Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 13 Disember 2008

BOLA TIDAK BULA - Malaysiakini

Kisah tanah runtuh dan rumah ranap telah menggerhanakan kisah industri bolasepak negara.Ini adalah kisah pemain bolasepak semi-professional yang ketiadaan gaji bulanann mereka kerana badan pengurus bolasepak negeri mengabaikan tugas mereka.

Yang lebih menggeramkan kita ialah kisah seorang pelatih bolasepak England yang digaji oleh Persatuan Bolasepak Perak tanpa membayar gajinya selama empat bulan. Khabarnya hutang yang ditanggung terhadap beliau mencecah lebih RM120,000.

Sampai bilakah kita rakyat Malaysia sanggup dihina begini?

Bila anak-anak muda kita bermain bola semi-pro mereka sepatutnya harus diberi gaji dan segala ganjaran yang berpadan untuk mereka hidup. Khabarnya gaji seorang pemain bola adalah sekitar Lima Ribu Ringgit sebulan. Bandingkan dengan gaji Eric Cantona satu ketika dahulu yang menerima lebih kurang RM200,000 setiap MINGGU.

Bila kisah pemain bola tidak dibayar gaji tentu kita tertelan air liur kerana kita tahu itulah punca kenapa banyak sangat kisah “match-fixing” (penentuan kalah menang) dalam setiap perlawanan bola di negara ini. Hakikatnya kita sendiri yang menggalakkan rasuah berleluasa dalam industri bolasepak negara.

Yang anehnya, para petugas persatuan bolasepak diberikan gelaran “Datuk' dan Tan Sri dan penghormatan lumayan dalam hidup mereka. Malahan ada anak Malaysia yang bertugas dalam Persatuan Bolasepak Asia yang mahu agar negara ini memberikan status 'diplomat' kepada mereka, hanya kerana mereka bertugas dalam persatuan itu. Hakikatnya mereka itu dahulu adalah tunggak yang menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Saya ingin cadangkan beberapa perkara di bawah ini untuk melihat industri bolasepak benar-benar sihat.

1. Gantung dan bekukan FAM sehingga selesai segala siasatan mengenai penyelewengan kegiatannya terbongkar. Ucapkan selamat tinggal kepada semua peneraju dan pengendali FAM tak kiralah mereka rakyat marhaen, kelas atasan ataupun istana.

2. Kerajaan ambil-alih keseluruhan industri bolasepak dan serahkan kepada beberapa institusi berwibawa seperti Bank-bank di Malaysia, angkatan tentera, polis, kastam, penjara, dan sebagainya.

3. Setiap institusi ini boleh menubuhkan satu sayap khas mengendalikan bolasepak di mana para pemain diberikan gaji mengikut kiraan antarabangsa sebagai pemain professsional.

4. Tubuhkan sebuah Suruhanjaya Bolasepak yang dianggotai wakil setiap agensi yang mewujudkan Kelab Pro Bolasepak itu. Jangan adakan semi-pro lagi. Ini sudah tidak bermakna. Kenapa dalam permainan mesti ada peringkat semi-pro sedangkan dalam berpolitik tidak pun ada peringkat tapisan dan latihan seperti itu.

5. Serahkan tugas memilih petugas pengendalian permainan bolasepak kepada Suruhanjaya tersebut. Kalau difikirkan masih ada pegawai berkaliber dalam persatuan bolasepak sekarang yang boleh diambil untuk meneruskan kerjaya mereka, biarkan Suruhanjaya itu membuat pilihan.

6. Suruhanjaya itu nanti boleh diberikan peluang mengendalikan satu skim loteri yang boleh melumpuhkan sendikit judi bola yang amat berleluasa di negara ini.

Eloklah belajar daripada skim “Teka Keputusan Bola” yang dikendalikan di Peranchis dan menjadi satu tabung besar untuk menjaga kepentingan kebajikan setiap peserta dalam industri bolasepak negara. Di beberapa negara Islam di Timur Tengah pun ada skim ini di mana hadiah berupa barangan dan bukannya wang ringgit.

7. Adalah dijangkakan kalau satu badan baru dapat ditubuhkan untuk mengendalikan industri boalsepak negara ini, kita mesti sasarkan matlamat mereka menyimpan dana untuk mampu membeli sebuah dua kelab bolasepak di Eropah. Biarlah kita berkemampuan memiliki kelab bolasepak di setiap negara Eropah untuk membolehkan kita mengekspot pemain bolasepak yang berbakat di negara ini bermain sebagai professional di sana. Hanya melalui cara ini barulah industri bolasepak Malaysia dapat menyinar.

8. Apabila ramai pemain bolasepak yang dihantar bermain di luar negara sebagai pemain professional, barulah boleh dijamin kemunculan beberapa kelab pemain muda di kampung dan daerah sebagai sumber tenaga professional pula.

Cubalah lihat bagaimana Brazil mengendalikan industri bolasepak Di Rio Janeiro. Mereka gunakan seluruh Pantai Copacobana dan Ipanema untuk anak-anak muda berlatih bolasepak di atas pasir. Di sana setiap minggu diadakan perlawanan yang dilihat oleh 'talent scout' seluruh dunia.

Pakar penguji bakat ini mengikuti perkembangan setiap pemain muda yang berbakat untuk beberapa tahun sehinggalah anak-anak muda itu menganggotai kelab bolasepak di Brazil sebelum mereka membeli bakat-bakat tersebut dan dibawa ke Eropah ataupun ke Kelab Latin Amerika.

Bayangkan kalau cara yang sama dipraktikkan di persisiran pantai di negara ini. Daripada Tanjung Aru di Sabah hinggalah Pantai Merdeka di Sg Petani dan Pantai Sabak di Kelantan. Sudah pasti akan muncul beberapa orang pemain bola semacam Zinadin Zidane dan Anelka ataupun Yahaya Torre. Mereka ini adalah tiga orang pemain beragama Islam yang datang daripada keluarga marhaen.

Selagi FAM diberikan kuasa mengendalikan bolasepak di negara ini selagi itulah suasana bolasepak di negara ini akan terus malap. Cadangan ini kalau diambilkira akan mengnyahkan pengaruh orang politik dan istana dalam satu bidang permainan yang sepatutnya boleh menjadi satu industri besar di negara ini.

Marhaintua
12 Disember, 2008.

Tiada ulasan: