Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 30 Jun 2008

ANWAR DIPERCAYAI 'BERLINDUNG' DI KEDUTAAN TURKI

Oleh Bernama

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menghadapi tuduhan terbaru meliwat seorang pembantunya dikatakan sedang "berlindung" dipercayai di Kedutaan Besar Turki, di ibu kota.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata suaminya kini terpaksa "bersembunyi" setelah menerima ugutan bunuh seminggu lepas.

Sambil enggan mendedahkan lokasi sebenar Anwar, Wan Azizah berkata beliau juga sedang berunding dengan barisan peguamnya mengenai keperluan mendapatkan suaka politik untuk Anwar.

Dr Wan Azizah berkata demikian pada sidang akhbar khas bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan kes itu di sini, Ahad.

Sehingga ini, Dr Wan Azizah atau mana-mana pemimpin PKR belum membuat laporan polis berhubung ancaman atau ugutan bunuh terhadap Anwar.

Terdahulu, Dr Wan Azizah mempertahankan Anwar dan mengatakan tuduhan liwat itu satu lagi konspirasi politik untuk memburukkan imej suaminya.

Dr Wan Azizah berkata polis sehingga ini belum mengambil keterangan daripada suaminya berhubung tuduhan itu.

Semalam, seorang lelaki berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh pemimpin itu pada 26 Jun lepas di sebuah tempat di ibu negara.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang sama Timbalan Presiden PKR Datuk Syed Husin Ali berkata sebelum tuduhan liwat itu dibuat, pemimpin PKR tidak berhasrat untuk memaklumkan kepada umum berhubung ancaman bunuh terhadap Anwar kerana bimbang akan mencetuskan rasa bimbang di kalangan pengikut PKR dan mereka yang berminat menyertai parti itu.

Menurutnya tuduhan terbaru itu juga adalah satu cubaan untuk melengahkan hasrat PKR dan pakatan parti politiknya membentuk kerajaan pusat yang baru bagi menggantikan Barisan Nasional.

Pada sidang akhbar itu, Dr Wan Azizah juga menunjukkan kepada media foto pembantu khas Anwar yang membuat laporan polis terhadap suaminya itu yang diterima melalui telefon bimbit.

Ditanya bilakah gambar itu diambil, Dr Wan Azizah berkata beliau tidak tahu dan sekadar menyebut ia diambil dari laman web Malaysia Today.

Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pula berkata PKR mempunyai bukti bahawa tuduhan liwat itu bermotifkan politik.

Selain itu, Ketua Perhubungan PKR Tian Chua berkata tuduhan terbaru yang dilemparkan terhadap Anwar itu tidak menjejaskan keyakinan parti terhadapnya dan parti juga tidak perlu meminta Anwar memberikan penjelasan berhubung tuduhan itu.

"Kami telah mesyuarat semalam dan keseluruhan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR memberi kepercayaan penuh terhadap Datuk Seri Anwar, serta kita anggap isu terbaru ini adalah serangan yang berniat jahat ke atas parti.

"Kami dari akar umbi ke pucuk pimpinan telah berikrar memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Di KUALA LUMPUR, sekumpulan kira-kira 30 orang pemimpin dan penyokong PKR berkumpul di hadapan kedutaan besar Turki sejak pukul 4 petang ini, dengan diawasi oleh polis.

Antara mereka ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohamad Fairuz Khairuddin dan Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Seorang daripada pemimpin PKR yang enggan namanya disiarkan berkata Anwar berada di kedutaan itu sejak tengah hari ini bagi mendapat perlindungan.

Bercakap kepada kumpulan pemberita, beliau berkata Dr Wan Azizah akan membuat laporan polis berhubung ancaman bunuh terhadap Anwar esok.

Sehingga pukul 6.15 petang, Dr Wan Azizah tidak kelihatan memasuki atau keluar dari kedutaan itu.

Tiada ulasan: