Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 14 Mei 2008

UMNO 62 TAHUN :BOLEHKAH MEREKA GEMBIRA ?

Oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad

PADA 11hb Mei 2008, UMNO mencecah usia 62 tahun. Ditubuhkan sebagai parti yang demokratik UMNO telah mencapai kejayaan demi kejayaan.

UMNO dibawah pimpinan Dato Onn Jaafar telah menewas rancangan Malayan Union, British.

UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra telah berjaya merebut kemerdekaan daripada British.

UMNO dibawah tiga Perdana Menteri yang berikut telah berjaya menstabilkan negara dan membangunkannya sehingga menjadi negara contoh kepada negara-negara membangun yang lain.

Kepimpinan parti campuran (Perikatan dan Barisan Nasional) oleh UMNO memperolehi kemenangan dua-pertiga tiap pilihanraya Parlimen melainkan pada 1969. Kerajaan Malaysia yang didirikan semuanya kuat dan dihormati di dalam dan di luar negeri.

Tetapi dalam pilihanraya 2008 Barisan Nasional di bawah pimpinan UMNO kalah di lima buah negeri, satu Wilayah Persekutuan dan tidak mendapat dua-pertiga kerusi di Dewan Rakyat.

Pada ulangtahun ke-62 UMNO dilahirkan ahli-ahli dan pemimpin bawahan UMNO perlu memikirkan tentang keadaan parti pada hari ini. Bolehkah mereka gembira dengan prestasi UMNO sekarang? Bolehkah mereka percaya mereka masih kuat dan relevan seperti dahulu?

Pengasas UMNO memilih sistem demokrasi untuk parti kerana mereka percaya jika pemimpin UMNO menyeleweng, ahli boleh dengan hanya mengundi menukar pemimpin dan memulihkan keadaan.

Malangnya undi perwakilan UMNO boleh dibeli, justeru itu ia tidak dapat menjamin kepimpinan yang dipilih adalah cekap dan baik.

Percubaan dibuat supaya sistem pemilihan tidak mudah disalahguna. Dengan adanya sistem kuota, calon perlu mendapat pencalonan yang besar sebelum dapat bertanding. Sogokan kepada jumlah yang besar dipercayai sukar dilakukan.

Hari ini sistem kuota ini disalahgunakan dengan cara lain. Kali ini yang menyalahgunakannya ialah pemimpin besar UMNO sendiri. Kerana kuasa yang ada padanya, pemimpin besar dapat menghalang ahli melalui pelbagai cara supaya tidak mungkin mencalon selain darinya dengan cukup bilang untuk bertanding.

Ini boleh dilakukan kerana perwakilan ke Mesyuarat Agong UMNO termasuk pemimpin bahagian lebih mengutamakan kepentingan diri mereka daripada perjuangan parti, perjuangan agama, bangsa dan negara.

Hari ini yang sanggup disogok akan mendapat sesuatu bagi diri mereka. Jika cara ini berterusan dua perkara boleh berlaku;

1) Wakil Rakyat dan Kerajaan akan dimiliki oleh orang yang sogok mereka. Mereka akan bekerja untuk orang ini dan bukan untuk UMNO dan perjuangannya.

2) Pengundi biasa dalam Pilihanraya akan menolak calon dari parti UMNO dan BN dan dengan itu parti lawan akan mengganti BN sebagai Kerajaan. Pada masa itu ahli biasa, pemimpin kecil dan besar, bahkan yang bakal menjadi Perdana Menteri pun tidak lagi akan mendapat apa-apa bagi diri mereka. UMNO akan menjadi tidak relevan dan akan hancur bersama parti-parti sekutunya. Contohnya dapat kita lihat sekarang. Gerakan, MIC ditolak oleh rakyat.

Sejarah akan kutuk orang yang menghancurkan UMNO. Mereka akan dianggap sebagai pengkhianat kepadanya, pengkhianat kepada bangsa, agama dan negara. Sudah tentu orang Melayu yang akan kembali menjadi bangsa yang dihina dan dijajah dengan duit akan kutuk orang yang menyebabkan kecelakaan menimpa kaum bangsa mereka.

Pemimpin UMNO, terutama yang tertinggi yang memimpin parti ke arah kecelakaan ini akan dianggap pengkhianat yang terkutuk. Mereka yang turut sama kerana ingin mendapat sesuatu bagi diri sendiri juga akan dikutuk.

Inilah hasilnya apabila pemimpin dan ahli UMNO sudah lupa akan tanggungjawab mereka terhadap parti, terhadap bangsa, agama dan tanahair, tetapi sebaliknya menjadi tamak untuk mengisi temolok diri sendiri sahaja. Na'uzubillah

Tiada ulasan: