Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 4 Ogos 2008

SHABERY JANJI LIPUTAN ADIL DAN PROFESIONAL ~ Ref KLPOS

Oleh Bernama

KL: Liputan berita mengenai pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh akan dibuat secara adil dan profesional, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini.

Beliau berkata, selain memastikan perkara itu dipatuhi stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM), ia juga akan dimaklumkan kepada pengamal media lain.

“Kementerian ada tanggungjawab sendiri, berbeza dengan parti.

“Sudah tentu kita akan membuat pemantauan pilihan raya (kecil) ini dengan dekat supaya tidak timbul kekecohan dan lebih memarakkan lagi kalau timbul perpecahan di kalangan rakyat. Itu perkara yang kita perlu lihat secara profesional,” katanya ketika ditanya mengenai persediaan kementerian dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.

Ahmad Shabery ditemui pemberita selepas meraikan delegasi Brunei Darussalam diketuai Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Setia Awang Yahya Bakar di pejabatnya di sini.

Mengakui banyak isu yang mungkin ditimbulkan pada pilihan raya kecil itu, baik oleh calon dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahupun calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Shabery berkata kedua-dua pihak perlu bersedia menangkis isu-isu yang dibangkitkan pihak lain.

Bagaimanapun katanya diharapkan Anwar tidak menggunakan pilihan raya kecil itu sebagai peluang atau saluran untuk mencampuradukkan kepentingan politik beliau dengan isu-isu perundangan yang sedang dihadapinya pada masa ini.

“Jika perundangan dipolitikkan dan politik dicampur dengan undang-undang, itu yang akan merosakkan perjalanan negara kita...biarlah dua saluran pertarungan yang terpaksa dihadapi oleh Anwar dibuat mengikut saluran masing-masing,” katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan setelah penyandangnya Datuk Seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar, yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding bagi kerusi itu.

Setakat ini BN belum memutuskannya calonnya. Dewan Tertinggi BN akan membincangkan Rabu ini persiapan menghadapi pilihan raya kecil itu.

Tiada ulasan: