Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 23 April 2009

APA YANG DR. MAHATHIR NAK LAGI ???

Oleh : Anak Bapak

Dia dah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun lebih, yang mana merupakan PM paling lama dalam sejarah negara Malaysia. Sepanjang pentadbirannya banyak rekod yang telah dicipta. Dia telah berjaya membina menara tertinggi di dunia, lapangan terbang tercanggih, pusat pentadbiran kerajaan termoden, lebuhraya-lebuhraya terunggul, kereta nasional buatan tempatan dan segala macam pembangunan kebendaan lain yang sesiapa saja akan teruja menikmatinya.

Itulah Tun Dr. Mahathir, ’negarawan’ yang sangat disanjungi terutama oleh orang-orang UMNO. Sememangnya Dr. Mahathir memang ’smart’ di dalam segala segi dan dia tanpa segan silu telah menunjukkan keberaniannya sepanjang pentadbirannya yang lepas dengan melaksanakan segala apa yang ia hajati tanpa risau kepada kritikan atau tohmahan sesiapa. Sekali imbas nampak hebat karakter ini, tetapi ’looks can be deceiving’.

Sepanjang pentadbiran Dr. Mahathir kita juga telah melihat bagaimana rasuah mula menular dan kini berakar umbi di negara kita. Walaupun Dr. Mahathir menangis di dalam mesyuarat agung UMNO kerana gejala politik wang (aka rasuah) yang berleluasa di dalam UMNO, tetapi ia tidak menyekat penglibatan semua peringkat ahli dan pimpinan UMNO di dalam budaya yang menguntungkan itu sehingga ke hari ini. Tun telah mendidik rakyat supaya menerima rasuah dengan acapkali menggunakannya apabila berlangsung pilihanraya. Rakyat dihidangkan dengan projek ’mee segera’ dan sogokan sepanjang waktu pilihanraya. Kroni dan kaum kerabat BN berterusan di’hadiahkan’ dengan habuan projek di atas kesetiaan dan sokongan kuat kepada BN. Apabila budaya ini telah berakar umbi di dalam masyarakat maka terlalu sukar untuk dihapuskan.

Dr. Mahathirlah yang mengisytiharkan ’perang’ kepada raja-raja Melayu, hakim-hakim, peguam-peguam, kesatuan-kesatuan sekerja dan sesiapa saja yang menentang kehendaknya. Sejarah menjadi saksi bagaimana Team A dan Team B terbentuk di zamannya dalam apa jua institusi masyarakat pada masa itu hasil daripada ’air tangan’ Mahathir. Malah dengan timbalannya sendiri pun beliau ’berperang’ sehingga Musa Hitam, Ghaffar Baba dan Anwar Ibrahim sendiri yang terpelanting dengan tindakan jijik Tun Mahathir. Jika rakan sendiri pun hancur dengan Mahathir bagaimana pula nasib mereka-mereka yang dari kalangan pembangkang. Walaupun Tun pun membebaskan tahanan ISA ketika dinobatkan menjadi PM (malah lebih ramai daripada yang Najib bebaskan) tetapi tahanan baru ISA di bawah pentadbiran Mahathir jauh lebih ramai terutama daripada kalangan pembangkang.

Anak Bapa boleh terus berbicara mengenai kebobrokan Mahathir, dan diyakini banyak lagi yang boleh kita bincangkan tetapi cukup setakat itu untuk memberi gambaran musibah yang bakal menimpa jika kita terus menerus mengambil sikap tidak mempedulikan tindak tanduk pemimpin dan mengamalkan budaya kagum pemimpin. Jika tidak ada ’check and balance’ dan pertanggungjawaban terhadap pimpinan oleh rakyat maka akhirnya bencana pasti menimpa kita, tidak kira samada pimpinan BN atau PR atau sesiapa saja.

Persoalannya di sini ialah kenapa Dr. Mahathir, yang telah mengisytiharkan ’bersara’ daripada politik, masih lagi mahu mencampuri urusan pentadbiran secara aktif di kala rekodnya sendiri amat memalukan? Betul ada juga kebaikannya tetapi keburukannya jauh lebih banyak. Apa yang dia sibuk nak ganggu Pak Lah dan kini Najib di dalam urusan pentadbiran negara di kala dia telah diberi peluang memerintah dengan agak lama dan rekod buruknya saja yang dapat dipertontonkan? Cukuplah tu Dr. Mahathir, ’enough is enough’. Bagilah peluang idea orang lain pula nak digunapakai. Idea Tun dah terlalu uzur dan hampir ketandusan dimamah usia. Adalah lebih elok Tun gunakan saki baki umur yang tinggal untuk banyak belajar mengenai agama, beribadat dan beramal bakti membantu mereka-mereka yang kurang bernasib baik. Nasihat saya kepada Najib, tak usah dok peduli kepada kritikan dan tohmahan Tun kerana jika kamu betul-betul ingin nak buat perubahan, perubahan itu hendaklah dari kamu sendiri dan bukan daripada Dr. Mahathir. Jika kamu silap percaturan dan tunduk di bawah desakan Tun, yang dah pun diketahui umum memang bermasalah, tunggulah saat-saat kehancuran UMNO dan BN.

Anak Bapa: Najib memang pening betul sekarang. Apa taknya? Satu puak diketuai Dr. Mahathir, satu lagi diketuai oleh Khairy, dan tidak lupa satu lagi kelak yang akan diketuai oleh Rosmah. Yang mana satu Najib nak dengar? Anda semua jawablah sendiri dan 'good luck to you', Najib!

http://anakbapa.blogspot.com

Tiada ulasan: