Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 31 Julai 2008

MURSYIDUL AM TERUS MENGETUK PINTU HATI MEREKA YANG INSAF

Oleh : Roslan SMS

Mursyidul Am PAS semakin hari semakin memanaskan suasana. Pada awalnya beliau mencadangkan agar Umno dan PAS, kedua-duanya dibubarkan. Kemudian sama-sama dibina satu parti baru berteraskan Islam demi perpaduan agama dan bangsa.

Mungkinkah ini sahaja cara yang terbaik. PAS dan Umno sudah bertelagah lebih separuh abad. Jalan terbaik adalah penyatuan dan tidak ada penyatuan yang lebih adil melainkan kedua-dua parti dibubar dan ditubuhkan parti baru, itu pandangan Tok Guru Nik Abd Aziz. Samada kita setuju atau tidak, itu pandangan beliau, sewajarnya ia diberi barang secebis penghormatan.

Memanglah cadangan itu sukar dilaksanakan. Mana ada orang Umno yang bersedia untuk membubarkan parti keramat mereka itu sebagaimana mana ada orang PAS yang mahu berbuat demikian. Tetapi mustahilkah ianya berlaku? Jika agenda penyatuan ummah itu dikira yang paling penting dan utama, apakah ianya nanti akan menggerakkan seribu satu kemungkinan?

Dalam pada orang ramai terkulat-kulat memikirkan cadangan Tok Guru yang mereka sayangi itu, tiba-tiba hari ini tercetus satu lagi idea dari pemimpin veteran PAS itu. Katanya jika terjadi pergabungan itu nanti, yakni Pas dan Umno, maka Hudud dan Qisas yakni undang-undang jenayah Islam bolehlah ditegakkan.

Sekali lagi cadangan ini pasti menecetuskan gelombang perbahasan yang hangat.

Kata Tok Guru sebagaimana yang dilaporkan oleh MStar Online:

Cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.

Saya pasti ramai makin terpinga-pinga dan terkulat-kulat lagi berikutan kenyataan Tok Guru ini.

Kenapa Tok Guru bangkitkan isu Hudud dan Qisas sekarang? Tidakkah ini nanti akan mencetuskan kemarahan kawan-kawan kita khasnya dari DAP (termasuk MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain). Tidakkah nanti semua pihak akan mula curiga kerana dahlah mereka menentangnya, dan PAS pun kelihatan seakan menikuskan agenda itu, tiba-tiba Tok Guru Mursyidul Am menghidupkannya kembali. Tidakkah nanti akan terganggu sokongan bukan Islam terhadap kita?

Mungkinkah nanti akan ada pula cadangan agar dimasukkan Tok Guru dalam senarai mereka-mereka yang wajar dikorbankan, tak silap dah semakin panjang senarai itu. Semakin pupuslah nampaknya kepimpinan ulamak……..habis semua mahu dinyahkan.

Bagi saya kenyataan terbaru Tok Guru ini sewajarnya difikirkan semasak-masak oleh semua pihak yang cemburukan Islam. PAS ini berjuang untuk apa?

sumber : www.n32.blogspot.com

Tiada ulasan: