Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 18 Jun 2009

RAKYAT DISURUH BERJIMAT ??

Penduduk di negeri ini diminta mengamalkan sikap berjimat cermat dalam menggunakan bekalan air harian sebagai persiapan menghadapi musim kemarau yang dijangka melanda seluruh negara sehingga Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, walaupun pihaknya yakin Melaka tidak akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air untuk tempoh beberapa tahun akan datang namun sikap sedemikian perlu diamalkan bagi mengelak sebarang kesulitan pada masa depan.

Katanya, bekalan air di negeri ini mampu bertahan sehingga tahun 2018 melalui simpanan air yang mencukupi dari empangan utama yang terdapat di Melaka.

''Empangan Durian Tunggal di sini dan Empangan Jus di Jasin, masing-masing mempunyai kapasiti takungan sebanyak 32.8 bilion liter dan 48 bilion liter air.

''Malah, takungan air di Empangan Jus kini mencapai 100 peratus penuh manakala paras air di Empangan Durian Tunggal didapati menurun sedikit kepada 76 peratus ketika ini," katanya,

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Empangan Durian Tunggal di sini hari ini.

Kata beliau, bagi menampung kekurangan air di empangan terbabit ekoran ketiadaan hujan sejak kebelakangan ini, sebanyak 90.8 juta liter air dari Sungai Grisik, Muar dan 53.1 juta liter air dari Empangan Jus telah di pam setiap hari ke Empangan Durian Tunggal.

Selain itu, Mohd. Ali berkata, sumber air lain yang turut dipam ke empangan itu ialah bekalan air dari Sungai Melaka dan Sungai Kesang iaitu sebanyak 181.7 juta liter sehari.

''Pada masa ini, keperluan penduduk negeri ini terhadap bekalan air sehari ialah sebanyak 325.5 juta liter," ujarnya.

Mohd. Ali berkata, bagi menampung bekalan air di Melaka sehingga tahun 2023, kerajaan Pusat diharap dapat membantu membina sebuah lagi empangan iaitu di Sungai Jernih, di sini.

Katanya, empangan itu kelak diharap menampung keperluan penduduk sehingga tempoh yang ditetapkan manakala bekalan air ke empangan itu akan diambil dari Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu pada perkembangan berasingan, beliau mengumumkan bahawa sambutan ulang tahun kedua pengiktirafan Melaka sebagai bandaraya warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) diadakan pada 7 Julai ini.

Kata beliau, pelbagai acara menarik akan diadakan bagi memeriahkan sambutan itu dan beliau meminta rakyat negeri ini agar mengenakan pakaian tradisi masing-masing pada hari berkenaan.

Tiada ulasan: