Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 30 Mei 2009

POLITIK BANGAU OH BANGAU

(-Ular oh ular mengapa engkau makan katak?
-Aku makan katak sebab itu memang makanan aku.)

Situasi politik hari ini sudah melalut. Sudah timbul bermacam-macam isu terutamanya di Perak. Antara BN dan PR nampaknya sudah semakin kusut. Berlaku sedikit jangkitan di Kedah dan di Selangor. Kita mungkin hanya melihat kepada situasi semasa, yakni apa yang sedang kita saksikan kini. Kita lupa bahawa keadaan yang semakin membarah kini hanyalah kesan lanjutan dari PRU12 dulu. Kini kita melihat akibatnya. Sepatutnya kita kena menoleh kepada faktor punca atau asal usul terjadinya.

Dalam Bangau oh Bangau, disebutkan natijahnya satu persatu terlebih dahulu hingga kadang-kadang terlupa kepada faktor puncanya terjadi. Ini kerana faktor punca kepada semua angkara itu di sebut paling akhir. Leher Bangau panjang, ikan tak timbul, rumput panjang, kerbau tak makan rumput, kerbau sakit perut, nasi mentah, api tak mahu hidup, kayu basah, hujan turun dan katak panggil hujan, ini semua adalah masaalah atau natijah. Punca kepada segala masalah itu ialah ular. Ular pula tidak boleh berbuat apa-apa kerana katak itu memang makananya. Ular tak dapat mengelak kerana itulah sifat ular iaitu makan katak. Sesuatu yang menjadi sifat semula jadi memang sukar untuk diungkai.


Melihat kepada berbagai situasi negatif yang berlaku dalam negara akhir-akhir ini, terutama dalam aspek politik kita kenalah menoleh kepada PRU12. Bermula dari penolakan rakyat kepada BN di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan termasuk Wilayah persekutuan. Hanya Wilayah persekutuan tidak membentuk Kerajaan Negeri kerana tiada DUN. Wajar sekali kita melihat kepada faktor PRU12 kerana dari situlah ianya bermula. Tetapi nampaknya faktor itu tidak langsung diambil perhatian.


Keadaan politik kusut ini masih belum nampak jalan penyelesaian. Tidak mustahil akan berlarutan, yang entah bila akan tamat secara tuntas. Perlu juga diingat bahawa rakyat umum semakin jelak dengan gelagat dan telatah orang politik yang asyik berkrisis. Rakyat umum semakin bosan dan meluat. BN berkuasa PR ganggu, PR berkuasa BN pula ganggu. Saling tunding menunding tidak berkesudahan yang masing-masing mendakwa bahawa merekalah dipihak yang benar.

Tiada ulasan: