa dengan 1001 krisis yang pernah melibatkan Tun.Jangankan Musa Hitam atau Anwar Ibrahim,Sultan Iskandar pun pernah ‘kecundang’ di tangan Tun sewaktu krisis perlembagaan 1993.Itu belum termasuk krisis UMNO 1987 dan 1998.Hampir semua krisis dan konfrontasi yang melibatkan Tun pasti akan memberikan kemenangan mutlak kepada beliau.

Kini,Tun bukan lagi di puncak kuasa.Hampir sebahagian besar ‘kesaktiannya’ selama ini sudah di tangan orang lain (dibaca:Pak Lah).Namun,sebahagian lagi ‘kesaktian’nya masih bersarang di otaknya.Tun masih sepintar dan secergas dulu baik ‘physically’ atau ‘mentally’.Maka, sudah tentu keputusannya dan tindakannya itu bakal memberikan kepuasan dan habuan politik yang besar kepada beliau dan proksi-proksinya yang sedang meluru ke puncak.

Pada hemat saya, Pakatan Rakyat pasti akan berputih mata jika tindakan susulan daripada ahli dan pimpinan UMNO yang Tun harapkan bakal menjadi kenyataan.Harapan Tun adalah Pak Lah segera meletakkan jawatan lantaran tekanan yang Pak Lah terima akan lebih berat dan pengantinya akan lebih mudah mengatur langkah untuk berada di kerusi Presiden UMNO dan memperbaiki UMNO agar lebih kuat.

Selepas itu,Jika bakal presiden UMNO yang baru mampu menyusun semula saf kepimpinan UMNO yang lebih perkasa dan berjaya memulihkan keyakinan rakyat dalam masa yang singkat, maka harapan DS Anwar Ibrahim untuk ‘menuju ke Putrajaya’ akan menjadi sekadar mimpi di siang hari.Jumlah 30 ahli parlimen BN akan lompat parti sudah tentu akan menyosot.Maka,DS Anwar perlu menunggu masa yang lebih lama untuk membongkarkan kelemahan presiden UMNO yang baru itu.Tapi,jika pengganti itu adalah timbalan presiden sekarang, barangkali tempoh itu akan lebih pendek.

Dari sudut yang lain,PAS sebenarnya belum tentu akan peroleh manfaat daripada tindakan Tun petang tadi.Walaupun Tuan Guru Nik Aziz dilihat cukup gembira dan optimis bahawa banyak manfaat yang bakal partinya peroleh,namun tanpa langkah yang kemas,ia akan hanya menjadi pencak wayang yang sekadar untuk dipandang.PAS perlu tangkas dan kemas dalam mengambil peluang.

PAS dan ahli Pakatan Rakyat yang lain juga perlu berdoa semoga Pak Lah akan terus memerintah pusat sehingga beliau dijatuhkan sendiri oleh ketumbukan mereka.Jika Pakatan Rakyat mahu menjadi parti pemerintah, mereka perlu pastikan UMNO,BN dan kerajaan sekarang diubah dari luar, bukannya dari dalam!

Sumber: http://mahasiswakini.com/

Tiada ulasan: